“REWANG 2009” MEMPERKENALKAN 8 PROGRAM BAHARU SELANGORFM
SELANGORfm memulakan langkah kanan untuk tahun 2009 dengan memperkenalkan lapan program baharu istimewa untuk pendengar-pendengar setianya. Stesen radio di bawah naungan RTM ini telah menjadi wadah hiburan dan maklumat bagi warga Selangor sejak dahulu lagi.
Deejay Selangorfm dari kiri DJ Mizi,DJ Kadir, DJ Zainal, DJ Azura, DJ Fazli, DJ Syed dan DJ Nazrie.
Justeru bagi memastikan pendengar setianya terus kekal, tanggal 1 Februari 2009, SELANGORfm terus memantapkan kandungan siaranya dengan memperkenalkan Chef@SELANGORfm, Sejoli, Papa Yo!, Carta Lagu, Sekacip, Destinasi, Dr.Islam dan Hadis. Pelancaran program-program baharu ini dimulakan di Konti SELANGORfm pada pukul 8.00 pagi dan acara terus dimeriahkan dengan penyampaian hadiah kepada 50 orang para pemenang Kuiz Rewang 2009 di Foyer Radio, Angkasapuri.
50 orang pendengar setia yang bertuah bakal menerima hadiah istimewa daripada SELANGORfm dan majlis pada pagi tersebut diakhiri dengan acara memotong kek dan pulut kuning oleh Pengarah Penyiaran Selangor, Encik Isamudin Ahmad. Menurut Isamudin, “kepada semua ahli sahabat SELANGORfm “Pilihan Tepat” dan pendengar setia stesen radio ini serta orang ramai adalah dijemput bagi memeriahkan Rewang 2009 pada 1 Februari 2009, bemula pukul 8.00 pagi bertempat di Foyer Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur”.
Rancangan Chef@SELANGORfm, terbitan Wahidah Yaacob, akan menemui pendengar setiap hari Rabu, pukul 11.30 pagi. Rancangan ini bakal membawa pendengar untuk berinteraksi bersama chef-chef terkenal yang akan memberikan petua masakan, diet seimbang, resipi sihat serta turut menjawab segala pertanyaan dan merungkai segala kegusaran pendengar terhadap isu-isu berkaitan masakan dan pemakanan. Kadang-kadang, program seperti ini akan membuat pendengar terliur dengan resipi-resipi enak lagi sihat daripada chef-chef terkemuka ini.
Sebuah program yang akan menguji sejauh mana anda mengetahui dan mengenali pasangan anda, keudara secara langsung, setiap Rabu, 9.30 malam, bersama penerbit Fazli Ibrahim. Rancangan yang diberi nama Sejoli ini akan membawa pasangan secara langsung menerusi siaran SELANGORfm dan pelbagai pertanyaan bakal diutarakan untuk menguji sejauh mana anda mengenali pasangan anda. Uniknya, rancangan ini bukan setakat terhad kepada mereka yang sudah berumahtangga, malah anda yang sedang dilamun cinta mahupun di dalam ikatan pertunangan turut diundang mewarnai Sejoli. Kepada yang baru mula hendak mengenal hati budi juga diundang dan ketika inilah dapat diukur sejauh mana si dia sesuai dengan anda.
Gosip-gosip hangat dunia hiburan turut memeriahkan ruang udara SELANGORfm bermula Februari ini pada setiap hari Sabtu, 9.30 malam dalam rancangan Papa Yo! yang diterbitkan oleh Dassky Shah Ewas. Papa Yo! turut mendapat sokongan daripada wartawan-wartawan media hiburan dalam menyalurkan maklumat-maklumat sensasi artis tempatan mahupun luar negara. Papa Yo! bukan sekadar memaparkan gossip hangat, malah turut menyentuh dunia perfileman tempatan dan luar negara disamping turut “mengusik” dunia Sukan yang pastinya memberi pendengar lebih informasi yang menarik dan berkualiti.
Setiap stesen radio, tidak kiralah, kerajaan mahupun swasta, pasti mempunyai rancangan Carta Lagu yang sendiri. Program ini bagaikan ikon kepada stesen radio. Tidak ketinggalan SELANGORfm, bermula Februari ini, Carta Lagu akan menemui pendengar pada setiap hari Sabtu, pukul 2.00 petang. Rancangan ini yang diterbitkan oleh Nazrie Fahmie Sukri bakal tampil dengan format berbeza dan lebih “vibrant”. Pun begitu, elemen interaktif menerusi sms dan panggilan telefon tetap digunakan bagi menggalakan pendengar mengundi lagu-lagu pilihan mereka.
Bagi memberi promosi meluas terhadap destinasi pelancongan menarik sekitar Selangor, dengan kerjasama Tourism Selangor dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Selangor, rancangan Destinasi diterbitkan oleh Syarmizi Sharudin akan menemui pendengar setiap Jumaat, 11.30 pagi. Destinasi bakal memaparkan informasi berkaitan pelancongan dengan tujuan menarik perhatian pelancong dalam dan luar negara, melancong dan menikmati percutian di lokasi-lokasi menarik sekitar Selangor. Secara tidak langsung, menerusi rancangan Destinasi, SELANGORfm berupaya membantu merangsang aktiviti pelancongan di negeri Selangor.
Bagi pendengar yang dahagakan tips-tips kesihatan, kecantikan dan dunia IT pasti menantikan kemunculan rancangan Sekacip terbitan Suraya Mohamed yang keudara setiap Khamis, 11.30 pagi. Dengan format rancangan yang ringkas, persembahan yang santai serta pengisian yang padat, rancangan ini dilihat mampu membekalkan segala maklumat terkini kepada golongan sasarnya. Jangan lupa, Sekacip, setiap Khamis, 11.30 pagi.
Selain menghidangkan rancangan-rancangan berbentuk hiburan, SELANGORfm turut memberi perhatian yang serius dalam menyebarkan didikan agama menerusi siaran radionya. Justeru, pastikan anda memberi tumpuan kepada rancangan-rancangan agama terbitan Ismail Harun yang disiarkan setiap hari Sabtu, 6.15 petang hingga 6.45 petang bertajuk Doktor Islam dan setiap hari Ahad, 6.15 petang hingga 6.45 petang dalam rancangan Hadis. Dengan pilihan program agama yang semakin banyak, diharapkan dua program agama SELANGORfm ini mampu memberi penjelasan dan bimbingan yang berguna kepada pendengar beragama Islam terhadap kefahaman yang mendalam dalam menjalani ibadah duniawi dan ukhrawi.
Dengan format dan penampilan baharu terhadap 8 program ini, pastinya SELANGORfm mengharapkan agar dapat mengekalkan pendengar setianya disamping cuba memikat hati pendengar-pendengar baharu untuk terus berpaut mendengarkan SELANGORfm. Dengan siaran yang meliputi Lembah Kelang, anda boleh mendengarkan SELANGORfm “Pilihan Tepat” menerusi frekuensi 100.9FM.