in

Review The Dwarika’s Hotel Kathmandu

Mengenang Tradisi dalam Senibina Mewah di The Dwarika’s Hotel, Kathmandu.
oleh Shah Shamshiri

Nepal mungkin bukan satu negara yang sering tersenarai sebagai destinasi pelancongan buat warga Malaysia. Namun bagi rakyat Eropah, Amerika, Cina, India, dan Jepun, ia sudah lama menjadi sebuah tumupuan wisata.

Ibunegara Nepal, Kathmandu mempunyai daya tarikannya tersendiri yang lahir dari kekayaan budaya serta sejarah negara tersebut. Sekiranya berpeluang ke Kathmandu dan ingin menginap di dalam suasana kemewahan, cubalah The Dwarika’s Hotel. Hotel yang menawarkan bilik-bilik termahal di ibukota itu mempunyai keunikannya tersendiri di balik kemewahan senibina yang penuh tradisi.

Dwarika's Hotel Kathmandu (12)

The Dwarika’s Hotel lahir daripada impian seorang lelaki yang ingin memulihara senibina zaman kegemilangan Kathmandu, iaitu mendiang Dwarika Das Shrestha. Segalanya bermula pada tahun 1952 apabila Encik Shrestha ternampak dua orang tukang kayu yang sedang menggergaji sebatang tiang lama berusia ratusan tahun yang sangat cantik milik sebuah rumah tradisional. Tiang itu ingin dijadikan bahan kayu binaan. Tidak sangka yang sesuatu begitu indah berusia ratusan tahun bakal musnah menjadi kayu binaan semata, Encik Shrestha menawar untuk membeli kayu binaan buat mereka jika tiang cantik itu diberikan kepada beliau. Sejak itu, Encik Shrestha mula menyelamatkan apa sahaja sisa senibina lama yang ada di sekelilingnya.

Lama kelamaan koleksinya menjadi semakin banyak dan pemuliharaannya menjadi semakin mahal. Lantas dia mengambil keputusan untuk membina sebuah hotel mewah (yang mengambil masa 30 tahun) dengan semua kayu-kayu ekslusif tersebut dan menggunakan hasil pendapatan daripada hotelnya untuk mengekalkan serta membaik-pulih artifak-artifak lama.

Hotel mewah berbintang lima ini masih diurus oleh keluarga Shrestha dan kini mempunyai salah satu koleksi kerja kayu peribadi terbesar di dunia. Terletak tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu dan hanya sepuluh minit dari pusat bandar dengan menaiki kereta, ia mempunyai 80 buah bilik dan suite. Setiap bilik ada karakter tersendiri. Tingkap di kebanyakan bilik adalah peninggalan dari kurun ke-16 dan setiap perabot ada unsur-unsur tradisional Nepal yang kaya dengan unsur agama Buddha seperti warna dan bentuk yang diterap pada bantal, cadar, langsir dan sebagainya. Mirip himpunan beberapa buah rumah agam dalam satu taman yang besar, hotel ini benar-benar unik dan cantik untuk didiami.

Ia terkenal juga dengan restoran mewahnya Krishnarpan, yang masih menyediakan tempat duduk buat pelanggan di atas lantai sambil menjamu hidangan tradisional terbaik Nepal. Restoran lain di situ termasuklah restoran Jepun Mako, Toran, dan The Courtyard di taman bagi mereka yang mahu menghirup udara segar sambil bersantai. Tidak lupa juga Fusion Bar serta Perpustakaan dan Lumbini Lounge untuk ketenangan tamu.

Bagi yang ingin dimanjakan cubalah spa Pancha Kosha Himalaya di situ yang menggunakan herba eksotik dari pergunungan Himalaya. Jika tidak, boleh juga berendam di kolam renang hotel yang masih ada unsur senireka dari kurun ke-12 zaman Dinasti Malla. Malah ada juga kolam pancuran yang telah dirasmikan sendiri oleh Putera Charles dari England.

Selain itu, hotel ini juga mempunyai syarikat pelancongannya tersendiri iaitu Kathmandu Travel and Tours yang bernaung di bawah pengurusan yang sama. Mereka boleh mengatur lawatan pelancongan bagi tamu hotel yang berminat. Ini benar-benar memudahkan percutian mereka yang tidak pernah ke Nepal atau Kathmandu.

Jadi kalau anda penggemar kemewahan namun masih menghargai senibina tradisional serta seni budaya dan peninggalan sejarah, bermalamlah di The Dwarika’s Hotel di Kathmandu, kerana perkhidmatannya tiada tolok bandingan dan anda akan dilayan seperti raja di zaman dahulu kala!

Toran

Dwarika's Hotel Kathmandu Interiors (2)

Dwarika's Hotel Kathmandu Interiors (6)

Dwarika's Hotel Kathmandu (5)

Dwarika's Hotel Kathmandu Interiors (4)

Krishnarpan (1)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

AXE Launches Search For Next Malaysian Astronaut

Profile Astrid