Apabila kita menyebut tentang Macau pasti ramai yang menganggap negara tersebut sebagai Las Vegas Asia, pusat kasino bertaraf antarabangsa dan syurga bagi mereka yang ingin berjudi. Namun, tidak ramai yang mengetahui bahawa Macau kaya dengan lokasi sejarah hasil daripada penggabungan beratus-ratus tahun antara budaya Portugis dan Cina.
Keunikan gabungan kedua-dua budaya ini diketengahkan oleh Hotel Grand Lapa Macau (dahulunya dikenali sebagai Mandarin Oriental) bukan sahaja melalui senibinanya malah nama hotel itu sendiri. Nama Grand Lapa diambil dari sebuah daerah di Lisbon Portugal yang merupakan kawasan penempatan golongan atasan dan selebriti. Pengaruh kedua-dua budaya ini diserlahkan melalui rekabentuk lobi yang menarik, rekaan dalaman bilik hotel yang mewah, menu masakan yang unik serta landskap taman dan kolam renang ala mediteranean.
Sebaik sahaja melangkah ke lobi hotel pengunjung dapat melihat tangga utama ala gaya klasik di tengah lobi seolah-olah anda di bawa ke zaman istana silam di samping elemen budaya Portugis dan Cina yang disesuaikan di seluruh lobi hotel. Suasana mewah dan klasik ini membuatkan anda terasa bahawa anda kini berada di salah sebuah hotel yang terbaik di Macau.
Hotel Grand Lapa ini juga menyediakan sebanyak 388 bilik penginapan dan 28 bilik suite yang selesa dengan rekaan yang menarik.Lokasinya yang strategik pula sangat ideal untuk keluarga dan sesiapa sahaja kerana terletak hanya beberapa minit sahaja ke bandar Macau.
Bagi pengunjung yang inginkan alternatif lain selain membeli belah di bandar Macau, Hotel Grand Lapa juga mempunyai pilihan kedai berangan berjenama antarabangsa di tingkat bawah hotel.
Setelah penat membeli-belah pengunjung bolehlah menikmati hidangan menyelerakan yang disediakan di restoran-restoran yang terdapat di hotel ini. Jika pengunjung inginkan suasana ala Portugis, Cafe Bela Vista adalah restoran yang sesuai untuk anda. Restoran NAAM Thai pula adalah bagi pengunjung yang inginkan masakan selera Thai dan bagi mereka yang ingin mencuba masakan Cina Restoran Kam Lai Heen adalah pilihan anda.
Bagi pengunjung yang ingin beristirehat dan rejuvenasi diri, hotel yang seluas 15,000 meter persegi ini turut menyediakan fasiliti seperti spa, pusat kecergasan, dan studio senaman. Sementara anda menikmati fasiliti ini, anak-anak anda juga boleh menghabiskan masa mereka di pusat kanak-kanak yang diselia oleh staf hotel. Jika pengunjung inginkan masa bermain bersama keluarga, hotel ini menyediakan kolam renang yang unik di mana suhunya dikawal bagi keselesaan pengunjung.
Tetapi apa yang akan membuatkan Hotel Grand Lapa sentiasa terpahat di hati pengunjung adalah kerana layanan dan hospitaliti hotel ini kerana sejurus anda menjejakkan kaki ke bilik penginapan, sekeping nota yang mengalu-alukan kedatangan anda serta manisan sudah pun tersedia di bilik hotel. Pengunjung terasa diri dihargai sebagai tetamu istimewa di Hotel Grand Lapa dan hampir pasti bahawa kehadiran anda di hotel ini akan memberi sebuah kenangan yang manis untuk dibawa pulang.
Hotel Grand Lapa – Serlah Keunikan Dua Budaya
Oleh Wan Azfarozza