in

Restoran Cina Muslim Amber Bakal Berada di Terengganu

Setelah beroperasi dua bulan di Kuala Lumpur, Amber China Resources Sdn Bhd, pemilik Restoran Cina Muslim Amber di Malaysia bakal melebarkan sayapnya di Terengganu menjelang suku pertama 2016.

Pengarahnya, Haji Ismail Nuh @ Cui Wei berkata rancangan untuk membuka cawangan di negeri di Pantai Timur itu selaras dengan hasrat syarikat induk restoran, Amber Group Holding yang berpengkalan di Lanzhou, China meluaskan pasaran bagi mengukuhkan jenama mereka di luar China.

“Terengganu dipilih sebagai tapak untuk melebarkan sayap perniagaan makanan di luar Kuala Lumpur kerana hubungan akrab di antara kerajaan negeri Terengganu dengan usahawan dari China. Sejak mereka membuka pintu perniagaan kepada usahawan China, kami merasakan ia menjadi kunci utama kepada peluang perniagaan yang cerah di negeri itu.

 photo image4.jpg

RESTORAN CINA MUSLIM AMBER BAKAL PERLUAS RANGKAIAN KE TERENGGANU PADA SUKU PERTAMA 2016

“Selain itu, kami juga tertarik dengan budaya umat Islam di negara ini yang masih memelihara kesejahteraan agama tanpa ada pergolakkan disebabkan anutan seperti yang berlaku di sesetengah negara,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Restoran Amber Chinese Muslim yang terletak di Nexus, Bangsar South merupakan premis sulung rangkaian restoran milik Amber Group Holding (AGH) di Malaysia. Ia dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Dengan kos RM1.5 juta bagi membuka cawangan di negeri itu, Haji Ismail berkata beliau yakin Restoran Amber Chinese Muslim akan mendapat tempat di kalangan penduduk Terengganu dan negeri-negeri lain di pantai timur.

“Sememangnya dari awal perancangan lagi, kami menyasar untuk membuka 15 cawangan di negara ini. Restoran sulung yang dibuka sejak dua bulan kini mula mendapat sambutan di kalangan warga kota.

“Malah, dengan kunjungan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin ke China baru-baru ini memberi dimensi baru kepada para peniaga dari Tanah Besar untuk meneroka peluang-peluang perniagaan di negeri tersebut,” katanya lagi.

Menurut Haji Ismail, syarikatnya telah pun membuat kajian di Terengganu sebelum ini dan mendapati bahawa masyarakat di sana menanti kehadiran sajian istimewa yang didatangkan khas dari Utara China.

Sejak mula beroperasi pada tahun 2009, AGH kini mempunyai 19 cawangan restoran seumpamanya di seluruh China yang menawarkan hidangan Cina Muslim. Antara lokasinya termasuk Beijing, Xinjian, Wuhan, Hangzhou, Guangzhou, Qing Hai, Xian dan Shenzhen.

Mengenai Restoran Cina Muslim Amber

Restoran Cina Muslim Amber menawarkan 40 menu makanan bertaraf lima bintang yang dibahagikan kepada empat segmen iaitu hidangan sejuk sebagai pembuka selera, hidangan panas, pelbagai Mi Tarik dan masakan panggang.

Masakan tradisi yang halal, enak dengan harga yang berpatutan menjadi kriteria terpenting bagi restoran ini.

Membawa pengaruh gaya masakan dari wilayah utara China, daging kambing dan lembu dijadikan bahan asas bagi kebanyakkan hidangannya, selain penggunaan cili yang banyak di dalam masakan.

Turut diperkenalkan, Mi Tarik atau ‘La Mien’ yang merupakan hidangan popular dari Lazhou, wilayah Gansu. Keistimewaanya, mi yang dibuat menggunakan teknik ‘uli dan tarik’ hanya akan disediakan apabila pesanan diterima sebelum disajikan kepada pelanngan. Kini ia mula mendapat tempat di kalangan penduduk tempatan.

