Program ini bertujuan memperkasa penggiat, usahawan dan pengamal industri kreatif tempatan seluruh negara. Ianya mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan untuk merancakkan kembali landskap industri kreatif tempatan.
Kembara RIUH Keluarga Malaysia menggerakkan para penggiat seni untuk menjana pendapatan daripada hasil seni kreatif dan secara tidak langsung menyumbang kepada KDNK negara.
Industri kreatif diiktiraf oleh Kerajaan sebagai salah satu industri strategik yang akan diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12. Ianya disasarkan menyumbang RM31.9 Bilion kepada KDNK negara menjelang tahun 2025.
Kerajaan mempunyai iltizam tinggi untuk terus memberi sokongan padu kepada industri kreatif yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negara selain berpotensi mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Program seumpama Kembara RIUH Keluarga Malaysia sudah pasti dapat membuka peluang untuk penggiat seni menjana pendapatan daripada hasil seni kreatif yang secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negara. Program ini juga bakal mencetus lebih banyak idea, kreativiti dan inovasi yang boleh dimanfaat untuk menjana aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Justeru, program RIUH yang sebelum ini hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang, telah melebarkan sayap ke Johor, Sabah, Melaka, dan kini Ketereh, Kelantan pada tahun ini melalui siri Kembara RIUH Keluarga Malaysia dalam usaha membantu penggiat industri seni terutama yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
YB Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, “Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan selaku tuan rumah yang bekerjasama dengan K- KOMM dalam penganjuran edisi keempat kali ini. Insya-Allah ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ bakal mendapat sambutan yang sangat baik daripada penggiat seni dan para pengunjung terutamanya dari Kelantan dan negeri berhampiran.”
Pada masa yang sama, Tan Sri memberi penekanan terhadap kepentingan golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang-bidang kreatif, dalam bidang-bidang yang berkaitan ekonomi digital. Beliau menekankan, ”Kerajaan juga memandang berat tentang keupayaan anak-anak muda, siswa-siswi, pelajar-pelajar di politeknik, pelajar- pelajar di tingkatan enam dan sebagainya yang mungkin tidak mampu untuk membeli peranti. Memulai hari esok, saya akan mula menjelajah menemui mereka dan memberikan peranti-peranti siswa secara percuma supaya dapat menggunakan teknologi tercanggih.”
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kelangsungan industri kreatif negara. Sejak penubuhan MyCreative pada tahun 2012 sehingga kini, bantuan kewangan berbentuk pinjaman dan geran sebanyak RM447.7 juta telah memberi manfaat kepada seramai 949 penggiat dan usahawan industri kreatif.
Jenama RIUH telah berjaya membantu lebih 2,000 penggiat industri kreatif setakat ini dan menarik lebih 300,000 pengunjung sejak ia diperkenalkan pada tahun 2017. Pada tahun 2022, hasil sampingan aktiviti ekonomi melalui penganjuran program Kembara RIUH Keluarga Malaysia telah mencipta 2,621 peluang pekerjaan bagi masyarakat setempat.
Selain itu, sebanyak RM10.93 juta juga telah disalurkan bagi tujuan pembangunan industri kreatif yang telah membantu lebih daripada 900 penggiat dan usahawan dari pelbagai dimensi industri kreatif yang membolehkan penggiat serta pekerja di belakang tabir menjana pendapatan.
Potensi industri kreatif perlu dioptimumkan sebaik-baiknya agar hasrat Kerajaan yang menyasarkan sumbangan 20 peratus industri kreatif tempatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan anggaran RM31.9 bilion menjelang tahun 2025 dapat direalisasikan.
Seni dan budaya menjadi manifestasi tamadun sesuatu bangsa dan seterusnya negara. Peranannya amat besar dalam pembangunan masyarakat. Negara-negara maju di dunia mengakui bahawa pencapaian, kualiti dan kemudahan untuk kegiatan kesenian sering dikaitkan dengan taraf hidup dan turut dijadikan antara kayu ukur antarabangsa dalam penentuan tahap kemajuan sesebuah negara.