in

Konsert ROCK LEGEND 2018 Bakal Gegarkan MAEPS, Serdang

Pada 28 Mac 2018 lalu telah berlangsung SIDANG MEDIA KONSERT ‘ROCK LEGEND 2018’ di HARD ROCK CAFÉ, KUALA LUMPUR, jam 3 petang.

Senario industri muzik Malaysia masakini, selain dari penggunaan meluas media baru dalam pemasaran, persembahan ‘live’ masih lagi dianggap sebagai sesuatu yang mengujakan. Menikmati muzik dari sistem audio dan visual mahupun dari media elektronik adalah amat berbeza jika dibandingkan dengan menonton persembahan muzik secara ‘live’. Komitmen dari mana mana pihak untuk menganjurkan persembahan ‘live’ adalah amat dinanti-nantikan. Konsert sebegini akan mencambahkan bakat bakat baru dengan mengenengahkan legenda muzik tanahair sebagai sumber rujukan kepada generasi baru. Cabaran ini disahut oleh pihak penganjur iaitu DREAMSTAGE. Satu konsep persembahan yang dinamakan ROCK LEGEND 2018 akan membawa kolaborasi dua buah kumpulan rock hebat dan berpengalaman iaitu PRIME DOMESTIC dan MAY.

unnamed-3

PRIME DOMESTIC

Segalanya bermula pada 2012, apabila Joe yang ketika itu masih bersama WINGS, berkolaborasi dengan Hillary Ang, bekas gitaris SEARCH yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Mereka merancang menubuhkan sebuah ‘band’ projek khas bergenre rock, dianggotai para pemuzik profesional yang diakui antara yang terbaik dalam bidang masing masing. Maka dari konsep itu tertubuhlah sebuah ‘superband’ yang diberi nama PRIME DOMESTIC, membawa maksud yang utama dalam arus perdana muzik Malaysia. Mereka adalah Joe (gitar), Hillary Ang (gitar), Ujang (drums) dan Kelly (bass). Empat orang vokalis pernah diserap menyertai PRIME DOMESTIC iaitu Fiq (Mentor), Azlan (Meet Uncle Hussin/The Typewriter), Moq (Search/Rampage) dan Zul (penyanyi kelab). Bagaimanapun kerana komitmen lain, berlaku pertukaran ahli dalam PRIME DOMESTIC.

Pada awal 2017, PRIME DOMESTIC mengorak langkah semula. Joe dan Hillary Ang mempelawa pemain bass, Fauzi (NRG) dan pemain drums, Ainol (Kristal/Deja Voodoo Spells/Bunkface) bagi menggantikan Ujang dan Kelly. Manakala, Aweera, bekas peserta program tv realIti ‘One In A Million’ edisi 2009 dilamar sebagai vokalis. Maka kombinasi 4 generasi ahli PRIME DOMESTIC yang baru iaitu Joe (gitar), Hillary Ang (gitar), Aweera (vocal), Fauzi (bass) dan Ainol (drums) meneruskan perjuangan sehinggalah sempurnanya kelahiran album sulung mereka ini yang berjudul PRIMA DOMESTIKA.

Pada 2 April 2017, PRIME DOMESTIC memulakan langkah dengan mengadakan ‘showcase’ di The House Restaurant, G Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Dalam ‘showcase’ tersebut PRIME DOMESTIC diperkenalkan kepada khalayak secara rasmi dan pelancaran album ‘single’ yang mengandungi 3 buah lagu baru iaitu ‘Tekno Dewata’, ‘Satukan Impian’ dan ‘Sedingin Pluto’. Pada 2 September 2017 pula telah diadakan sesi pra dengar dan pelancaran album sulung PRIME DOMESTIC berjudul PRIMA DOMESTIKA dalam sebuah persembahan ‘live yang diadakan di Oasis Square. Manakala pada 9 Disember 2017, PRIME DOMESTIC telah berkolaborasi bersama XPDC mengadakan konsert di Oasis Square, Ara Damansara. Ia dinamakan Konsert PUBLIC DISTORTION yang turut menampilkan Amy SEARCH sebagai undangan khas. Konsert tersebut telah mendapat sambutan yang memberangsangkan. Rentetan dari itu, kali ini PRIME DOMESTIC akan berkolaborasi pula dengan sebuah lagi band rock legenda iaitu MAY.

MAY

Kumpulan MAY telah ditubuhkan pada tahun 1986 oleh 4 orang anak muda dari Kg Manjoi, Ipoh, Perak. Nama MAY adalah bersempena huruf pertama nama panggilan mereka iaitu ‘M’ bagi Mus (Mustaffa Din) vokalis dan Man (Mohamad Sarip Yaakob) pemain drum, ‘A’ bagi Abu (Mohd Nassier Yusof) pemain gitar dan ‘Y’ bagi Yus (Mohd Mohtar Mohd Madin) pemain bass.

Kumpulan MAY telah menyertai pertandingan ‘Battle Of The Bands’ pada tahun 1987 dan mendapat tempat ke 3. Mus berjaya memenangi Vokal Terbaik pada pertandingan itu. Kejayaan tersebut menarik perhatian Warnada Records untuk menawarkan kontrak rakaman kepada mereka. Album pertama MAY diterbitkan oleh mereka sendiri pada tahun 1988 berjudul ‘Dilema’. Sebelum ‘Dilema’, mereka pernah merakamkan album mini ‘Juara Juara Rock’ yang mengandungi 6 lagu. Lagu yang mendapat perhatian adalah ‘Derita Bangsa’, ‘Bayangan Hidup’ dan ‘Sketsa Sebuah Cinta’. Bagi album ‘Dilema’, lagu hits mereka adalah ‘Ku Dalam Dilema’ dan ‘Keadilan’.