Mengulas lanjut mengenai hidangan Cina Muslim di restoran berkenaan, Haji Ismail berkata, pihaknya menggunakan rempah-ratus yang dibawa khas dari China bagi mengekalkan rasa tradisional, selain bahan masakan digunakan tidak terdapat di pasaran tempatan seperti lada liar Sichuan (wild pepper) atau dikenali sebagai ketumbar Cina

“Masakan Cina Muslim banyak diasaskan oleh bangsa Hui iaitu etnik Cina Muslim di China. Oleh kerana kami berasal dari utara, maka masakan kami banyak dipengaruhi dengan penggunaan cili.

“Ini kerana, penduduk dahulunya banyak menghuni kawasan berbukit-bukau dengan suhu yang sejuk. Bagi melawan cuaca dingin, mereka mengambil banyak makanan pedas dan daging terutamanya kambing untuk menaikkan suhu badan.

“Masakan Cina Muslim di restoran ini diubah suai sedikit dari segi bahan masakan supaya menepati selera tempatan. Namun, cara penyediaannya tidak banyak bezanya dan disediakan sendiri oleh tukang masak yang dibawa khas dari China. Harga makanan dan minuman serendah RM2 hingga RM48. Hidangan bersaiz besar disediakan untuk lapan orang makan,” katanya yang boleh berbahasa Melayu.

Dengan membawa konsep Cina Muslim klasik, Restoran Cina Muslim Amber menggunakan perabot dan dekorasi berasaskan kayu yang turut dibawa dari Tanah Besar.

Ruang makan yang luas juga memberi keselesaan kepada pelanggan, selain mampu memuatkan kapasiti seramai 130 pelanggan dalam satu-satu masa. Bagi menambah keselesaan, bilik VIP turut disediakan untuk majlis persendirian.

Menu wajib cuba sudah tentu Mi Tarik yang hanya diuli sebelum disajikan. Hidangan ringkas Mi Tarik Daging Cincang disediakan bersama sup panas dan minyak cili serta hirisan daging menjadikan sajian ini terasa sungguh menyelerakan. Pelanggan juga boleh mencuba menu lain seperti Mi Tarik Daging Tomato, Mi Tarik Sayur Campur, Mi Tarik Goreng Daging Cincang dan Mi Tarik Istimewa Ala Xinjiang.

Bagi hidangan masakan panas ala carte, antara menu disediakan termasuk Kambing Rebus Bersama Sos Kuning, Satay Mini Kambing (Toothpick), Daging Masak Cili Berkuah, Ayam Big Plate Bersama Cili, Ayam Kung Pao, Ikan Bakar, Ikan Masak Cili Berkuah, Kepala Ikan Kukus Bersama Sos Berlada, Tofu Sizzlin, Telur Daging Pedas dan Udang Goreng Pedas Bersama Kentang.

Masakan panggang yang pastinya menggugat selera adalah Kambing Panggang, Kaki Kambing Panggang, Sotong Bakar, Kebab Ayam, Kebab Daging, Kebab Kambing dan Kepak Ayam Panggang. Bagi sajian pembuka selera pula, pelanggan boleh memesan Ayam Kampung Sos Pedas, Itik Perap Ala Shanghai, Daging Diraja dan Kambing Cendawan Enoki.

Minuman istimewa di Restoran Amber Chinese Muslim yang anda perlu cuba ialah minuman hangat campuran lapan herba iaitu buah goji, kurma merah, bunga chrysanthemum, buah mata kucing, teh hijau, bijan dan kacang walnut. Pilihan minuman lain lebih tertumpu kepada campuran pelbagai herba lain seperti bunga mawar, limau gedang dan madu, manakala minuman manis lain seperti jus jagung, epal dan tembikai.

Restoran Cina Muslim Amber terletak di Unit 1-14, Level 1, Nexus Bangsar South, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut boleh melayari Facebook, Instagram dan Twitter dengan kata kunci Amber Chinese Muslim.

 photo image3.jpg

 photo image2.jpg

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ujibakat Pencarian Bakat Ceria All Stars

Konsert 30 Tahun Wings di Stadium Merdeka