in

Review HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila: Keindahan di ‘dalam akuarium’ di tepi lautan Filipina
oleh Shah Shamshiri

Semenjak adanya pernebangan tambang rendah, ramai rakyat Malaysia yang sering bercuti di sekitar Asia Tenggara dan memilih destinasi-destinasi seperti Indonesia dan Indocina. Namun tidak ramai yang terfikir untuk berkunjung ke satu lagi negara jiran kita yang juga salah sebuah negara serumpun dunia melayu iaitu Filipina.

Negara yang kaya dengan ribuan pulau ini beribukotakan Manila, sebuah bandaraya yang kaya dengan sejarahnya tersendiri. Dan andainya berkunjung ke Manila, cubalah bermalam di salah satu hotel paling unik di Asia tenggara iaitu Hotel H2O.

HOTEL H2O Manila

Bak namanya yang bermaksud komposisi saintifik bagi unsur air, Hotel H2O merupakan hotel yang mempunyai gabungan konsep resort bertemakan akuarium yang pertama di Filipina. Hasil penelitian yang jitu dari segi senibina serta keseimbangan alam semulajadi hotel ini menawarkan keselesaan dan kemewahan bersama-sama dengan senireka dan warna-warna tradisional Filipina.

Hotel ini terletak di bahagian utara Roxas Boulevard berdekatan dengan Rizal Park di Quirino Grandstand, salah satu tapak paling bersejarah di negara tersebut. Kedudukannya juga menyediakan pemandangan matahari terbenam paling indah tanpa sebarang halangan di Teluk Manila (Manila Bay). Selain itu ia hanya sembilan kilometer dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino dan tujuh kilometer sahaja dari daerah Makati, pusat perniagaan Manila.

Apa yang menghidupkan lagi suasana lautan dan akuarium di hotel ini adalah lokasinya yang terletak di dalam kawasan Manila Ocean Park (Taman Laut Manila) yang merupakan sebuah taman tema berkonsepkan lautan dan akuarium. Dengan itu para tamu tidak perlu pergi jauh untuk mencari sesuatu yang menarik kerana sebaik sahaja melangkah keluar dari hotel, para pengunjung sudah berada di pintu masuk Taman Laut serta sebuah pusat membeli belah kecil yang berada dalam bangunan yang sama! Jadi dapatlah para tamu menikmati kolam renang, persembahan penguin dan anjing laut serta berkunjung ke akuarium semula jadi yang memang dibina di bawah lautan persisiran teluk Manila.

Setiap bilik dan suite di hotel ini telah direka khas dengan unsur-unsur moden tanpa melupakan faktor keselesaan. Berbekalkan 128 bilik dan 19 buah suite yang diserikan dengan lantai marmar serta fabrik-fabrik semulajadi dan hasil-hasil seni terbaik, hotel ini mampu memberikan ketenangan yang dicari-cari oleh setiap tamu yang datang. Apatah lagi dengan bilik-bilik akuarium mereka yang sangat unik di mana bilik-bilik khas ini mempunyai akuarium utama yang bersambung dengan puluhan bilik yang lain. Jadi ikan-ikan yang dilihat di dalam akuarium di bilik paling hujung di bahagian kiri, mampu berenang sehingga bilik paling hujung di sebelah kanan! Ciri ini benar-benar membezakan hotel H2O dengan hotel-hotel lain di Asia Tenggara. Selain bilik-bilik akuarium ini, para tamu boleh juga memilih bilik yang memberikan pemandangan lautan Teluk Manila. Ini benar-benar satu pengalaman yang indah kala anda bangun tidur dan melihat matahari terbit di jendela besar bilik anda.

Seperti setiap hotel, terdapat pelbagai pilihan untuk menikmati sajian enak serta hiburan sampingan. Salah satu tempat makan yang dimaksudkan adalah sebuah restoran yang menggunakan nama Bahasa Melayu iaitu Makan Makan. Makan Makan Asian Food Village menampilkan hidangan terbaik Asia Tenggara dan di antaranya termasuklah Nasi Ayam Singapura, Satay, Mi Goreng, laksa dan macam-macam lagi. Selain itu terdapat juga White Moon bar bagi mereka yang ingin berhibur mendengar alunan muzik sambil menikmati minuman di bawah bintang – bintang dengan berlatar belakangkan lautan di Teluk Manila. Para tamu juga boleh merehatkan badan di Zenyu Eco spa, bersenam di gimnasium atau membeli-belah di Mall berdekatan.

Pendek kata, hotel ini memang sesuai buat seisi keluarga kerana berdekatan dengan pelbagai tarikan menarik. Selain taman laut, tempat-tempat bersejarah seperti ‘Kota Dinding’ Intramuros tinggalan zaman jajahan Sepanyol dan juga Tugu peringatan Rizal Park juga sangat hampir dengan hotel ini. Jadi kalau berkunjung ke Manila pastikan anda singgah bermalam di hotel H2O. Ia benar-benar unik dan menyeronokkan!

Layari: www.hotelh2o.com

HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila

HOTEL H2O Manila

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Drama Pelangi Ada Tujuh Warna

Tune Hotels Set Open Second Thai Property in Pattaya