Album kedua MAY ‘Hakikat’ adalah album yang menjulang nama mereka dan terjual sebanyak 200,000 unit. Lagu-lagu seperti ‘Sendiri’, Cintamu Mekar Dihati’, ‘Dari Kacamata’ dan ‘Hakikat Perjuangan’ menjadi siulan ketika itu. Antara tahun 1992 hingga 2002, Mus digantikan oleh Yantzen (Yantzen Juniwan, bekas vokalis Rusty Blade) dan Oney (Mohd Redzuan Aziz, bekas vokalis Lipan Bara) kerana Mus menyertai WINGS. Bersama WINGS, Mus menghasilkan 3 album. Sepanjang penglibatan MAY dalam arena muzik rock, mereka telah menghasilkan 15 buah album studio dari tahun 1988 hingga 2011, sebanyak 6 album kompilasi dan kolaborasi dari tahun 1987 hingga 2009 dan sebuah album ‘live’ pada tahun 2005.

Dari segi pencapaian pula, MAY telah menyertai Anugerah Juara Lagu pada tahun 1989 menerusi lagu ‘Sendiri’ dan 2003 menerusi lagu ‘Sinar’. Di Anugerah Industri Muzik (AIM), MAY memenangi Album Hard Rock Terbaik selama 3 tahun berturut turut pada tahun 2004 menerusi album ‘Sinar’, tahun 2005 menerusi album ‘Otai Jamm!’ dan tahun 2006 menerusi album ‘Live & Unplugged at Planet Hollywood’. Sebelum itu, album ‘Ideologi’ pernah menjadi Top 5 di AIM 1996. MAY mendapat Anugerah Cakera Platinum Berkembar Empat untuk album ‘Hakikat’ yang terjual melebihi 200,000 unit dan Anugerah Cakera Platinum Berkembar Tiga untuk album ‘Rahsia’ yang terjual melebihi 160,000 unit.

ROCK LEGEND 2018

Persembahan selama 2 jam 30 minit ini akan berlangsung pada Sabtu, 5 Mei 2018, Jam 8.00 malam di Pintu 2, MAEPS, Serdang. Dua buah kumpulan rock berpengaruh iaitu PRIME DOMESTIC dan MAY akan memanaskan pentas dalam sebuah pertembungan arena rock yang pasti akan menggegarkan para penonton dengan persembahan 2 Rock Legend tersebut.

Walaupun PRIME DOMESTIC akan membuat persembahan bersempena kelahiran album sulung mereka PRIMA DOMESTIKA, tetapi nama nama yang membentuk PRIME DOMESTIC bukanlah calang calang pemuzik dan artis dalam arena muzik rock tempatan. ‘Repertoire’ dan kredibiliti mereka tidak perlu disangkal lagi. Sementara kumpulan MAY pula sudah tentulah sebuah kumpulan rock yang masih bertahan selepas lebih 30 tahun dalam arena muzik rock tempatan. Kemampuan MAY dengan kelantangan suara vokalisnya Mus menarik peminat menonton persembahan ‘live’ mereka adalah sesuatu yang terbukti.

Ramuan PRIME DOMESTIC yang muda tetapi matang bersama MAY sebuah band rock legenda, dijangka akan merancakkan lagi arena muzik rock tempatan yang kelihatan semakin diberi perhatian semula sejak era muzik rock 1980an dan 1990an. Untuk menghangatkan lagi ROCK LEGEND 2018, Mus MAY akan turut menyampaikan beberapa buah lagu dari album album beliau bersama kumpulan WINGS.

Pihak penganjur iaitu DREAMSTAGE juga mengambil langkah proaktif untuk menggunakan 2 paparan LED gergasi sebagai ‘live feed’ untuk para penonton melihat persembahan di pentas, 6 buah menara sistem bunyi untuk mendapatkan impak yang terbaik dan sistem stereo bunyi keliling versi 5.1 untuk mendapatkan kejelasan butiran bunyi dan ‘ambience’ yang benar benar akan memberi kepuasan kepada telinga yang mendengar. Semua pelaburan ini oleh pihak penganjur adalah semata mata bertujuan untuk menjadikan ROCK LEGEND 2018, suatu malam konsert yang tidak dapat dilupakan oleh mereka yang menonton.

INFORMASI KONSERT

Butiran terkini berkenaan konsert ROCK LEGEND 2018 boleh diperolehi melalui saluran saluran berikut

• Facebook zhardreamstage
• Facebook dan Instagram primedomestic

INFORMASI TIKET

Senarai harga tiket :

RM 120.00 ROCKZONE
RM 180.00 5.1 SURROUND ZONE
RM 68.00 NORMAL

Tiket tiket boleh diperolehi dengan melayari laman web :

www.ilassotickets.com
www.dreamstageconcert.com
atau menerusi talian hotline : 03- 2170 6333 atau 017-2630437

Secara belian terus di :

ILasso Tickets Sdn Bhd
B 13-11, Level 13, Tower B,
Megan Avenue II,
12 Jalan Yap Kwan Seng
50450 Kuala Lumpur

Tiket tiket juga akan mulai dijual di pintu masuk tapak konsert pada 4 Mei 2018.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ismail Izzani & Naim Daniel Jadi Hos MUZIK JAM

Pelakon Bront Palarae Bintangi Drama Bersiri HBO – FOLKLORE