Lepak di Tepi Pantai dan Lautan di Holiday Inn Penang
oleh Shah Shamshiri
Tersergam di tepi pantai yang tenang dan tidak berapa jauh dari ibukota Pulau Pinang, Georgetown, tersembunyi sebuah tempat yang sesuai buat bergembira dan menenangkan fikiran. Terletak di Batu Ferringhi, Holiday Inn Resort Penang tersenarai sebagai salah satu hotel yang paling popular dan berprestij di kawasan ini. Dengan kedudukannya di kawasan pusat Batu Ferringhi, ia menepati ajnas citarasa para pengunjung.
Dilengkapi 350 bilik-bilik indah, hotel ini dilengkapi dengan kolam renang yang besar serta dua restoran, sebuah lounge dan sebuah bar, Holiday Inn Penang memenuhi kehendak setiap pengunjungnya yang ingin berehat di tepi pantai sambil menikmati kemewahan hidup yang lain. Bilik-biliknya yang berkonsepkan modern chic setanding dengan hotel-hotel ternama sekitar Malaysia.
Mempertaruhkan Terrace Cafe sebagai restoran utama mereka yang menyajikan masakan tempatan dan antarabangsa serta Alfresco dan Hari’s Bar, tidak hairanlah sekiranya ada pengunjung yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, dan tempat-tempat lain di Malaysia semata-mata untuk menjamu selera mereka di sini.
Apatah lagi dengan pemandangan indah di tepi pantai yang lebih peribadi dan tersendiri khas buat tamu hotel, ia merupakan destinasi paling tepat buat mereka yang berkeluarga ataupun yang ingin berdua. Hotel ini terbahagi kepada dua bahagian iatu bilik-bilik menara di seberang jalan dan juga bilik-bilik di tepi pantai.
Dengan kawasan yang strategik dan agak ‘tersembunyi’ dari dunia luar yang lebih bising serta sibuk dengan hingar-bingar kota, Holiday Inn Penang juga sesuai buat mereka yang ingin mengadakan acara-acara serta majlis-majlis tertentu. Ini termasuklah mesyuarat-mesyuarat penting, seminar-seminar khas, majlis perkahwinan, sesi latihan korporat dan macam-macam lagi.
Satu lagi kelebihan Holiday Inn Penang adalah kedudukannya yang tidak jauh daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta tempat-tempat menarik lain yang terdapat di negeri itu. Pendek kata, anda boleh melakukan pelbagai aktiviti di sini dan di antaranya ialah sukan air seperti jetski, renang, berlayar dan macam-macam lagi.
Jadi jika anda ingin pergi merehatkan minda serta bercuti dan tidak mahu pergi terlalu jauh ke luar Malaysia, singgahlah ke Holiday Inn Penang. Perjalanannya sebentar sahaja dan anda tidak perlu bersusah-payah meredahi hutan belantara ataupun kesesakan lalu-lintas yang menggusarkan!