Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Peribahasa ini sangat sesuai menggambarkan nasib luar biasa yang menimpa dua pemenang bertuah kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya. Mereka membawa pulang hadiah utama berupa emas seberat 1 kilogram (KG) tajaan GB Gold Malaysia yang dianggarkan bernilai RM500,000.
Antara yang bertuah adalah Muhammad Abdul, lebih dikenali sebagai Apek, seorang pelajar yang membeli wafer emas edisi terhad GB Gold x Bulan Bintang. Seorang lagi pemenang ialah Muhammad Syafiq Abdullah, seorang juruteknik yang membeli produk Bulan Bintang dengan harga serendah RM200, tanpa menyangka rezeki besar bakal menjadi miliknya.
Impian Membawa Ibu Bapa Ke Tanah Suci Jadi Kenyataan
Bagi Apek, kemenangan ini bukan sekadar rezeki tetapi peluang besar untuk membalas jasa kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban demi membesarkannya. Dengan nada penuh syukur, Apek berkongsi hasratnya:
“Kalau ada rezeki, saya mahu bawa mak dan ayah menunaikan haji tahun ini kerana mereka belum pernah menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Saya bukan datang dari keluarga senang. Kehidupan kami sederhana dan kemenangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga serta merealisasikan impian mereka untuk ke Makkah,” katanya.
Apek turut mengimbau kembali kesusahan hidup keluarganya dahulu di mana bapanya terpaksa berjimat cermat demi memastikan anak-anak mereka cukup makan dan bersekolah.
“Kalau diimbas kembali kesusahan dulu, setiap kali gaji masuk, sekejap sahaja duit habis untuk keperluan keluarga. Kadang-kadang, saya sendiri bingung bagaimana mereka mampu membesarkan saya dan adik-beradik lain. Tapi Alhamdulillah, mereka berjaya membesarkan kami dengan baik dan kini tiba masanya untuk saya membalas jasa mereka,” ujarnya dengan nada penuh rasa terharu.
Hadiah Rezeki Tepat Pada Waktunya Untuk Syafiq
Sementara itu, Muhammad Syafiq Abdullah, yang baru sahaja bertunang pada Februari lalu, menganggap kemenangan ini sebagai rezeki besar yang datang tepat pada masanya. Syafiq berhasrat menggunakan hadiah emas tersebut untuk persiapan perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung hujung tahun ini.
“Saya berhajat untuk berkahwin pada penghujung tahun ini dan kemenangan ini adalah rezeki untuk persiapan perkahwinan saya. Selain itu, saya juga mahu membawa ibu ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah,” kata Syafiq dengan nada penuh syukur.
Pengasas Bulan Bintang Terharu Dengan Niat Murni Pemenang
Pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, meluahkan rasa terharu apabila mengetahui niat murni kedua-dua pemenang yang mahu menggunakan hadiah kemenangan mereka ke arah kebaikan. Baginya, kemenangan ini bukan sekadar rezeki semata-mata tetapi juga peluang untuk membahagiakan insan tersayang.
“Saya doakan yang terbaik untuk mereka. Dengan niat yang sebegini baik, Insya-Allah, Allah pasti akan memudahkan segala urusan mereka. Kemenangan ini bukan sekadar rezeki, tetapi juga peluang untuk mereka membahagiakan insan tersayang,” katanya.
Majlis pengumuman pemenang hadiah utama kempen Terrrrpaling Raya Bulan Bintang diadakan di cawangan GB Gold Shah Alam baru-baru ini. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah pengasas GB Gold, Shahfizzam Moideen, yang lebih dikenali sebagai Tuan GB.
Bulan Bintang Terus Menjadi Fenomena Dengan Ganjaran Luar Biasa
Setiap tahun, kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya terus menjadi fenomena apabila menawarkan ganjaran menarik kepada para pelanggannya. Tahun ini, Bulan Bintang bekerjasama dengan GB Gold Malaysia yang menaja emas seberat 1 KG bernilai RM500,000.
Tidak terhenti di situ, kempen kali ini juga meraikan Muhammad Amirul Akmal Ishak, 24 tahun, yang menjadi pemenang pakej menunaikan haji. Kolaborasi istimewa antara Bulan Bintang dan Kahf telah menghadiahkan jejaka berasal dari Kedah ini pakej menunaikan haji bernilai RM80,000.
Kolaborasi Strategik Antara Bulan Bintang Dan Jenama Tersohor
Kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya tahun ini turut menyaksikan kerjasama Bulan Bintang bersama pelbagai jenama terkenal seperti GB Gold, Kahf, Hausboom, AirAsia, dan banyak lagi. Kolaborasi ini tidak hanya memberikan hadiah lumayan kepada pelanggan setia, tetapi juga meningkatkan reputasi jenama Bulan Bintang sebagai peneraju fesyen raya dan gaya hidup di Malaysia.
Apa Kata Budiey?
Kempen Bulan Bintang Terrrrpaling Raya sememangnya membawa impak besar dalam kehidupan ramai orang, lebih-lebih lagi apabila hadiah yang ditawarkan bukan sekadar emas dan pakej haji, tetapi juga peluang untuk merealisasikan impian yang selama ini tertangguh. Rezeki Apek dan Syafiq yang datang tepat pada masanya membuktikan bahawa usaha kecil yang dilakukan dengan niat yang baik pasti membuahkan hasil luar biasa. Kolaborasi strategik Bulan Bintang dengan jenama terkenal turut menjadikan kempen ini lebih gah dan berprestij setiap tahun.
Melihat kepada impak positif ini, Budiey percaya kempen seperti ini wajar diteruskan pada masa akan datang kerana ia bukan sekadar memberi hadiah lumayan, malah mampu mengubah kehidupan pemenang ke arah yang lebih baik. Semoga lebih ramai lagi yang berpeluang menikmati rezeki luar biasa seperti mereka pada edisi seterusnya!