Sebanyak 16 episod arahan Qi Wei ini menariknya menampilkan gandingan pelakon utama Mike D. Angelo sebagai Jiang Yu Niang, bergandingan dengan aktres cantik Zhang Yu Xi menghidupkan watak Lin Xing Chen di samping Chen Zi Yin (Zheng Chu Yao), Du Yan (Yu Yang Yang), Ah Wei (Daniel) dan Chen Jing Xuan (Lei Jia Na).
Susur galur ceritanya berlaku di persekitaran golongan remaja di sekolah elit untuk orang-orang kaya. Bermula dengan memperkenalkan watak Lin Xing Chen adalah pewaris keluarga kaya tetapi menghadapi tekanan untuk berkahwin dengan baik kerana statusnya yang tidak sah.
Sasarannya? Zheng Chu Yao yang ramah dan kaya, rakan pelajar di sekolah seni elit yang dikenali sebagai Four Leaf College. Tetapi kerana beberapa kejadian yang menimbulkan situasi salah faham, Xing Chen pada permulaan pertemuan mereka telah melakukan kesalahan dengan menjengkelkan Chu Yao dan berusaha menarik perhatiannya.
Tetapi apabila Xing Chen menyedari bahawa dia telah tersalah percaturan memilih lelaki yang salah, dia telah beralih arah untuk merebut hati dan perhatian pemuda bernama Nian Yu. Dengan cara yang paling kompromi apatahlagi bila dia mengetahui bahawa Nian Yu adalah satu-satunya orang yang dapat mengajarnya untuk mendapatkan perhatian Chu Yao semula.
Malangnya Xing Chen kesal apabila Chu Yao nampaknya berminat dengan seorang pelajar miskin, Yu Yang Yang, yang dimasukkan ke sekolah berprestij itu kerana jasa ayahnya yang telah menyelamatkan nyawa pengetua.
Bolehkah Nian Yu mengajar Xin Chen untuk berusaha meyakinkan hati Chu Yao memilih dirinya atau adakah dia akan mengetahui bahawa takdirnya adalah dengan orang lain? Ikuti kesudahannya dengan menonton drama bersiri ini di TV2.