in , ,

Rodtang Jitmuangnon Tampil Segak Berbaju Melayu Elrah Ketika Face-Off ONE 172

Juara Muay Thai Dunia Tarik Perhatian Peminat Global Apabila Menggayakan Baju Melayu Tradisional Di Acara Face-Off, Sekaligus Meningkatkan Martabat Fesyen Tempatan Di Mata Dunia

Pertarungan epik antara dua jaguh seni bela diri terkenal, Rodtang Jitmuangnon dari Thailand dan Takeru Segawa dari Jepun, sememangnya menjadi perbualan hangat dalam kalangan peminat sukan tempur di seluruh dunia.

Kedua-dua atlet ini bakal bertemu dalam perlawanan yang sangat dinanti-nantikan di bawah acara ONE 172, yang dijadualkan berlangsung di Saitama Super Arena, Jepun pada 23 Mac 2025. Namun, sebelum pertembungan mereka yang penuh debaran itu, tumpuan media dan peminat tertumpu kepada sesi face-off mereka yang baru-baru ini berlangsung dengan penuh gaya dan simbolisme.

Apa yang menjadikan sesi tersebut lebih menarik dan mencuri perhatian bukanlah sekadar ketegangan antara dua atlet ini, tetapi penampilan luar biasa Rodtang yang tampil mengenakan Baju Melayu lengkap berwarna hitam rekaan jenama terkenal tempatan, Elrah Exclusive.

Rodtang Bangga Gayakan Baju Melayu Di Pentas Antarabangsa

Rodtang, yang terkenal dengan julukan “The Iron Man”, bukan sahaja dikenali dengan teknik bertarungnya yang agresif, tetapi kali ini beliau menunjukkan sisi yang berbeza – penuh bergaya, segak, dan berwibawa dalam busana tradisional Melayu. Lengkap dengan bersamping, penampilannya jelas memukau bukan sahaja penonton di arena, malah seluruh dunia maya. Sementara lawannya, Takeru memilih sut cerah moden, Rodtang tampil unik dan penuh simbolik.

Rodtang Jitmuangnon Tampil Segak Berbaju Melayu Elrah Ketika Face-Off ONE 172

Apa yang lebih menarik, dalam satu perkongsian di media sosial rasmi @ONEChampionship, Rodtang menjelaskan, “This is the month of Ramadan, so I’m wearing this to represent Muslim.” Jelas sekali beliau mengenakan busana tersebut sebagai satu tanda penghormatan kepada umat Islam sempena bulan Ramadan, sekaligus menunjukkan rasa hormat dan pengiktirafan beliau terhadap budaya Melayu.

Elrah Exclusive – Dari Fesyen Tempatan Ke Pentas Dunia

Jenama Elrah Exclusive bukan lagi asing dalam kalangan pencinta fesyen tempatan. Diterajui oleh pengasasnya yang penuh karisma, Muhd Hilmi Che Azman atau lebih dikenali sebagai El Azman, jenama ini telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya membawa Baju Melayu ke pentas sukan dunia, sekali gus membuktikan bahawa fesyen warisan tempatan mampu berdiri sama tinggi dengan jenama global.

Dalam satu hantaran di TikTok, El Azman meluahkan rasa bangga melihat Rodtang mengenakan baju rekaan Elrah di pentas global.

“Bila seorang juara dunia mengenakan Baju Melayu di pentas global seperti @ONE Championship Tokyo, itu bukan sekadar kain yang membalut tubuh – itu adalah maruah, warisan dan identiti yang dijulang.”

– El Azman

Kata-kata ini cukup membangkitkan semangat dan rasa bangga dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya dalam usaha memperkenalkan pakaian tradisional ke mata dunia.

