DAPATKAN RESIPI RAMADAN TERBAIK DI ntv7!
Kini tibalah bulan penuh kemuliaan dan keberkatan yang dinanti-nanti oleh semua penganut Islam di seluruh dunia. Serikan hari-hari anda bersama koleksi rancangan pengembaraan dan masakan terbaik sempena Ramadan ini – I’m Muslim Too, I’m Muslim Too: Heading to the border, Dinner Impossible dan 30-minute Chef, hanya di Saluran Ceria Anda.
Ogos dan September ini, kenalilah pembikin dokumentari bebas – Zan Azlee dengan lebih dekat dalam I’m Muslim Too dan I’m Muslim Too: Heading to the border. Menyingkap latar belakang Zan Azlee, pengarah dan penerbit ini terdahulunya menghasilkan filem pendek dan siri dokumentari seperti Tudung (2006), Pandang ke timur (2007), Little Boy Buys Bread in Syria (2008) di samping bertindak sebagai penulis skrip untuk drama 5 Jingga dan Impian Illyana.
Rata-rata produk yang dihasilkan pernah ditayangkan di festival filem tempatan mahupun antarabangsa termasuklah Festival Filem Antarabangsa San Fransisco 2005, Festival Filem Antarabangsa Pusan 2005, Festival Filem Antarabangsa Tokyo 2005. Di dalam I’m Muslim Too, Zan mencabar dirinya untuk menyertai pengembaraan ke dunia Islam – Timur Tengah dari Iran ke Jordan, Syria, Lebanon dan banyak lagi.
Lebih menambahkan keunikan kepada I’m Muslim Too, sepanjang pengembaraannya, dia hanya bertemankan peralatan kamera digitalnya dan himpunan pek mi segera! Zan Azlee turut bersahabat dengan masyarakat di Timur Tengah yang telah menambahkan lagi keunikan pada negara Islam tersebut. Jadi, jangan lupa untuk menyaksikan I’m Musim Too, mulai 23 Ogos 2009 pada setiap Ahad, 5.00 petang.
Zan turut melawat anak-anak di sekolah pondok Pattani dalam I’m Muslim Too – Heading to the border
Zan turut berkunjung ke pasar di pattani untuk melawat penduduk tempatan
Keadaan di Pattani
Seterusnya, menyedari dirinya sebagai seorang Melayu yang beragama Islam, Zan terpanggil untuk menjelajah ke Selatan Thailand untuk membongkar mengenai rutin harian dan keadaan terkini kehidupan penduduk Melayu yang beragama Islam di sana dalam I’m Muslim Too: Heading to the border. Menariknya, untuk mendapat perspektif yang lebih tepat mengenai rakyat di sana, Zan mendapatkan perkhidmatan seorang wartawan tempatan – Tuan Daniya Meriking. Dia turut berkesempatan untuk melawat dan beribadah di Masjid Krue Sue, berusia lebih 50 tahun yang pernah menjadi saksi pembunuhan kejam kaum Muslimin di Pattani pada tahun 2004.
Selain itu, Zan turut berkunjung ke beberapa sekolah pondok dan sebuah perkampungan Melayu yang mana separuh dari populasinya telah berhijrah ke Malaysia. Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai layanan Kaum Muslimin di sana, Zan menemuramah beberapa penduduk tempatan di Patani. Bagi Zan Azlee, tiada apa yang lebih menyentuh hatinya apabila menyedari bahawa walaupun kehidupan mereka ada kalanya dilanda badai, namun mereka masih cekal untuk mengekalkan identiti, agama dan budaya mereka. Apa yang mereka inginkan adalah untuk hidup aman damai, mengenangkan inilah tanahair mereka sejak abad ke-15 yang dulunya dikenali sebagai Tamadun Langkasuka. Saksikan I’m Muslim Too: Heading to the border, mulai 4 September 2009, setiap Jumaat, 7.30 malam, hanya di ntv7.
Temui Chef Firdaus dalam 30-minutes chef sementara dia berkongsi kaedah penyediaan makanan yang paling halus dan menggiurkan, hanya di Saluran Ceria Anda! program ini akan menyingkap langkah-langkah menakjubkan dalam penyediaan sajian berbuka puasa yang mudah tapi menarik dalam sekelip mata! Chef Firdaus turut akan menawan hati penonton dengan koleksi resipi terbaik yang pastinya akan menjadi dambaan penonton pada setiap akhir episod, tidak lupa juga pada kehebatannya beraksi di dapur beserta personalitinya yang menarik. Dapatkan segenap rasa 30-minutes chef, setiap Ahad, 4.30 petang higga 5.00 petang, mulai 23 Ogos ini!
Seterusnya, penonton pasti tertawan dengan aksi tukang masak selebriti terkenal, Chef Robert Irvine dalam program masakan terhangat di ntv7, Dinner Impossible. Berasal dari Wiltshire, England, Irvine merupakan Presiden dan Pengasas Irvine Thyme, LLC., yang juga mengeluarkan beberapa produk rempah, minyak masak dan cuka. Di Dinner Impossible, pada setiap minggu, Irvine akan dicabar untuk menyediakan beberapa menu makanan dalam kuantiti yang banyak dalam tempoh terhad.
Antara sajian yang harus disediakan termasuklah makanan autentik zaman kolonial Amerika pada Abad ke-18 dan makanan tempatan di sebuah pulau terpencil di New England. Tanpa perancangan awal serta berbekalkan bantuan dan masa yang terhad, mampu Chef Robert Irvine menyempurnakan cabaran yang diberikan? Saksikan Dinner Impossible, mulai 2 September, setiap Rabu, 9.00 malam – 9.30 malam, hanya di ntv7!
Jangan lupa untuk tetapkan temujanji anda bersama ntv7 setiap Rabu, Jumaat dan Ahad untuk paparan hebat – I’m Muslim Too, I’m Muslim Too: Heading to the border, Dinner Impossible dan 30-minute Chef, hanya di Saluran Ceria Anda.