Menurut sumber Mstar Online, pelakon Riezman Khuzaimi menjelaskan tuduhan kononnya dia bertikam lidah dengan aktor muda, Afiq Muiz di hadapan orang ramai dalam sembuah seminar baru-baru ini adalah fitnah.
Riezman atau nama sebenarnya Mohd Rizman Mohd Khuzaimi, 44, berkata, dia terkejut selepas mendapat tahu gosip tersebut memandangkan dia dan Afiq tidak pernah berbalah seperti yang didakwa.
“Saya tak perlu komen tentang perkara ini kerana dakwaan tersebut langsung tidak benar. Mungkin ada pihak yang kurang senang dengan keakraban kami sehingga timbulnya isu saya dan Afiq bergaduh. Bagi saya, itu fitnah.”
Pada Ahad lalu, sebuah akhbar mingguan menerusi ruangan pojok melaporkan perselisihan antara Riezman dan Afiq ketika mereka sama-sama terbabit dalam sebuah seminar perniagaan.
Afiq dikatakan tidak dapat menerima teguran Riezman kerana dia hadir berseluar pendek ke seminar tersebut. Situasi itu membuatkan Afiq terasa hati dan bengang memandangkan artis-artis lain yang hadir turut bersetuju dengan pandangan Riezman.
Sementara itu, Riezman yang merupakan Timbalan Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni mengakui Afiq pernah memakai seluar pendek ke seminar anjurannya dan ditegur secara gurauan oleh salah seorang artis yang terlibat.
Bagaimanapun perkara itu tidak menjadi isu memandangkan ketika itu Afiq baru saja pulang daripada penggambaran drama.
“Memang benar ada yang menegur Afiq tentang pemakaiannya yang tidak sesuai ketika menghadiri seminar tersebut tetapi ia berbentuk gurauan dan saya langsung tidak terlibat dengan perbualan itu. Pelik ya, macam manalah cerita palsu sebegini boleh timbul sedangkan saya dan Afiq akrab.”
Dalam pada itu, Afiq atau nama sebenarnya Afiq Muiz Azman Shah, 21, yang dihubungi mStar Online turut terkejut dengan gosip berkenaan dan menyifatkan ia adalah tuduhan palsu.
“Saya dan Riezman seperti adik-beradik, tak mungkin kami bergaduh hanya untuk perkara yang kecil. Bagi saya apa yang dilaporkan itu hanyalah sebuah gosip murahan semata-mata,” tuturnya.