KUALA LUMPUR, 23 Mac 2018 – AirAsia hari ini mengumumkan pelantikan pemain lagenda Brazil, Roberto Carlos sebagai duta global terbaharu.
Pengumuman itu telah dibuat di Aloft Kuala Lumpur Sentral dan dihadiri oleh Ketua Pengawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat dan juga Ketua Pengawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Kumpulan AirAsia X berkata, “Tiada siapa yang memiliki semangat yang berani untuk menggapai cita-cita seperti Roberto Carlos. Dari bermain di jalanan kota Garça dan membuat keputusan untuk menjadi pemain bola sepak profesional pada umur 12 tahun, ke peristiwa sepakan percuma yang menakjubkan menentang Perancis dan juga memenangi Piala Dunia, beliau telah menunjukkan bahawa apabila beliau inginkan sesuatu, beliau akan usaha sedaya upaya untuk mencapainya. Kami amat berbangga untuk mempunyai seorang pejuang dalam barisan duta juara dunia kami.”
Duta global baharu AirAsia, Roberto Carlos berkata, “Di Brazil, kami berkata, ‘Kami lebih menghargai nilai bola sepak kerana kesengsaraan yang telah kami alami.’ Ini menunjukkan bahawa anda boleh berjaya tidak kira latar belakang anda selagi anda percaya pada diri sendiri dan juga bekerja keras. Saya juga sangat teruja untuk mewakili satu jenama seperti AirAsia, yang sentiasa berusaha untuk menjadikan impian menjadi kenyataan.”
Diberi gelaran “The Bullet Man” kerana sepakan percumanya yang padu, Roberto Carlos telah mewakili Brazil dalam tiga kejohanan Piala Dunia FIFA, dan beliau juga sebahagian daripada pasukan yang memenangi Piala Dunia 2002 yang berlangsung di Korea Selatan dan Jepun.
Di peringkat kelab, beliau bermain untuk Real Madrid dan telah memenangi empat piala kejohanan La Liga Sepanyol serta Liga Juara Juara UEFA sebanyak tiga kali pada 1989, 2000 dan 2002.
Untuk promosi dan aktiviti terkini AirAsia, sila ikuti AirAsia di Twitter (twitter.com/AirAsia) dan Facebook (facebook.com/AirAsia).