Eastin Hotel Penang Pilihan Tepat untuk Anda!
oleh Shah Shamshiri
Ada beberapa jenama hotel Malaysia yang mempunyai cawangan di luar Lembah Kelang dan salah satunya adalah Hotel Eastin. Selain Eastin Petaling Jaya yang dikenali, ada juga Eastin di Pulau Pinang. Hotel Eastin di Pulau Pinang sering menjadi hotel pilihan untuk urusan perniagaan kerana perkhidmatan dan kemudahan yang ditawarkan sangat praktikal buat para pelancong moden yang memburu keselesaan pada harga yang berpatutan. Ditambah pula dengan konsep senireka dan senibina yang kontemporari, gedung hotel ini senantiasa menjadi pusat perhatian.
Terletak di Bayan Lepas daerah selatan Pulau Pinang, hotel yang baru beberapa tahun ini dikatakan mempunyai tarikannya tersendiri. Menampilkan ruangan serta dewan-dewan yang amat luas sebagai pusat acara, ia juga menjadi pilihan ramai buat mereka yang bukan sahaja ingin menginap tetapi juga mengadakan aktiviti atau perjumpaan pada skala yang besar.
Lebih menarik lagi hotel ini terletak bersebelahan sebuah pusat membeli-belah iaitu Queensbay Mall, yang bertujuan memudahkan para pengunjung yang menginap di hotel untuk membeli-belah dan juga mencuba aneka restoran yang ada di ‘mall’ tersebut untuk menjamu selera.
Namun begitu, para tamu sebenarnya tidak perlu bersusah-payah melangkah keluar dari bangunan hotel untuk menikmati hidangan enak kerana di dalam hotel sendiri terdapat Swez Brasserie yang menyediakan pelbagai sajian lazat untuk sarapan serta makan tengah hari. Selain itu, pemandangan indah Pulau Pinang juga dapat dinikmati sambil beriadah di kolam renang yang benar-benar menyejukkan mata. Di samping itu, terdapat juga sebuah gimnasium untuk tamu bersenam dan mengekalkan kesihatan.
Kesemua 328 bilik-biliknya menyediakan prasarana yang biasanya terdapat di hotel-hotel mewah seperti TV LCD, penghawa dingin, bilik mandi bersambungan serta kemudahan sambungan Wi-Fi untuk penggunaan internet. Selain itu, senireka kontemporari Hotel Eastin juga menghidupkan lagi suasana ceria di sini. (Para tamu juga boleh memilih bilik suite jika mahukan kawasan yang lebih luas) Ini menjadikannya sebuah hotel yang lengkap dan sangat sesuai buat mereka yang datang atas urusan kerja ataupun bercuti.
Oleh itu sekiranya anda singgah ke Pulau Pinang dan tercari-cari hotel yang cantik dan praktikal, cubalah bermalam di Eastin Hotel Penang . Mereka boleh menyambut ketibaan anda di lapangan terbang dengan kenderaan mereka kerana ia hanya mengambil masa sekitar 20 minit sahaja untuk tiba dari lapangan terbang Pulau Pinang. Keceriaan serta keramahan warga kerja mereka pasti dapat anda rasai sekiranya bersinggah ke sini!