in

Resipi Pelik Tapi Sedap Musim ke-2

Kongsi Resipi Spagetti Cencaluk, