Pengacara dan pelakon komedi Roslan Shah menyifatkan peluangnya bakal menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah, bagi menunaikan umrah pada Mac depan sebagai satu hidayah sekaligus hikmah di sebalik kekecewaan yang dialami ekoran hasratnya mahu melangsungkan perkahwinan tidak kesampaian.
Menurut Roslan, bohonglah kalau dia tidak kecewa dan terkilan dengan nasib yang menimpa dirinya. Apatahlagi apabila segala persiapan untuk menjadikan gadis pilihannya sebagai isteri telah hampir sempurna. Namun beliau akur dengan takdir dan menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan Tuhan.
Pada jam 3 petang semalam, Roslan Shah ditemui di majlis sidang media pelancaran Jom Melancong dan Jom Umrah Bersama Selebriti, bertempat di Hotel De Palma, semalam.
“Ikutkan sepatutnya majlis nak dilangsung pada Mac depan. Tapi nak buat macam mana, antara kami memang tak ada jodoh. Saya terima. Cuma saya terkilan kerana di saat-saat akhir segala yang dirancang tidak menjadi. Walaupun ada sesetengah pihak yang melemparkan kutukkan kepada saya tapi dalam masa saya teman-teman artis yang rapat dengan saya seperti Ifa Radziah dan Azza (Elite) banyak memberikan saya semangat. Alhamdulillah, dalam pada saya sedang kecewa, saya ditawarkan pula oleh AFS Pictures Sdn Bhd dan Syarikat Al-Hijrah Vacation Sdn Bhd untuk menunaikan umrah bersama peminat-peminat. Saya anggap ini sebagai satu hidayah buat saya.”
Roslan bakal berangkat ke tanah Mekah pada 24 Mac 2014. Tidak hanya beliau dan para peminatnya, malah rombongan turut disertai oleh rakan artis seperti Azza (Elite), Syed Ali dan Fezrul Khan juga bersama para peminat masing-masing. Selain menunaikan ibadah umrah, mereka juga akan melawat tempat-tempat bersejarah di Madinah.
Dalam pada itu Roslan juga berkata biarpun hasrat mahu bergelar suami tidak terlaksana, namun beliau tidak berputus asa menanamkan azam akan berkahwin juga suatu hari nanti. Justeru katanya, ketika di Mekah nanti beliau hendak beristikharah di hadapan Kaabah dan berdoa agar dipertemukan dengan jodohnya.
“Saya tak akan berputus asa. InsyaAllah, satu hari nanti saya akan berkahwin dan berkeluarga juga. Kesempatan mengejarkan umrah ni, saya dan niat bila berada di sana nanti, saya nak istikharah dan berdoa supaya Allah pertemukan saya dengan jodoh saya.”
Sebelum ini laporan portal mStar online ada menyebut, hubungan percintaan selebriti berusia 43 tahun ini dengan seorang wanita dari Kelantan yang terjalin sejak tiga tahun lalu sudah putus, kira-kira dua minggu lalu. Malahan wanita tersebut telah dikatakan bakal mendirikan rumah tangga dengan lelaki lain.
Pada masa sama, beritahu Roslan, dia cuba menyibukkan dirinya pada tugasan mengacara majlis dan berlakon bagi menghilangkan tekanan dan tidak mahu mengenang insiden pahit itu lagi.
“Hidup mesti diteruskan. Syukur, tawaran pun banyak. Dengan itu, saya memang sibuk dan sikit sebanyak dapat melupakan tentang perkara itu.”
Sementara itu, bagi yang berminat untuk mengikuti rombongan Umrah tersebut, boleh menghubungi AFS Pictures Sdn Bhd di talian 03-9286 8565 atau talian hotline 010-365 2335.