HOTEL KRISTAL JAKARTA : Jelmaan Hotel dan Pangsapuri Mewah
oleh Shah Shamshiri
Jakarta sering menjadi tumpuan para pelancong asing khasnya rakyat Malaysia. Ini kerana ibunegara Indonesia ini memang terkenal dengan pelbagai tempat membeli-belah serta tempat-tempat makan yang popular serta menyelerakan. Jarak Jakarta dan KL yang hanya memakan masa dua jam dengan menaiki kapal terbang memudahkan lagi perjalanan para pengunjung dari Malaysia.
Oleh kerana itu, keperluan untuk tempat persinggahan dan penginapan di sini semakin meningkat. Walaupun semakin banyak hotel-hotel baru yang muncul di bandar ini, namun terdapat beberapa hotel di Jakarta yang telah lama bertahan dengan konsepnya yang tersendiri. Hotel Kristal di Jakarta Selatan merupakan salah satu hotel yang dimaksudkan.
Terbina di kawasan kediaman elit Pondok Indah di Jakarta Selatan, kedudukan strategiknya menyebabkan ramai yang memilih untuk bermalam di sini. Biarpun sudah lama bertapak di sini, kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan Hotel Kristal masih lagi utuh dan malah semakin bagus saban hari. Apalagi dengan senireka dalamannya yang seiring dengan gaya kontemporari hotel-hotel lain masa kini.
Yang lebih istimewa, hotel ini bukan sahaja menawarkan bilik-bilik dan suite seperti hotel-hotel mewah yang lain tetapi tujuan utama mereka adalah untuk mewujudkan tempat tinggal dan bukan sekadar bilik biasa. Dengan konsep suite sepenuhnya, setiap unit persis pangsapuri mewah dengan perkhidmatan (serviced apartments). Terdapat pilihan suite dengan satu, dua atau tiga bilik tidur untuk kemudahan para tamu. Ini diserikan lagi dengan perkhidmatan terbaik para pekerja hotel yang datang untuk mengemas seluruh suite seperti di hotel lima bintang yang lain.
Turut dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan lain seperti kolam renang, gymnasium, dewan-dewan serbaguna dan macam-macam lagi, hotel ini sering menjadi tumpuan para usahawan yang mempunyai urusan kerja di kawasan sekitar Jakarta Selatan. Ini kerana hotel ini berdekatan dengan pusat-pusat perdagangan dan industri terkemuka seperti pusat-pusat membeli-belah. Hospital Pondok Indah juga tidak jauh dari situ selain Jakarta International School. Malah akses ke jalan lingkaran luar memudahkan para tamu untuk ke padang-padang golf terkemuka.
Soal menjamu selera juga bukanlah satu masalah kerana tersedia ajnas pilihan restoran dan tempat makan di hotel berbintang empat ini. Di antaranya termasuklah Deli Delima dan Next Door. Tidak lupa juga ruang makan utama mereka iaitu Kafe Pinang untuk menikmati pelbagai hidangan lazat tidak kiralah buat sarapan, makan tengah hari ataupun makan malam. Untuk bersantai atau minum petang, cubalah singgah di Satu Lagi Bar mereka. Bagi yang suka menenangkan tubuh badan, boleh juga cuba rawatan spa yang ada. Jadi sekiranya anda tercari-cari, hotel di Jakarta Selatan, pastikan Hotel Kristal menjadi pilihan pertama!