Menerusi entri di Instagramnya, Nadia berkongsi gambar ketika dilamar kekasihnya semasa berada di hadapan bangunan Menara Eiffel, Paris.
Nadia Brian mengaku terkejut dan menangis dengan apa yang berlaku kerana perancangan awal ke Paris untuk bercuti sekali gus mengambil gambar pra perkahwinan mereka. Dapat bayangkan, memang romantik sungguh apabila dilamar oleh Muizz Nasruddin, di Paris dengan berlatarkan pemandangan Menara Eiffel yang cukup romantika itu.
Pada awal tahun ini, Nadia Brian pernah mendedahkan kepada umum dia sudah ada kekasih hati.
Bersyukur apabila hubungan mereka semakin menuju ke fasa lebih bermakna, aktres terbabit kini mengharapkan penamat yang indah.
“Jujurnya, saya sangat terkejut dan pada masa sama terharu dengan kejutan manis dilakukannya. Saya selalu melihat wanita lain menerima kejutan manis atau menonton detik indah sedemikian di kaca televisyen, kini saya pula yang mengalaminya.
“Saya sangat bersyukur dan kini berharap semoga semuanya menuju ke penamat yang indah.
“Cuma, buat waktu ini, apa yang boleh saya katakan, tarikh untuk kami disatukan bergantung kepada rezeki. Jika diikutkan perancangan, ia mungkin diadakan pada awal 2020 atau secepat-cepatnya penghujung tahun ini. Doakan yang terbaik buat kami,”
– Nadia Brian
Semalam, Nadia berkongsi gambarnya menerima lamaran Muizz di kota cinta itu di laman sosial Instagramnya.
Perkongsian terbabit tentu sahaja mendapat perhatian ramai pengikutnya, termasuk teman artis.
“Ketika itu, kami hanya berkawan. Saya sendiri tidak mahu memberikan sebarang harapan dan pada masa sama sibuk dengan aktiviti lakonan.
“Namun, pada penghujung tahun lalu, kami kembali rapat. Dia juga tidak pernah berputus asa untuk menambat hati saya.
“Saya dapat lihat kejujurannya, malah dia juga sanggup berjumpa keluarga saya,”
– Nadia Brian
Menurut Nadia, dia bercuti di kota terkenal itu bersama keluarga cinta hatinya.
“Alang-alang sudah berada di sini, kenapa tidak diadakan sekali sesi fotografi praperkahwinan? Gambar ini boleh juga digunakan untuk poster atau kad kahwin kami nanti,”
– Nadia Brian
Nadia atau nama sebenarnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi mengenali kekasihnya menerusi teman baik yang juga pelakon, Ainul Aishah, kira-kira dua tahun lalu.
Menerusi ruangan komen, rata-rata mengucapkan tahniah kepada Nadia dan mendoakan semoga segala perancangan mereka untuk mendirikan rumah tangga berjalan dengan lancar.
Ada juga mengakui tidak sabar untuk menantikan majlis yang bakal diadakan oleh mereka nanti.
Namun, perkongsian itu masih menjadi tanda tanya apabila Nadia tidak menjelaskan secara terperinci mengenai gambar yang dikongsikan itu.
Nadia Brian pernah mengakui putus cinta pada Jun 2018.
Sumber: Berita Harian & Instagram