in

Rita Rudaini Geli Hati Tuntutan Suami Macam Budak-Budak

Tuntutan Suami Macam ‘Budak-Budak’ Buat Rita Geli Hati

SHAH ALAM: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar menyifatkan tuntutan nusyuz (perintah kembali taat) yang dituntut suaminya, Aidil Zafuan Abd. Radzak di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Rabu sebagai kelakar dan macam “budak-budak”

Rita,36, berkata, dia geli hati mendengar tuntutan itu yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal kerana selama ini dia tidak pernah melanggar perintah suami ataupun membelakangkannya.

“Dia tuntut saya supaya kembali taat? Haa… memang betul-betul kelakar. Saya tergelak dengar tuntutan dia. Selama ini siapa yang tidak taat? Saya menjalankan tugas sebagai isteri dengan baik untuk dia dan anak-anak. Saya juga tidak pernah lari atau keluar dari rumah tetapi dia yang buat (keluar rumah) senyap-senyap dan tinggalkan saya dengan dua orang anak bersendirian,” katanya kepada mStar Online di luar mahkamah di sini, Rabu.

Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah di sini, Aidil Zafuan,25, menarik balik permohonan untuk bercerai dengan isterinya itu atas alasan mahu berdamai selain memikirkan kebaikan kedua-dua anak mereka.

Rita Rudaini
Wajah terbaru Rita Rudaini ketika hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, pada Khamis.

Aidil juga dalam tuntutan nusyuz itu mahu Rita dan anak-anak berpindah dari kediaman mereka sekarang di Damansara ke rumah yang baru didiami Aidil di USJ 1, Subang Jaya, dekat sini.

Beliau yang juga pemain bola sepak pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu juga memberitahu rumah berkenaan didiaminya secara percuma tajaan ATM dan Rita perlu berpindah untuk mengelak pembaziran kerana perlu membayar sewa rumah teres mewah yang didiami sebelum ini.

Aidil memberitahu jika Rita gagal mematuhi permintaannya itu (untuk berpindah), dia boleh dikenakan tindakan dalam tuntutan tersebut. Rita memberitahu, tidak ada sebab untuk dia berpindah kerana mereka pernah berkongsi suka dan duka di rumah yang didiami sekarang ini dan sudah tinggal sejak empat tahun lalu.

“Buat apa saya nak pindah? Sudah empat tahun kami tinggal bersama di Damansara. Kenapa dia tak balik rumah dan tinggal bersama saya serta anak-anak kalau dia suami yang bertanggungjawab? Sewa rumah sebanyak RM3,000 sebulan itu kami kongsi untuk bayar sama-sama. Bayangkan, bayaran yang separuh dia keluarkan itu pun dipertikaikan, apatah lagi nafkah anak-anak?” soal Rita.

Aidil tepis tuduhan punyai wanita lain

Dalam perkembangan berkaitan, Aidil turut menepis tuduhan kononnya dia mempunyai hubungan dengan wanita lain selepas bertindak meninggalkan rumah mereka Januari lalu seperti dilaporkan akhbar mingguan sebelum ini.

Aidil berkata, dia tidak pernah menjalinkan hubungan dengan mana-mana individu sebaliknya lebih menumpukan perhatian kepada kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Tuduhan itu adalah satu dakwaan yang mengarut kerana saya tidak berlaku curang dengannya, apalagi dengan kesibukan menjalani latihan bola sepak. Saya tiada masa untuk semua itu. Saya berpendapat Rita menuduh saya menjalinkan hubungan dengan wanita lain berdasarkan komen yang dibuat oleh peminat-peminatnya menerusi laman sosial Twitter,” katanya selepas prosiding selesai.

Dalam pada itu, Aidil juga berkata dia masih lagi menyayangi Rita walaupun hatinya sedikit tawar selepas membaca terlalu banyak kenyataan yang dibuat isterinya itu melalui media.

“Saya masih lagi menyayanginya, cuma hati saya sedikit tawar dengan kenyataannya yang telah keluar di media. Apa-apa pun, saya harap dia kembali kepada saya dengan syarat dia perlu menjadi isteri yang baik dan mendengar kata,” tuturnya.

Rita dan Aidil bernikah di Songkhla, Thailand pada 28 Februari 2008 dan perkahwinan itu tidak mendapat restu keluarga.

Sepanjang perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua orang anak lelaki iaitu Airit Rayyan Rizqin, 4, dan Airit Qaqa Arjuna yang kini berusia kira-kira setahun. via Mstar Online

Aidil Mahu Kembali Bersama Rita

Pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak yang diwakili peguam syarie, Ahmad Nazib Johari, memohon untuk menarik balik kes tuntutan lafaz cerai terhadap isterinya, pelakon Rita Rudaini Mokhtar, di Mahkamah Syariah Daerah Petaling, petang semalam. Difahamkan, permohonan tersebut telah difailkan pada petang Selasa lalu oleh pihak plaintif atas alasan mahu berdamai kembali dengan isterinya itu.

“Anak guam saya ingin menarik balik kes tersebut atas tiga alasan, pertama, permohonannya sebelum ini di bawah Seksyen 47 tidak boleh diteruskan kerana defendan tidak bersetuju dengan permohonan cerai tersebut. Alasan kedua pula adalah atas dasar ingin berbaik semula dan kembali bersama anak-anak. Plaintif mahu tinggal sebumbung dan juga inginkan rumahtangga mereka aman seperti dulu.

“Manakala, alasan ketiga pula ialah jika diteruskan kes tersebut juga, akan ada campur tangan pihak ketiga dan anak guam saya risau serta bimbang perbincangan tersebut akan mengeruhkan lagi hasrat untuk berdamai. Justeru, anak guam saya mengambil inisiatif untuk menarik balik perkara ini,” ujar peguam Aidil di hadapan Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhamad.

Aidil ketika ditemui selepas selesai prosiding berkata, “Saya mengambil keputusan untuk membatalkan serta menarik balik kes ini kerana pada sebutan pertama, Rita sendiri yang tidak mahu bercerai. Dia mahukan alasan tapi pada saya, dia sendiri sudah tahu atas alasan apa kami nak bercerai. Dah lah dia suruh percepatkan cerai, tapi bila dah buat sebutan cerai, kami terkejut sebab dia pula tak nak. Bagi saya, buat apa nak berbincang lagi, sedangkan saya tahu dia tak nak bercerai. Dari pemahaman saya, maksudnya dia nak berbaik semulalah. Saya anggap dia tak nak bercerai dan sebab itulah saya tarik balik kes ini.”

Ditanya adakah keputusannya itu dibuat kerana masihkan sayangkan Rita dan anak-anaknya, Aidil memberitahu, “Jika boleh saya memang nak kembali bersama dengan dia balik. Tipulah saya cakap saya tak sayangkan anak-anak. Saya juga masih sayang pada dia, tapi bila dia selalu buat kenyataan memburukkan saya di akhbar dan cakap tentang keluarga saya masuk campur, itu buat saya rasa makin lama seolah-olah dia nak memalukan saya. InsyaAllah, jika dia boleh jadi isteri yang baik, mendengar cakap saya dan boleh ikut apa keluarga suami kehendaki, insyaAllah saya akan baik balik dengan dia. Saya buat macam ini pun demi anak-anak dan saya masih sayangkan anak-anak.” – via Gua Malaysia

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Filem Jalan Kembali Bohsia 2

Zahida Tolak Semua Dakwaan Bekas Pemandunya