Warna Hitam Simbol Kekuatan Dan Keanggunan

Pemilihan warna hitam untuk Rodtang bukanlah sesuatu yang dibuat secara rambang. Menurut El Azman, warna hitam membawa simbolik yang mendalam – ia melambangkan kekuatan, keberanian, keanggunan dan ketegasan. Dalam dunia fesyen dan rekaan, hitam sering digunakan untuk mencipta kesan elegan dan dramatik, serta memberikan aura eksklusif.

Dari perspektif psikologi, warna hitam membawa dua sisi – ia memberi rasa kuasa dan keyakinan, namun dalam masa yang sama boleh menggambarkan kesedihan dan ketegasan. Oleh itu, pemilihan hitam untuk busana Rodtang menjadikan penampilannya lebih berwibawa dan penuh simbolisme, sesuai dengan gelarannya sebagai juara dunia.

Rodtang Jitmuangnon Tampil Segak Berbaju Melayu Elrah Ketika Face-Off ONE 172

Kolaborasi Fesyen Dan Sukan Yang Mencipta Fenomena

Kerjasama antara Elrah Exclusive dan Rodtang Jitmuangnon merupakan satu pertembungan dua dunia – fesyen dan sukan – yang mampu mencipta fenomena besar. Jenama Elrah kini bukan sahaja mendominasi pasaran tempatan dan Asia, malah melangkah jauh ke pentas dunia, menembusi industri sukan tempur global dengan cara yang sangat kreatif dan unik.

Malah, Elrah Exclusive kini mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa, bukan sahaja kerana rekaan yang eksklusif dan berkualiti tinggi, tetapi juga kerana kebolehan membawa warisan Melayu ke pentas antarabangsa dengan penuh bergaya. Ini membuktikan bahawa pakaian tradisional tidak ketinggalan zaman, malah mampu bersaing dalam dunia fesyen moden.

Netizen Puji Rodtang Dan Bangga Dengan Baju Melayu

Media sosial dibanjiri dengan komen-komen positif daripada netizen yang rata-rata teruja dan bangga melihat Rodtang menggayakan Baju Melayu Elrah. Ramai yang menyifatkan penampilan Rodtang sebagai satu detik bersejarah di mana busana tradisional tempatan diangkat ke peringkat antarabangsa, sekaligus menunjukkan bahawa pakaian warisan kita dihargai oleh ikon sukan dunia.

Tidak dinafikan, dengan penampilan Rodtang tersebut, identiti negara dan budaya Melayu telah dipertontonkan kepada jutaan penonton di seluruh dunia, sekaligus memperluaskan pengaruh dan pengiktirafan terhadap budaya kita.

Rodtang Jitmuangnon Tampil Segak Berbaju Melayu Elrah Ketika Face-Off ONE 172

Apa Kata Budiey?

Budiey secara peribadi melihat momen ini sebagai satu titik tolak besar dalam usaha memartabatkan fesyen tempatan ke peringkat antarabangsa. Langkah Rodtang mengenakan Baju Melayu di acara besar seperti ONE Championship bukan sahaja satu penghormatan kepada budaya kita, tetapi juga strategi pemasaran fesyen yang bijak oleh Elrah Exclusive.

Budiey berharap selepas ini akan ada lebih ramai atlet antarabangsa atau selebriti terkenal yang berani mencuba dan mempromosikan busana tradisional kita, kerana inilah cara untuk memastikan warisan tidak pupus dimamah zaman. Pada masa sama, usahawan tempatan perlu terus berinovasi dalam rekaan, agar fesyen warisan kekal relevan dan mampu menarik minat pelbagai lapisan masyarakat, termasuk di peringkat global.

Dalam dunia yang serba moden dan global ini, Budiey percaya bahawa memperkenalkan budaya melalui fesyen adalah salah satu kaedah terbaik untuk menyemai rasa hormat dan kekaguman terhadap identiti kita. Tahniah kepada Elrah Exclusive dan Rodtang – kalian memang Terpaling Mendonia 2025!

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Top 5 CSOIAM Hadiahkan Lagu ‘Kemas Kemas Raya’ Buat Peminat Setia