in

Review Hotel Majapahit di Surabaya

Kemegahan dan Kemewahan Hotel Majapahit di Surabaya
oleh Shah Shamshiri

Di tengah-tengah kota Surabaya di Indonesia, tersergam indah sebuah hotel yang tidak lusuh dimakan usia. Kini dikenali sebagai Hotel Majapahit, hotel yang pernah dinamakan Oranje Hotel ini mendapat nama bersempena dengan nama keluarga diraja Belanda. Ia dibina pada tahun 1910 oleh anak kepada pengasas Hotel raffles di Singapura iaitu Lucas Martin Sarkies. Beliau juga penyumbang kepada empayar hotel mewah keluarganya yang bertanggungjawab membangunkan hotel The Strand di Myanmar serta The Eastern & Oriental Hotel di Pulau Pinang.

Orange hotel

Sepanjang berfungsi sebagai hotel, ia pernah dikunjungi oleh beberapa tokoh terkenal seperti Putera Mahkota Leopold ke-2 serta Puteri Astrid dari Belgium dan juga pelakon Charlie Chaplin. Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa hotel mewah ini pernah dipanggil Hotel Yamato semasa Perang Dunia ke-2 di zaman penjajahan Jepun dan lebih menakjubkan lagi, ia pernah menjadi pusat tahanan sementara buat wanita serta kanak-kanak Belanda sebelum mereka dihantar ke kem tahanan di Jawa Pusat. Sesudah Indonesia mencapai kemerdekaan ia kemudian diberi nama Hotel Merdeka sebagai tanda simbolik ‘peristiwa bendera’ yang berlaku di hotel tersebut di mana, bahagian berwarna biru bendera Belanda telah dikoyakkan oleh para pejuang kemerdekaan dan terhasilnya bendera Indonesia. Hari ini, peristiwa penuh bersejarah itu di abadikan di bahagian lain hotel tersebut, iaitu di ruang legar atau lobi di mana terdapat sebuah lukisan yang menggambarkan saat itu.

Setelah diambil semula oleh Sarkies Bersaudara, hotel ini berganti nama ke hotel L M S (Lucas Martin Sarkies) dan akhirnya pada tahun 1969 ia telah dibeli oleh sebuah syarikat lain dan dipanggil Hotel Majapahit sehinggalah saat ini, bersempena dengan kerajaan purba paling gah di Indonesia.

North Garden

Sekarang, hotel serba mewah ini masih mengekalkan senibinanya yang penuh dengan unsur sejarah walaupun kini dilengkapi dengan kemudahan moden yang lain. Selain kolam renang yang luas, gimnasium yang serba lengkap, dan spa, ia turut mempunyai sebuah jacuzzi khas buat kegunaan para tamu. Bagi tujuan menjamu selera para pengunjung, Toko Deli serta Indigo’s Restaurant & Bar ada tersedia. Kedua-dua tempat makan ini menyajikan pilihan hidangan tempatan serta antarabangsa yang paling enak, menepati kedudukannya sebagai sebuah hotel kolonial bertaraf lima bintang.

Dihiasi dengan kawasan taman yang lapang dan indah, kesemua bangunan-bangunan di sekitar kawasan hotel ini persis rumah-rumah agam di zaman penjajahan kuasa-kuasa Eropah. Ini juga masih kelihatan dalam senireka dalaman setiap bilik yang sangat ekslusif dan mewah. Keanggunan setiap bilik dengan gaya perabot yang digunakan pada zaman awal 1930-an membuat anda berasa seolah-olah anda kembali ke masa silam dan hidup di dalam buku-buku sejarah Asia Tenggara. Ia juga dilengkapi dengan dewan-dewan besar dan ruangan-ruangan khas untuk aktiviti mesyuarat, seminar serta macam-macam lagi. Tidak lupa juga pusat perniagaan atau ‘business centre’ untuk kemudahan para tamu yang ingin menggunakan kelengkapan bekerja seperti di pejabat.

Jadi sekiranya anda menyenangi penginapan yang mewah serta berkelas tinggi dan masih kaya dengan nilai-nilai sejarah tersendiri, singgahlah sebentar ke hotel Majapahit di Surabaya. Pengalaman bermalam di sini sahaja sudah seperti mengunjung sebuah tapak bersejarah atau sebuah rumah agam zaman penjajahan Eropah. Selain lokasinya yang sangat strategik, berdekatan dengan kebanyakan kawasan tumpuan dan pusat perniagaan kota Surabaya, ia juga menawarkan perkhidmatan terunggul masa kini!

Presidential Suite's Stair

Lobby

Executive Suite

Sarkies Seafood Restaurant

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Trailer Filem Jalan Kembali Bohsia 2

Gambar Fadlan VIP Menggayakan Pakaian Karpet Merah di ABPBH