in

Rey Kimara Suria Fm Sabah Akhiri Zaman Bujang

Penyampai radio Suria FM Sabah, Rey Kimara, selamat melangsungkan perkahwinan bersama gadis pilihannya iaitu Valeria Veylo Paulus pada 1 Mac lalu. Rey, 28 tahun, berkata, dia teruja bergelar suami kepada Valeria dan menganggap perkahwinan itu mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab dalam pelbagai perkara.

Pasangan pengantin bersama ahli keluarga

“Saya berasa amat teruja apabila bergelar suami sehingga kadang-kadang saya tersasul memanggil isteri walaupun kami sudah sah sebagai pasangan. Tanggunjawab serta komitmen semakin besar selain keluarga adalah perkara utama kepada saya selepas berkahwin.”

Rey dan Valeria, 27, melangsungkan perkahwinan mereka di Gereja St. Thomas, Tuaran dalam suasana sederhana tetapi meriah dengan kehadiran sanak saudara kedua-dua belah pihak. Lebih istimewa Rey turut menyanyikan sebuah lagu dan bermain gitar ketika pengantin perempuan berarak masuk ke dalam gereja sebelum disatukan.

Majlis resepsi yang diadakan pada sebelah malam di Dewan Datuk Sulaiman, Tuaran turut dihadiri oleh rakan penyampai Suria FM Sabah iaitu Obie serta rakan artis iaitu Felix Agus (AF3), Esther Applunius (One in a million), Marlenney Davreney, Ridah Malanjang, Clarice John Matha, S.Welly Fabian William, Nobita Beatbox Jovita Robert, Ateng, LP Raphael Pinus, Othoe dan Papier Mache. Antara tetamu kehormat yang hadir termasuklah Menteri Pelancangon, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Madius Tangau.

Selain itu, Rey berkata, bagi memulakan kehidupan baharu bersama isteri, dia telah membeli sebuah rumah dan mengimpikan sebuah keluarga besar. “Kami juga telah berpindah ke rumah baru dan mengimpikan empat orang cahaya mata dan berharap semuanya akan berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Rey merupakan penyampai bersama Farish Aziz di dalam segmen Ceria Pagi Sabah di Suria FM Sabah, bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi khas buat pendengar di Sabah menerusi frekuansi 105.9 FM.

Majlis Resepsi

Rey & pasangan

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Inilah Kenyataan Dari Kekasih Hanez Suraya Romie Razin Adilha

Airasia Supports Suu Foundation For Better Healthcare