Puluhan ribu warga Afghanistan meninggalkan kawasan kediaman mereka sejak Taliban mula menakluk beberapa wilayah. Mereka takut kerana Taliban semakin bersikap agresif dalam menekan penduduk, mulai dari merompak rumah hingga mengambil secara paksa anak perempuan dan janda.
Melalui satu video yang tular di laman sosial, kelihatan beribu rakyat Afghanistan yang berpusu-pusu untuk keluar dari negara yang bakal dikuasai oleh Taliban. Keadaan kelam kabut telah berlaku di Lapangan Terbang Kabul dengan kebanyakan rakyat di sana mahu menaiki pesawat milik Amerika Syarikat untuk keluar daripada negara terbabit.
Lebih parah lagi, rakyat Afghanistan seolah hilang arah selepas Presiden Afghanistan Ashraf Ghani dilaporkan telah meninggalkan negara terbabit. Dia memberi alasan bahawa dia ingin mengelak pertumpahan darah di sana. Tindakan presiden telah memicu kemarahan dan kebingungan rakyat setempat. Sebahagian pula memandang bahawa Ashraf adalah seorang pemimpin yang pengecut.
Terbaharu, dengan beberapa siri penaklukan dan larinya Ashraf Ghani dari negara tersebut, jurucakap urusan politik Taliban Mohammad Naeem memberitahu media antarabangsa bahawa perang di Afghanistan telah berakhir setelah kumpulan itu berjaya menakluk ibu kota, Kabul.
Bagaimanapun, segala kekacauan yang berlaku di sana bermula apabila Amerika Syarikat (AS) bertindak memanggil pulang hampir keseluruhan tentera mereka yang bertapak di Afghanistan. AS yang mulanya berjanji untuk membawa pulang semua tenteranya dari Afghanistan pada 11 September 2021 telah bertindak melakukan perkara tersebut lebih awal dari jadual.
Difahamkan usaha itu telah mula dilakukan secara senyap dan pantas sejak bulan Mei lalu. Pada bulan Jun, difahamkan bahawa lebih 50 peratus tentera AS sudah pulang ke negara mereka. Pada Julai pula, Jabatan Pertahanan AS mengumumkan bahawa mereka sudah membawa pulang 90 peratus tentera mereka. Manakala saki baki tentera AS yang lain, akan mula keluar dari Afghanistan pada akhir bulan Ogos.