Ketenangan Termewah di Twinpalms Phuket
oleh Shah Shamshiri
Andai bercakap soal pantai-pantai tercantik di Asia Tenggara, negara jiran kita Thailand mesti termasuk dalam senarai para pelancong asing. Dengan itu kita sebagai rakyat Malaysia harus mengambil kesempatan di atas kelebihan ini dan sekali-sekala cuba melawat negara berdekatan untuk menyaksikan sendiri. Di antara pantai peranginan yang sering menjadi tumpuan di sana sudah tentulah kawasan pantai Phuket yang terletak di selatan negara tersebut.
Kalau tercari-cari tempat untuk menginap pula, pastikan The Twinpalms Phuket menjadi pilihan utama anda. Resort yang terletak di tepi kawasan pantai Surin ini sangat sesuai untuk mereka yang ingin berbulan madu ataupun bercuti bersama rakan-rakan. Ia juga sebuah hotel mewah yang berkonsep butik dan sememangnya bertaraf lima bintang serta tersenarai sebagai salah satu Small Luxury Hotels of the World (SLH – hotel mewah kecil dunia). Malah, hotel ini pernah dilawati selebriti popular dunia, iaitu supermodel Tyra Banks. Dengan pemandangan pantai serta lautan yang indah, para pengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti menarik di sini dan tidak hairanlah sekiranya ia menjadi pilihan orang ternama seluruh dunia.
Dilengkapi dengan 97 bilik-bilik serta suite yang luas dan mewah, para pengunjung bebas bersantai semahu hati masing-masing. Setiap bilik diberi sentuhan moden kontemporari dan menimbulkan suasana yang sangat tenang dan romantis. Terdapat pilihan bilik yang mempunyai pintu laluan terus ke kolam renang hotel ataupun yang mempunyai beranda depan taman atau tingkat atas. Sekiranya tidak mahu berkongsi kolam renang, ada pilihan yang lebih gah dan eksklusif dalam bentuk Twinpalms Residence Suites. Namun terdapat 21 unit sahaja bagi kategori ini kerana setiap satu persis sebuah rumah kecil tiga tingkat. Ada pilihan satu atau dua bilik tidur bagi setiap unit yang turut dikenali sebagai Penthouse ini, sungguhpun begitu yang menjadi tarikan utama adalah kolam renang peribadi di tingkat paling atas (rooftop pool) yang menawarkan pemandangan indah nan hijau! Penghuni penthouse bebas bersantai di kolam renang bumbung peribadi masing-masing tanpa perlu menghiraukan gangguan luar. Para penghuni penthouse juga boleh menikmati sarapan di bilik masing-masing dengan hanya memesan daripada pihak hotel. Setiap unit kediaman turut dilengkapi kemudahan internet wi-fi secara percuma!
JIka nak ke pantai pula, singgahlah ke seberang jalan dan masuklah sahaja ke dalam lautan yang menunggu. Buat anda yang suka mencuba makanan yang lazat apakata anda singgah di Catch Beach Club yang terletak di tepi pantai kerana ia menghidangkan pelbagai menu tempatan dan antarabangsa yang menarik. Ada juga restoran untuk bersantai iaitu Oriental Spoon Grill & Bar yang menyediakan pelbagai juadah enak. Tersedia juga pool bar serta perpustakaan bagi anda yang ingin membaca atau menenangkan fikiran.
Seperti kebanyakan tempat penginapan pantai di Thailand, kemudahan spa merupakan sesuatu yang sangat sinonim dan Twinpalms mempunyai spa yang sangat hebat yang dikenali sebagai Palm Spa! Hotel ini juga merupakan tempat yang amat sesuai untuk mengadakan pelbagai acara termasuk perkahwinan. Malah 134 pasangan telah selamat dikahwinkan di sini.
Para tamu juga boleh memilih untuk turut serta dalam aktiviti lain seperti membeli-belah di kawasan berdekatan, menaiki bot, menyaksikan persembahan serta macam-macam lagi. Pendek kata resort ini memang sesuai buat penginapan di tepi pantai kerana konsepnya yang mewah lagi eksklusif. Apalagi dengan kedudukannya yang sangat strategik iaitu hanya 30 minit dari lapangan terbang Phuket, ketenangan flora dan fauna di persekitarannya pasti mendamaikan setiap yang berkunjung ke sini!