Tersergam di kawasan kewangan serta kedutaan Chaoyang di Beijing, Hilton Beijing berdiri megah menghiasi latar belakang bangunan pencakar langit serba moden. Hotel berjenama antarabangsa ini terus menjadi tumpuan mereka yang ingin bermalam dalam suasana mewah dan selesa.
Hilton Beijing yang terletak sekitar 20 minit dari lapangan terbang antarabangsa Beijing Capital telah lama membuka pintunya kepada pengunjung kota itu dan merupakan pilihan terulung bagi tempat penganjuran mesyuarat-mesyuarat terpenting di ibunegara China ini. Sering menjadi tumpuan komuniti elit serta para profesional antarabangsa, hotel bertaraf lima bintang ini tersenarai sebagai salah satu hotel paling mewah di Beijing.
Hotel ini mempunyai 502 buah bilik yang luas termasuk beberapa bilik suite yang hebat. Kesemua bilik-biliknya diberi sentuhan gaya kkontemporari bagi memenuhi keselesaan setiap tamu yang datang. Senireka dalaman serta hiasannya juga masih ada menerapkan sedikit unsur-unsur warisan Asia negara tersebut selain penggabungan elemen moden masa kini.
[pullquote]Sejajar dengan tarafnya sebagai sebuah hotel lima bintang yang eksklusif, setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan teknologi tercanggih yang merangkumi sambungan khas buat komputer serta iPod, TV LCD 42 inci, dan macam-macam lagi. Kelengkapan bilik mandi juga menggunakan barangan berkualiti tinggi serta barangan berjenama mewah yang lain.[/pullquote]
Namun yang paling istimewa dan unik di sini adalah bilik-bilik eksekutif khas mereka yang dikenali sebagai Pure Room. Pure Room merupakan nama yang diberikan pada beberapa bilik eksekutif terpilih yang menggunakan teknik tercanggih penulenan di mana setiap bilik ini dirawat secara komprehensif untuk menanggalkan alergen atau kandungan udara yang membawa alahan dan noda dari pelbagai permukaan, fabrik serta aliran udara. Bilik-bilik PURE Hypo-Allergenic direka khas untuk menyediakan suasana tidur yang lebih nyenyak buat mereka yang mempunyai alahan.
Pengalaman ini sangat eksklusif kerana hanya terdapat di Hilton Beijing dan tidak ada di mana-mana hotel lain di Beijing. Harga bilik-bilik PURE juga sangat berpatutan.
Bagi tujuan menjamu selera pula, Hilton Beijing menawarkan ajnas pilihan untuk bersantap.
Selain Kedai Kek Caffe Cino yang memang sudah menjadi salah satu identiti khas hotel ini, mereka turut mempersembahkan beberapa buah tempat makan yang lain. Ini termasuklah One East : sebuah restoran barat yang menghidangkan menu pilihan barat, serta Elements yang menyajikan makanan Asia terbaik.
Tidak dilupakan juga adalah Zeta Bar bagi mereka yang ingin menikmati minuman sambil bersantai dengan alunan muzik, serta Tonic Lounge yang ada khas buat mereka yang ingin berasa tenang selepas berenang atau bersenam di gimnasium dan bermain skuasy.
Selain kolam renangnya dan juga pusat kesihatan serta senaman, hotel ini turut dilengkapi dengan Jing Spa untuk para tamu menajakan diri serta ruangan mesyuarat buat pelbagai kegunaan. Ia juga sering menjadi pilihan untuk penganjuran acara-acara besar seperti perkahwinan dan seumpamanya.
Dengan pemandangan terhebat bandaraya Beijing dari setiap jengukan jendela, hotel ini memang sesuai menjadi tempat penginapan buat mereka yang menghargai perkhidmatan berkualiti tinggi. Sekiranya berpeluang ke Beijing, bermalamlah di Hilton Beijing kerana pengalamannya tidak akan anda lupakan!
Hilton Beijing : Persinggahan penuh gaya
oleh Shah Shamshiri