Taiwan telah lama menjadi sebuah destinasi pelancongan pilihan di Asia buat mereka yang mencari percutian di tengah kota. Biarpun ibukotanya Taipei mengungguli senarai kota pilihan pelancong di taiwan, namun ramai yang mula untuk menjenguk dan mengenali bandaraya kedua paling maju Taiwan, iaitu Kaohsiung.
Terletak di selatan Taiwan, Kaohsiung juga merupakan sebuah bandaraya yang tidak kurang hebatnya dari Taipei. Suasananya yang lebih santai daripada Taipei menjadikannya satu destinasi yang sangat disenangi. Terkenal dengan pusat-pusat membeli-belah serta banyak tempat-tempat menarik, Kaohsiung juga mempunyai banyak hotel-hotel moden yang sesuai untuk didiami. Salah satu daripada hotel yang masih menjadi pilihan di Kaohsiung adalah hotel Holiday Garden.
Hotel ini merupakan hotel bertaraf antarabangsa pertama yang dibina di Kaohsiung pada tahun 1957. Setelah melalui beberapa dekad, ia juga telah mendapat beberapa pengubahsuaian. Dan kini, hotel ini tampil segar dengan gaya kontemporari moden, sejajar dengan hotel-hotel seangkatannya yang lain.
Ia terletak di kawasan yang agak strategik kerana berada dekat dengan lokasi-lokasi menarik seperti pasar malam pelancong Liuhe, dan stesen MRT City Council juga hanya beberapa minit sahaja perjalanan dari hotel. ini memudahkan para tamu untuk menjelajah seluruh kota Kaohsiung tanpa banyak masalah pengangkutan. Malah, sungai terkenal Kaohsiung yang dikenali sebagai ‘Love River’ juga terletak beberapa minit sahaja dari hotel ini.
Dengan lebih dua ratus bilik-bilik yang dihias dengan konsep moden kontemporari, hotel ini menepati keperluan kebanyakan tamu yang menginap di situ.
Setiap bilik mempunyai sambungan internet wi-fi secara percuma , sebuah TV layar leper LCD dan juga pemain DVD. Seperti kebanyakan hotel, setiap bilik mendapat sarapan percuma, dan sarapan dihidangkan di Dragon Restaurant. Makanan berasaskan sayuran juga diasingkan untuk kemudahan tamu yang hanya memakan sayuran (vegetarian). Holiday Garden juga mempunyai beberapa restoran lain iaitu Mongkok Lounge serta Hua Shia Hall.
Tambahan lagi, hotel ini turut dilengkapi dengan sebuah kolam renang, gimnasium, dan juga ruang perniagaan untuk urusan kerja di mana tamu boleh menggunakan komputer serta internet secara percuma!
Dengan perkhidmatan yang baik bertaraf antarabangsa, harga yang sangat berpatutan serta para pekerja hotel yang ramah, Holiday Garden memang layak untuk dijenguk dan didiami sekiranya berkunjung ke Kaohsiung.
oleh Shah Shamshiri