‘Pandu Masuk’ ke Hotel Victoria Court Malate di Manila
oleh Shah Shamshiri
Tanggapan sesetengah orang tentang hotel dan tempat penginapan biasanya sama sahaja. Secara amnya, semua beranggapan hotel pasti bilik tidur, bilik mandi dan tempat makan. Itu sahaja. Namun ramai yang lupa bahawa seni reka dalaman serta kemudahan yang disediakan oleh beberapa hotel tertentu berbeza mengikut keadaan, tempat dan keperluan.
Itulah senarionya bagi salah sebuah rangkaian hotel yang paling dikenali di Manila iaitu hotel Victoria Court. Rangkaian hotel ini pada mulanya dibangunkan sebagai sebuah motel sahaja. Kemudian para pemiliknya menaikkan taraf dan kualiti perkhidmatan motel ini sehinggalah menjadi sebuah rangkaian hotel popular di sekitar Manila. Ini kerana mereka menyedari bahawa permintaan terhadap hotel berkualiti semakin meningkat tetapi harga yang ditawarkan kadangkala terlalu mahal.
Lantas, lahirlah Victoria Court yang mempunyai konsep uniknya tersendiri sambil menawarkan harga berpatutan serta kemudahan bertaraf tinggi. Daripada motel biasa satu ketika dahulu, Victoria Court telah berubah wajah menjadi sebuah hotel berkualiti yang sangat praktikal.
Sebagai contoh, Victoria Court di Malate Manila yang berdekatan dengan zoo kota ini menjadi tumpuan kerana kemudahan lokasi dan perkhidmatannya. Ia berhampiran dengan pusat-pusat pelancongan kota Manila dan tidak jauh dari pusat perniagaan Manila iaitu Makati City. Pengunjung yang sudah membuat tempahan hanya perlu pandu masuk untuk memberitahu nama mereka ke pihak penyambut tetamu hotel dan kemudian dibawa ke garaj masing-masing.
Konsep Victoria Court berkonsepkan ‘pandu masuk’ atau “Drive in” menjadikannya hotel pilihan ramai orang. Ini kerana setiap unit hotel mempunyai garajnya sendiri dan bilik yang diberikan pada tamu seolah-olah pangsapuri anda sendiri.
Semasa rangkaian hotel ini dinaik taraf, kebanyakan bilik-biliknya dijadikan suite yang mempunyai pelbagai tema unik, dari idea filem-filem dan sebagainya. Suite-suite bertema ini luas kerana mempunyai dua tingkat. Sebaik sahaja meletakkan kereta di garaj sendiri, para tamu boleh naik ke atas di tingkat satu di mana terletaknya ruang tamu sendiri yang lengkap dengan sofa dan televisyen serta bilik mandi berjacuzzi dan televisyen berlayar lebar. Di atas pula adalah bilik tidur utama dengan sebuah bilik air serta meja hiasan.
Selain itu hotel ini juga tidak memberikan kunci kepada para tamunya kerana penyambut tetamu sentiasa ada 24 jam sehari. Sebaik sahaja tiba di hotel, garaj dan pintu akan dibuka oleh mereka.
Tamu hanya diminta kunci suite masing-masing setiap kali masuk dan keluar. Para pekerja hotel akan sentiasa siap menunggu untuk membuka pintu andai para penyewa pulang ke hotel. Mereka juga sedia membantu sekiranya memerlukan sebarang pertolongan. Sarapan yang dipesan akan dibawa ke bilik masing-masing dan ini memudahkan aktiviti seharian.
Lebih unik lagi, hotel ini juga boleh disewa mengikut jam sekiranya perlu dan ini sangat sesuai bagi pelancong asing yang perlu menunggu penerbangan di waktu petang atau malam sesudah mendaftar keluar dari hotel masing-masing.
Tidak perlulah berjalan dengan bagasi ke sana-sini sementara menunggu waktu pulang. Sewa sahaja bilik untuk beberapa jam lagi untuk berehat dan bersiap-siap sebelum ke lapangan terbang. Perkhidmatan pengangkutan percuma dari dan ke lapangan terbang juga ada tersedia bagi tamu yang bermalam di hotel ini.
Yang pasti, bilik-bilik hotel ini selamat, bersih, praktikal dan sangat indah mata memandang. Dengan harga berpatutan serta kemudahan dan perkhidmatan berkualiti, ia sangat disyorkan bagi mereka yang praktikal.
Andai bercadang nak ke Manila satu hari nanti pastikan anda memilih Victoria Court kerana ia mempunyai banyak cawangan dan benar-benar berpatutan. Ia juga sesuai buat yang inginkan kelainan dalam penginapan anda di kota Manila! Untuk keterangan lanjut sila layari http://www.victoriacourt.biz