Menerusi program disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bersiaran mulai 9 Disember ini, setiap Isnin dan Selasa, pukul 12.05 tengah hari di TV1, Rhys tidak berseorangan sebaliknya ditemani rakan pengacara Boiy Nadz dalam 13 episod siarannya.
Justeru, ketepikan gajet-gajet anda dan selami keindahan alam semulajadi dengan meneroka keindahan hutan hujan tropika di negara kita juga melawat perkampungan orang asli dan belajar cara-cara hidup di hutan juga kegunaan tumbuh-tumbuhan di hutan sebagai sumber makanan dan bahan perubatan.
Taman Negara Kuala Tahan, Pahang lokasi pertama diterokai dengan bantuan komuniti orang asli di sini, mereka berkongsi pengetahuan tentang kegunaan akar tumbuhan hutan menghasilkan ubatan tradisional. Kedua-dua hos belajar menangkap ikan menggunakan alat daripada buluh selain belajar cara memasang perangkap di kawasan hutan untuk menangkap ayam, arnab, dan itik juga memasak menggunakan buluh.
Pernahkah anda mendengar tentang perayaan Hari Buah? Kunjungan mereka ke Pos Tual, Sinderut di Kuala Lipis, Pahang berkongsi tentang persiapan sambutan perayaan ini dan belajar melipat pakaian hiasan orang asli dengan daun untuk dipakai pada hari perayaan ini. Semua orang menari tarian tradisional dan suasana perayaan sungguh meriah.
Keterujaan mereka berganda bila sampai di Pusat Konservasi Gajah di Kuala Gandah, Pahang dan diberi peluang untuk memberi makanan kepada gajah. Mereka bersama-sama seorang ahli penyelidik dari UITM, Fatin Rosli mengkaji budaya orang asli dari kaum Che Wong.
Pengembaraan diteruskan ke Kampung Aman-Damai di Royal Belum, Perak mengayuh sampan sambil menikmati pemandangan yang cantik. Seorang dari kaum orang asli Jai menunjukkan cara menangkap ikan dengan mencucuk ikan dengan peralatan tradisional. Sejenis daun yang dapat merawat penyakit kencing manis dan cara memasangkan perangkap untuk memburu tupai, kijang dan lain-lain lagi.
Kenali budaya kaum orang asli Jahut yang tinggal di pinggir hutan negeri Pahang yang lebih kurang sama dengan kaum orang Melayu. Aktiviti yang dijalankan oleh mereka adalah menoreh getah, menanam kelapa sawit, menganyam tikar, dan mengukir patung sebagai kraf tangan.
Hos Rhys William mengembara di Kluang dan seterusnya ke Taman Negara Johor mengunjungi komuniti orang asli Jakun yang tinggal di situ mempelajari cara membuat perahu dengan batang pokok. Rhys menyertai orang asli Jakun masuk hutan dan berkongsi dengan penonton pelbagai jenis flora dan fauna yang dijumpai sepanjang perjalanan dalam hutan.
Menarik perkongsian kunjungan mendekati kaum orang asli Semai di Johor melakukan aktiviti memetik petai dan buah kuning di hutan, dan menganyam tikar kelarai untuk menampung kos kehidupan seharian mereka.
Dalam program ini juga mengundang tetamu bernama Alex, bersama-sama dengan hos ke Kampung Sungai Chiong di Perak menyantuni masyarakat orang asli Temiar. Mereka belajar cara membuat anyaman seperti bakul, beg, rotan, hiasan dinding dan lain-lain lagi.
Penonton juga dapat merasai pengalaman berjarak dekat dengan haiwan liar, seperti gajah sambil menikmati keindahan alam semula jadi di situ selain mereka turut ditunjukkan cara-cara bagaimana terus hidup jika sesat di dalam hutan.
Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.