Rosmin Hashim, Pengerusi RIM berkata, “Ini adalah impian yang menjadi kenyataan bagi industri muzik tempatan. Untuk masa yang sekian lama, industri muzik telah melobi untuk penubuhan satu agensi kerajaan khusus yang dapat menjaga kepentingan industri muzik tempatan. Setelah sekian lama menunggu, impian kami akhirnya tercapai. Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Menteri KKMM yang terhormat, YB Dato’ Saifuddin Bin Abdullah kerana merealisasikannya”.
“Pada pertengahan tahun lalu, RIM bersama dengan pemain industri muzik yang lain telah membuat satu pembentangan kepada YB Saifuddin agar satu agensi kerajaan khusus yang dapat menjaga kepentingan industri muzik tempatan ditubuhkan. Agensi industri muzik yang diinginkan adalah setara dengan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk industri perfileman. Selepas setahun lebih dari perjumpaan itu, agensi kerajaan khusus untuk industri muzik akhirnya ditubuhkan,” tambah Rosmin.
“Dengan penubuhan PIMM, pihak industri muzik dapat bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk membawa industri muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi. Sebelum ini, industri muzik tempatan sendiri telah berjaya mempopularkan artis-artis Malaysia seperti Dato’ Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Search, Slam, Exists dan lain-lain di negara-negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Brunei. Bahkan, menerusi usaha syarikat rakamannya sendiri, Red Room Records, Yuna berjaya menempa nama di pasaran antarabangsa. Artis Cina tempatan A-Niu, Fish Leong, Gary Cao, Penny Lai dan Michael & Victor juga berjaya mencapai kejayaan yang besar di pasaran Pan-China. Penyanyi India tempatan, Mugen Rao juga berjaya memenangi pertandingan nyanyian popular ‘Big Boss 3’ di India baru-baru ini dan kini gah di sana. Bayangkan apa yang dapat kita capai bersama dengan sokongan dan pembiayaan yang berfokus dari PIMM. Lagu dari Malaysia yang memenangi anugerah Grammy di Amerika Syarikat boleh menjadi satu kenyataan! ”, kata Rosmin Hashim.
“Menurut laporan kajian impak ekonomi industri muzik yang dibuat oleh Price Waterhouse Coopers (PWC) pada tahun 2016, industri muzik tempatan menjana keluaran ekonomi berganda sebanyak RM 13.4 bilion setiap tahun kepada ekonomi Malaysia. Industri muzik juga memberikan pekerjaan kepada 83,113 rakyat Malaysia setahun dan sumbangan cukai sebanyak RM247 juta setahun. Harta intelek dari kandungan seperti filem, animasi, permainan dan muzik mampu menjadi antara tiang utama pertumbuhan ekonomi Malaysia kini. Watak animasi, ‘Upin & Ipin’ yang dicipta oleh syarikat produksi tempatan, LesCopaque yang bukan saja popular di Malaysia tetapi juga sangat popular di Indonesia mempunyai nilai jenama yang sangat tinggi. HYBE, sebuah syarikat hiburan di Korea mampu capai nilai setinggi AS $9 bilion ketika disenarai awam di negara itu baru-baru ini. Ini menunjukkan potensi cukup besar yang dimiliki syarikat-syarikat rakaman di Malaysia”, kata Rosmin.
“Walaupun Malaysia cuma mempunyai jumlah penduduk seramai 32 juta yang boleh dianggap agak kecil, namun kita mempunyai sumber bakat muzik yang cukup ramai. Lagu-lagu slow rock yang dihasilkan oleh penulis lagu dan artis Malaysia seperti Search, Wings, Exists, Slam, Iklim dan Hattan diminati ramai di Indonesia. Lagu-lagu Nasyid yang dihasilkan oleh kumpulan-kumpulan Nasyid tempatan yang popular seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan In-Team mampu menembusi pasaran Muslim sedunia yang cukup besar”, kata Rosmin dengan teruja.
“Sebagai sebuah persatuan yang ditubuhkan sejak tahun 1978, RIM telah terlibat dalam usaha pembangunan industri muzik Malaysia selama lebih dari 40 tahun. Mewakili sejumlah 366 ahli-ahli yang terdiri daripada syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa, RIM berharap dapat memainkan peranan aktif sebagai anggota jawatankuasa protem PIMM yang akan ditubuhkan untuk merangka dasar dan inisiatif yang akan dapat memastikan kelanjutan pertumbuhan, kejayaan dan kelestarian ekosistem industri muzik tempatan”, akhir kata Rosmin.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila lawati www.rim.org.my atau ikuti kami di facebook.com/RecordingIndustryMalaysia, @recordingindustrymalaysia di Instagram dan @rim_malaysia di Twitter.