Sekali mendengar nama hotel ini, pasti ramai yang kenal dengan jenamanya kerana ia ada di beberapa negara di seluruh dunia. Dan seperti namanya, hotel The Regent di Singapura benar-benar menjiwai dan menggambarkan kemegahan namanya.
Hotel mewah yang sudah berusia 25 tahun dan merupakan salah satu hotel tersohor di Singapura ini terletak di pusat bandaraya Singapura berdekatan kawasan taman botanik Singapura yang luas. Ia juga mempunyai lokasi yang sangat strategik kerana kedudukannya tidak jauh dari Jalan Orchard yang merupakan pusat perdagangan dan membeli-belah kota singa tersebut. Ia juga mengambil masa lebih kurang 30 minit sahaja untuk sampai ke situ dari Lapangan Terbang Changi.
Dengan 440 bilik-bilik indah dari pelbagai taraf, hotel ini menjanjikan perkhidmatan terbaik buat semua tamunya yang hadir. Kesemua bilik-biliknya dilengkapi kelengkapan serta kemudahan terkini dan berkualiti tinggi dari TV layar leper sehinggalah barangan mandian jenama L’Occitane. Ini sebagai bukti mereka yang ingin memberikan yang terbaik buat para pelanggan yang datang menginap di situ.
Seperti hotel-hotel mewah lain, hotel ini juga dilengkapi dengan bilik-bilik khas yang lebih eksklusif kerana terletak di bawah kategori Regent Club. Semestinya, para penghuni bilik-bilik ini mempunyai ruang santai mereka tersendiri di Regent Club untuk menikmati pelbagai perkhidmatan seperti kemudahan internet wi-fi, sarapan khas serta minum petang yang lebih istimewa.
Berkat keluasannya, The Regent Singapore juga mempunyai kemudahan-kemudahan lain seperti sebuah kolam renang, gymnasium serta pusat kesihatan, dan juga aneka restoran serta tempat makan. Berserta kemudahan-kemudahan hotel yang lain seperti ruang-ruang mesyuarat dan dewan, hotel ini memang sesuai buat anda yang menyenangi kemewahan.
Kalau soal menjamu selera pula, mereka mempunyai pelbagai restoran di antaranya restoran Basilico, restoran Itali yang terkenal dengan sajian asli Italinya, Summer palace sebuah restoran Cina Kantonis, Tenshin, restoran Jepun, Grand Palki, restoran makanan India Utara, The Bar, Tea Lounge dan juga Dolcetto oleh Basilico, sebuah kafe dan kedai roti yang menawarkan ajnas pilihan roti dan pastri.
Istimewa di Dolcetto by Basilico, terdapat macaroon khas yang dicipta chef mereka di mana ia berintikan dakwat sotong dan keju yang enak dan menarik!
Andai anda mahu menikmati sekilas kemewahan dan melihat sedikit keindahan taman di hujung Orchard Road, bermalamlah di The Regent Singapore. Ia pasti satu pengalaman eksklusif yang tidak akan anda lupakan!
Semalam yang mewah di The Regent Singapura
oleh Shah Shamshiri