Bayview Hotel Georgetown: Hotel Paling Strategik di Pusat Kota Pulau Pinang.
oleh Shah Shamshiri
Setiap hotel punya sejarah tersendiri. Begitu juga dengan salah satu hotel paling popular di kota Georgetown di Pulau Pinang, iaitu Bayview Hotel Georgetown. Dibina dan diasaskan pada tahun 1969 oleh mendiang Tan Sri Loh Boon Siew, blok asal hotel ini dahulu dikenali sebagai Merlin Hotel sebelum beliau mengambil-alih hakmilik hotel ini dan mengembangkannya pada tahun 1986. Dengan menamakannya City Bayview Hotel, ia menjadi hotel pertama pulau ini yang mempunyai sebuah restoran berputar sehinggalah masa kini dengan nama barunya Bayview Hotel Georgetown Penang sejak 2007.
Dengan lokasinya yang sangat strategik di tengah-tengah kota Georgetown, hotel 16 tingkat ini berdekatan dengan pusat komersial, medan selera serta aneka gerai makan, pusat membeli-belah dan juga pelbagai tempat-tempat bersejarah di samping beberapa tapak kebudayaan. Tarikan-tarikan seperti Rumah Agam Biru Cheong Fatt Tze (bangunan pemenang anugerah UNESCO), Muzium Pulau Pinang, dan beberapa pusat kebudayaan lain terletak beberapa minit sahaja dari hotel ini.
Mempertaruhkan 333 bilik dan suite yang dihias indah, Bayview Hotel Georgetown masih sering menjadi pilihan para pelancong dari dalam dan luar negeri. Kesemua bilik-bilik ini yang baru sahaja diubahsuai dan dinaiktaraf, memaparkan senireka dalaman yang moden dan kontemporari. Setiap bilik dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti TV LCD, sambungan internet wifi percuma dan macam-macam lagi. Terdapat juga tingkat khas ‘Premier’ yang membolehkan para penghuni bilik di tingkat tersebut untuk menikmati kemudahan Premier Lounge yang terletak di tingkat paling atas hotel. Dari sini para tamu dapat menikmati keindahan pemandangan Lautan Selat Melaka sambil menjamu selera kala bersarapan, ataupun minum petang.
Selain bilik-bilik yang baru sahaja diubahsuai ini, Bayview Hotel Georgetown juga terkenal dengan tempat-tempat makannya. Yang paling dijulang sudah tentulah restoran berputar iaitu Revolving Restaurant yang menyajikan aneka pilihan makanan tempatan dan antarabangsa. Terletak di tingkat teratas (rooftop), restoran ini sudah menjadi salah satu mercu tanda Pulau Pinang kerana menawarkan pemandangan seluruh Pulau Pinang secara 360 darjah. Pengalaman menikmati santapan sambil dibawa ‘berputar’ melihat keindahan kota adalah satu pengalaman yang tak mungkin dilupakan. Bayangkan sahaja anda sedang menjamu selera namun tidak perlu bangun untuk melihat keliling restoran dan menghayati pemandangan cantik di luar kerana semuanya bergerak secara automatik mengikut putaran restoran ini sendiri. Restoran ini memang seharusnya menjadi hentian setiap yang berkunjung ke Pulau Pinang.
Tempat-tempat makan lain di hotel ini termasuklah Kopi Tiam Coffee House yang menyediakan sajian sepanjang hari, Restoran Jepun Waka untuk makanan Jepun, serta Lobby Lounge bagi minuman dan hiburan ringan. Tersedia juga Sawasdee Spa bagi mereka yang sukakan urut tradisional Thai untuk mengembalikan kesegaran badan. Jika mahu beriadah, hotel ini juga mempunyai sebuah kolam renang, jacuzzi serta sebuah gimnasium yang lengkap untuk bersenam.
Bayview Hotel Georgetown juga sering menjadi pilihan untuk mengadakan majlis-majilis serta acara-acara besar kerana ia mempunyai banyak ruangan serta dewan-dewan tertentu untuk penganjuran upacara sekian rupa.
Dengan jarak sekitar lima minit dari terminal feri yang menyambungkan pulau ke tanah besar, hotel ini sememangnya ideal buat sesiapa sahaja yang ingin mengenali Pulau Pinang. Ditambah lagi dengan kedudukan Upper Penang Road, jalan yang sangat terkenal dengan aneka pilihan kafe, pub dan restoran untuk bersantai yang terletak benar-benar bersebelahan hotel, tidak hairanlah sekiranya Bayview Hotel Georgetown menjadi pilihan ramai!