Mesti Tonton: Wolverine lebih puas ditonton di panggung
Sarat dengan babak penuh aksi, mendebarkan dan elemen kesan khas
Filem: X-Men Origins: Wolverine
Genre: Aksi, Fiksyen Sains
Pengarah: Gavin Hood
Pelakon: Hugh Jackman, Liev Schreiber, Danny Huston, Ryan Reynolds, will.i.am, Dominic Monaghan, Lynn Collins, Taylor Kitsch, Kevin Durand, Daniel Henney, Scott Adkins, Tim Pocock
Tayangan: Mulai 29 April
PEPERANGAN filem mega musim panas nampaknya dimulakan oleh filem aksi fiksyen sains yang ditunggu-tunggu peminat komik dan siri filem X-Men, X-Men Origins: Wolverine. Filem adiwira yang dibuat berdasarkan komik rekaan Marvel itu bagaimanapun bukanlah sambungan kepada siri X-Men yang berakhir dengan The Last Stand, pada 2006.
Filem ini sebenarnya prekuel kepada trilogi X-Men yang kali ini membawa penonton mengikuti kisah bagaimana watak Wolverine tercipta, akibat rasa dendamnya pada saudara sendiri, Victor Creed atau Sabretooth serta mereka yang menganiaya dirinya. Â
X-Men Origins bermula dengan paparan masa silam Logan ketika masih kanak-kanak, bagaimana dia membunuh ‘bapanya’, seterusnya menjadi buruan penduduk kampung. Dia dan abangnya, Victor, berjuang bersama-sama untuk terus hidup, termasuk menempuh beberapa era peperangan, sejak dulu hinggalah sekarang.
Bagaimanapun, tidak lagi tahan dengan segala keganasan yang berlaku di depan mata, termasuk oleh Victor sendiri. Logan meninggalkan kumpulan tentera mutan yang diketuai Kolonel William Stryker.
Enam tahun kemudian, selepas Logan memulakan hidup baru dengan bekerja di kawasan pembalakan, kekecohan muncul semula apabila Victor membunuh seorang demi seorang anggota pasukan tentera berkenaan. Stryker datang memberikan amaran, tetapi tidak dihindari Logan menyebabkan kekasihnya sendiri, Kayla, menjadi mangsa.
Kematian wanita itu menyebabkan Logan berazam untuk membalas dendam. Stryker pula menggunakan peluang berkenaan untuk memujuknya menyertai projek Senjata X, yang menyaksikan bahan sejenis keluli tak mampu dimusnahkan, adamantium, disatukan dengan tulang-temulangnya, menjadikan Logan makhluk sukar dikalahkan.
X-Men Origins menyaksikan betapa watak Logan atau Wolverine cuba bertarung antara sifat kemanusiaan dan haiwan yang lahir akibat dendam membara dalam diri. Di sinilah karakter yang kuat terserlah pada Wolverine, dengan kebanyakan babak memperlihatkan dirinya berada dalam keadaan marah dan penuh emosi.
Babak kejar mengejar antara Wolverine dan kumpulan Stryker yang dirakam di New Zealand, membabitkan penggunaan helikopter antara adegan yang pasti menyeronokkan untuk ditonton. Tidak ketinggalan, adegan perlawanan tiga penjuru antara Wolverine, Sabretooth dan Gambit. Terutama ketika ‘raja’ segala mutan, Deadpool, muncul semula sebagai Weapon XI untuk mencabut nyawa.
Selain Wolverine, Sabretooth, Cyclops dan Deadpool si mutan yang hebat bermain pedang, filem ini juga rancak dengan kemunculan beberapa watak mutan lain seperti Gambit yang mampu memberikan kuasa kepada segala apa yang disentuhnya, Kayla Silverfox (berkuasa memujuk seseorang dengan daya sentuhan), Bolt (mutan yang mampu memanipulasi elektrik), Emma Frost (boleh menukar dirinya kepada berlian), Dukes (mempunyai kulit yang kuat), John Wraith (mutan yang boleh menghilangkan diri dan muncul di mana-mana) serta Agent Zero (mempunyai kemahiran menembak yang tinggi).
Penuh aksi serta babak pergaduhan yang hebat, X-Men Origins juga menggamit perhatian dengan rakaman pemandangan mengagumkan. Kebanyakan babak dalam filem daripada 20th Century Fox ini dirakam di New Zealand dan Australia.
Perhatian juga tentunya diberikan kepada bentuk fizikal Jackman sendiri, yang tampak hebat di layar lebar. Boleh tahan banyaknya adegan dia menayangkan tubuhnya yang sasa, dek latihan tubi sebelum penggambaran bermula.
Kata Jackman, bagi mendapatkan bentuk badan sebegitu, dia menjalani latihan angkat berat yang memeritkan. Dia juga dikehendaki bangun seawal 4 pagi untuk memakan sedikit hidangan berprotein rendah, sebagaimana disarankan.
“Saya ingin mendapatkan semula fizikal Wolverine sebagaimana dia mula-mula dilihat dalam babak pertarungan di dalam kandang menerusi filem X-Men,” katanya yang menjadikan pelakon Robert De Niro dalam filem Cape Fear sebagai sumber ilhamnya.
Bagaimanapun aktor itu kecewa apabila sebulan sebelum tayangan pembukaannya di seluruh dunia dilakukan, filem itu terlepas ke tangan orang ramai secara haram. Lebih menyedihkan, filem yang dimuat turunkan ke dalam Internet itu adalah versi yang belum siap sepenuhnya.
Dia menganggap kejadian itu sebagai sebuah kereta Ferrari yang belum dicat dan berharap FBI berjaya menahan mereka yang bertanggungjawab memasukkan filem berkenaan ke Internet.
Pengarahnya, Gavin Hood pula berkata, mereka yang menonton filem berkenaan di Internet sebenarnya rugi kerana filem yang ditayangkan di pawagam mempunyai dua penamat yang berbeza. “Jadi, dua panggung mungkin menayangkan dua penamat yang berlainan. Sedikit klip ditayangkan selepas kredit menjadi penunjuk penting kepada watak utama, katanya. – berita harian