Bertuahnya buat baju untuk Siti
RIZMAN (kiri) dan Ruzaini melakar fesyen untuk Siti.
ABPBH 2008 adalah tahun ketiga bagi dua rakan ini, Rizman dan Ruzaini bekerjasama dengan penyanyi wanita popular, Siti Nurhaliza. Kali pertama mereka pada acara Anugerah Industri Muzik dua tahun lalu.
Ketika itu, Rizman Ruzaini masih menuntut di tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Seni Reka Fesyen, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.
“Ini adalah kali pertama kami berpeluang mereka baju buat Datuk Siti Nurhaliza untuk ABPBH. Impian itu sudah lama tersimpan dan akhirnya hasrat kami dimakbulkan juga. Sebelum ini beberapa kali juga kami cuba mendapatkan Siti tetapi pelbagai masalah timbul di saat akhir,” katanya.
Menurutnya, walaupun memiliki nama besar, bekerjasama dengan penyanyi itu sebenarnya cukup mudah.
“Kelebihan Siti ialah sikapnya yang tidak cerewet membuatkan kami berasa selesa. Dia seorang yang senang menerima pendapat pereka tetapi jika ada idea sendiri, Siti akan beritahu. Kami juga tidak perlu berjumpa dengan Siti dua tiga kali untuk menunjukkan hasil tangan kami. Setelah tiga tahun bekerjasama dengannya, dia memberi kepercayaan penuh kepada kami. Cuma tahun ini kami terpaksa membuat ukuran baru kerana tubuh Siti sangat kurus,” kata Rizman yang memilih rekaan klasik Inggeris namun turut diselitkan elemen tradisional.
Sempena ABPBH 2008 yang bertemakan Sentuhan Tenun, Rizman memilih fabrik sifon yang digabungkan bersama songket daripada Wan Manang. Sementara itu, fabrik rona lavender menjadi pilihan untuk Siti Nurhaliza kerana kelembutan warna itu yang jarang menjadi pilihan selebriti untuk ke acara anugerah.
Menurut Rizman, bagi mengangkat khazanah songket yang menjadi warisan budaya masyarakat Melayu, fabrik berkenaan akan digunakan pada bahagian atas baju.
Oleh kerana Siti memiliki potongan badan wanita Melayu biasa, rekaan tidak boleh keterlaluan supaya gaya Siti tidak kelihatan pelik pada majlis itu nanti.
Selain Siti, Rizman turut menghasilkan rekaan untuk beberapa artis tempatan lain sempena ABPBH 2008 iaitu Siti Saerah, Sari Yanti dan Dafi. Selain pertama kali bekerjasama dengan Siti untuk ABPBH, ini juga kali pertama dia menghasilkan baju untuk lebih daripada satu artis.
Sebelum ini katanya, dia tidak betah mengambil terlalu banyak tempahan untuk mengekalkan kualiti sentuhannya. Namun disebabkan permintaan daripada artis, dia tidak dapat menolaknya.
Sementara itu, bagi rekaan untuk adik penyanyi tersohor itu, Rizman memilih gaun petang daripada warna biru firus. Sentuhan tenun pula direalisasikan pada bahagian pinggang gaun berkenaan. [sumber]