in , ,

Rico Setiabudi Abadikan Estetik 80-an dalam Single HANYA TANYA

Hanya Tanya adalah sebuah lagu dendangan Rico Setiabudi, seorang artis asal Singapura, yang merupakan single pertama beliau bersama Luncai Emas Sdn Bhd.

Sebagai artis beliau pernah melancarkan 3 buah single secara independen berjudul Teman Imaginasi, Tanya Lagi Ok? dan Bisikan Hati. Ditulis secara keseluruhan oleh Rico sendiri, lagu ini dihasilkan atas kolaborasi antara beliau dan Rayhul Firdaus, abang beliau dan seseorang yang telah biasa bekerjasama dengan beliau dalam karya-karya beliau yang lain. 

Begitu juga dengan Rifaah Ridzuwanulhakim, abang beliau yang merupakan produser kepada lagu Hanya Tanya dan juga pembikin video lirik yang sedia dilayani di Youtube sekarang. 

Rico Setiabudi Menggayakan Estetik 80-an Dengan Single HANYA TANYA

Ketiga adik-beradik ini sering berkolaborasi dan mengeluarkan karya bersama dalam pelbagai perkara yang melibatkan seni seperti konten video dan muzik.

Daripada picitan chord yang rambang di atas ukulele terlahir satu susunan yang, menurut beliau, masih tak dapat dipastikan sehingga sekarang namun telah menangkap hati dan bermain di fikiran mereka pada waktu itu lalu menjadi sebuah lagu. 

Menurut Rico, pada waktu penulisan lagu itu (2018) sebelum kerjasama beliau dengan Luncai Emas, lagu ini pernah dirakam dalam versi dan genre yang amat berbeza iaitu dalam gaya Pop RnB. 

Dengan harapan untuk membawa Rico ke arah konsep yang baru, pihak kreatif Luncai Emas bersama Rico telah membuat keputusan untuk mengekalkan melodi lagu Hanya Tanya, sambil memakai gubahan ala-ala muzik pop 80-an, yang sesuai kepada gaya tenaga persembahan Rico di atas pentas.

Usaha ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Reyza Hamizan, yang merupakan arranger Hanya Tanya yang telah memberikan lagu ini perisa 80-annya.

    “Hanya Tanya menceritakan tentang pengorbanan pahit dan manis seseorang yang dilanda percintaan. Walaupun dia tidak dapat jawaban yang pasti akan bila masanya untuk bersatu, dia tetap rela mengorbankan jiwa dan raganya kerana menagih kasih sayang dari kekasihnya.” terang Rico tentang penceritaan di sebalik lagu ini. Apabila ditanya kalau cerita ini mempunyai kaitan dengan pengalaman beliau sendiri, beliau mengaku bahawa ada sedikit kaitannya namun cara penulisannya dikhaskan kepada yang umum. Mengikut kata Rico, beliau juga seorang penulis lirik yang tidak terlalu taksub dengan seni penulisan. Dia akan menulis mengikut isi hati nya, perasaan dan keadaan ketika saat penulisan itu terjadi. Matlamat senikata Rico ialah agar pendengar dapat mendekati cerita yang hendak disampaikan.

Rico Setiabudi Menggayakan Estetik 80-an Dengan Single HANYA TANYA

Pembikinan lagu ini bukanlah sesuatu yang mudah. Akibat wabak Covid-19, rakaman mereka yang sepatutnya berlangsung di Malaysia waktu itu tergendala apabila PKP diumumkan pada hari yang sama. Walau bagaimanapun Rico tetap berusaha dan mengambil risiko untuk menyeberang dan akhirnya tersiap juga rakaman tersebut.

Sejak penemuannya oleh pihak kreatif Luncai Emas pada tahun 2019, beliau merupakan seorang artis yang dinanti-nantikan karyanya kerana suara beliau yang lunak dan unik, dan kebolehan beliau untuk membawa pelbagai genre dan gaya nyanyian. 

Latar belakangnya dalam bidang nyanyian juga menjadi bukti kepada semangat dan kebolehan beliau, setelah menyertai pelbagai jenis pertandingan nyanyian dari umur yang kecil lagi. 

Rico Setiabudi Menggayakan Estetik 80-an Dengan Single HANYA TANYA

Malah sehingga ke Sepanyol beliau membawa diri untuk menyertai pertandingan nyanyian. Selain daripada nyanyian, bakat beliau dalam pelbagai aspek seni yang lain seperti lakonan dan komedi membuatnya seorang artis yang mempunyai pakej yang penuh.

“Saya harap lagu Hanya Tanya ni dapat disebarkan ke seluruh dunia agar ia meninggalkan kesan-kesan yang positif kepada setiap pendengar.” kata Rico tentang harapan beliau untuk lagu ini. “Kalau diizinkan, saya harap Hanya Tanya ni ialah satu permulaan utk sesuatu yang lebih besar. Jadi bila saya dah popular nanti saya boleh buka kebun binatang dan bermain-main dengan kambing- kambing, kucing dan kura-kura saya. Untuk masa sekarang ni, saya baru ada kucing dan kura-kura je. Kambing belum lagi. Jadi kalau harapan saya menjadi kenyataan, boleh lah saya pelihara kambing pula.”

  Mulai 16 November 2022, Hanya Tanya akan sedia untuk didengari dan dilayani di semua platform streaming seperti Spotify, Apple Music, Deezer dan lain-lain.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Satu Stadium Nyanyi Selamat Pengantin Baru Safawi & Syifa Nikah Bulan Depan?

HAEL HUSAINI

Ada Sebab Konsert Hael Husaini Live In KL Ditunda Ke 19 Februari 2023