Nama figura Rita Rudaini tidak perlu diperkenalkan lagi. Deretan drama dan filem lakonannya berjaya menjadikan dia antara pelakon wanita terbaik yang industri dimiliki. Berikan apa saja watak, dia mampu lakukan tanpa mengecewakan.
Seiring dengan kematangan usia dan kerjaya yang dibina sejak lebih 20 tahun lalu, Rita secara perlahan-lahan mengorak langkah dengan meneroka dunia perniagaan. Bidang yang tidak pernah difikirkan selama ini, namun ia sudah menjadi cinta barunya.
Memulakan perniagaan menerusi beberapa produk sendiri termasuk minyak wangi jenama Crush by Rita Rudaini yang dilancarkan sejak dua tahun lalu, Rita kini boleh tersenyum bangga melihat kejayaan yang dicapai produk itu hasil kerjasama dengan syarikat Nori Malaysia Sdn Bhd.
Menurut Rita, pembabitannya dalam bidang perniagaan memberikan satu lagi perspektif baru buat dirinya dalam terus memajukan diri selain menjadikan ia sebagai jaminan masa depan.
“Orang selalu cakap menceburkan diri dalam bidang perniagaan ini satu percaturan. Ada ketika boleh untung, begitu juga sebaliknya. Malah, sudah melaluinya pun ketika mula-mula berniaga apabila kedai makan yang dibuka akhirnya tutup. Tapi, itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus berusaha dan bekerja keras.
“Saya cakap pada diri kena yakin dan jangan mengalah. Lagi pula, pada usia sekarang saya tidak boleh lagi terus berharap pada satu bidang semata-mata. Kerjaya lakonan saya sekarang tidak lagi seperti dulu. Kalau zaman masih muda, bolehlah kerja dari pagi sampai ke pagi esoknya dan ambil banyak tawaran. Sekarang, boleh lagi.
“Disebabkan itu, saya perlu ambil langkah berani dan keluar dari kepompong itu. Kalau bukan sekarang bila lagi? Saya kena betul-betul fokus dan tekadkan diri. Sehinggalah akhirnya, saya mengambil keputusan untuk jual produk atas jenama sendiri. Saya bertemu dengan pihak Nori untuk menjual minyak wangi,” katanya.
– Rita Rudaini
Bagaimanapun, Rita berkata pembabitan dalam bidang perniagaan itu bukan bermakna dia memberi titik noktah pada kerjaya seni.
“Saya tak cakap nak berhenti berlakon. Saya masih mendapat tawaran berlakon. Alhamdulillah, saya percaya pada rezeki Allah. Cuma, apabila saya terjun dalam bidang perniagaan, saya perlu beri sedikit keutamaan. Saya tidak mahu lagi ‘pisang berbuah dua kali’. Alhamdulillah, setakat ini saya masih boleh uruskan dengan baik.
“Jika ada tawaran naskhah menarik, masa dan jadual kena, saya okay untuk buat. Sebab produk ini menjual nama saya, jadi jenama itu perlu kekal ada dan sesekali memang kena muncul dalam drama. Sekurang-kurangya orang akan ingat.
“Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran sampai bila akan berlakon. Bagi saya, ini semua soal rezeki dan ketentuan Allah. Malah saya percaya, setiap apa yang dilalui kini juga adalah aturan Allah. Yakinlah yang mana Allah adalah sebaik-baik perancang. Selebihnya, kita tetap kena berusaha untuk mengubah nasib kita sendiri,”
– Rita Rudaini
Berkongsi mengenai produk Crush by Rita Rudaini yang pada awalnya dijual secara dalam talian, terbaharu ia sudah boleh didapati di bahagian kosmetik dan minyak wangi beberapa cawangan AEON di seluruh negara selepas yang pertama dilancarkan di AEON Midvalley tahun ini.
Sehingga kini, produk Crush by Rita Rudaini sudah dipasarkan di enam cawangan AEON antaranya AEON Midvalley, Taman Maluri, Bukit Tinggi, Cheras Selatan, Nilai dan Seremban 2. Dua lagi bakal dibuka di AEON Shah Alam pada 26 Oktober dan AEON Tebrau City (1 November).
Malah, Rita juga meluahkan rasa syukur apabila minyak wangi itu masih menjadi pilihan pengguna biarpun negara masih dalam suasana pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, selepas Crush by Rita Rudaini dijual di AEON Midvalley, sekarang ia sudah boleh didapati di beberapa cawangan lain juga. Termasuk pihak Nori dalam perancangan untuk jual di lima cawangan lain di Johor, Kedah dan Kelantan sebelum hujung tahun ini. Terima kasih kepada pihak Nori atas kerjasama baik diberikan sekaligus membuka ruang dan peluang yang lebih besar buat produk saya ini.
“Syukur juga apabila sepanjang pandemik masih ramai yang membeli biarpun secara dalam talian. Lagi pula, ini juga antara strategi pemasaran sekarang. Setiap hari saya buat promosi di Instagram. Tapi, kalau nak lebih cepat dan dapat terus boleh ke cawangan AEON yang menjual minyak wangi ini,”
– Rita Rudaini
Dalam masa sama, Rita berkata dia bakal melancarkan bauan baru minyak wangi miliknya.
“Insya-Allah, sekarang ia dalam proses akhir. Bau kali ini lain sedikit dari Crush, tapi saya boleh jamin ia memang wangi. Tapi, saya masih pilih bauan raudhah,”
– Rita Rudaini