in

Review Philea Resort and Spa

Kayuan Mewah dan Sentuhan Anggun Philea Resort and Spa
oleh Shah Shamshiri

Tersembunyi di suatu tempat yang indah dan menenangkan seluas 15 ekar di Ayer Keroh adalah Philea Resort and Spa, suatu permata terlindung yang menyimpan kunci penenang jiwa buat setiap pengunjungnya.

Resort bertaraf lima bintang ini dibina dengan menggunakan sumber alam semulajadi Malaysia yang terdiri daripada 8,000 keping kayu landasan ranjang terpakai dari landasan keretapi, lebih daripada 6,000 tan batu marmar dari Perak yang dijadikan pagar bongkah batu serta barangan yang dikitar semula dari kapal-kapal terbengkalai yang turut dijadikan perabot di kawasan lobi.

Resort ini telah menanam lebih daripada 3,000 batang pokok di dalam kawasannya untuk mengekalkan dan memelihara sumber alam semulajadi serta mewujudkan sebuah air terjun buatan untuk mengindahkan lagi suasana persekitaran.

32 Resort Overall Suite

Philea Resort and Spa menawarkan tiga jenis bilik untuk memenuhi citarasa para pengunjungnya. Bilik Pavilion menampilkan beranda khas di bahagian bawah sementara bilik di atas mempunyai balkoni yang menawarkan pemandangan taman resort yang menyejukkan mata dan jiwa. Philea Suite pula menyediakan sebuah bilik yang luas dengan tab mandi yang anggun dan terletak di tengah-tengah lembah, sambil memberikan pemandangan kolam renang serta air terjun. Namun, bilik yang paling gah dan mewah adalah Royal Villa yang seperti namanya sesuai buat penginapan mereka yang inginkan sentuhan eksklusif dan bertaraf tinggi. Mereka yang bermalam di villa ini akan dijemput dan dihantar setiap kali ingin keluar atau masuk, dan disajikan lagi dengan hiburan, pengalaman kesihatan, kolam renang peribadi serta pilihan untuk menikmati makan malam persendirian di villa tersebut.

Terdapat 201 buah bilik secara keseluruhan di sini yang terdiri daripada 180 unit bilik Pavilion, 19 unit Philea Suite serta dua unit Royal Villa, di mana setiap blok dibina dengan menggunakan kayu balak dari pokok pain atau ru dan direka khas supaya kelihatan seperti rumah-rumah di desa dengan pemandangan panorama seluruh kawasan resort yang indah. Ini telah membawa kepada penganugerahan daripada Malaysia Book of Records yang telah memahkotakan Philea sebagai Resort Kayu Balak Pertama dan Resort Kayu Balak Terbesar di negara ini.

Philea menawarkan keindahan alam semulajadi selain senibina yang unik dan bergaya. Setiap bilik yang luas turut menyediakan perabot mewah berserta kemudahan moden lain yang canggih dan terkini seperti TV LCD, kemudahan wi-fi internet dan sebagainya.

Kalau soal makan pula, terdapat banyak pilihan kerana para tamu boleh memilih untuk menjamu selera di Cravo Cravo jika mahukan sajian Asia dan barat, Bayu Cabana untuk menikmati minuman di tepi kolam renang, manakala ChillOut Bar dan juga Tropics Lounge untuk berhibur dan bersantai. Masing-masing menyediakan lima pengalaman berbeza.

Selain itu resort ini turut dilengkapi dengan gimnasium, ruangan mesyuarat dan acara, spa, kolam renang, bilik permainan, bilik karaoke, serta kemudahan rekreasi yang lain. Jadi ia memang sesuai buat semua golongan yang ingin berehat seketika dari hingar-bingar kotaraya. Resort ini juga terletak bersebelahan dengan taman rama-rama dan hanya beberapa minit sahaja dari bandaraya Melaka sekiranya memandu. Untuk itu, cublah singgah seketika dan nikmati ketenangan di sini!

06 Philea Suite - Exterior

07 Philea Suite

29 Swimming Pool - Night

02 Resort Facade

23 Cravo Cravo (Terrace)

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Konsert Mega Maher Zain Mercy To Mankind

Sertai Samsung Global Blogger & Menang Trip Ke London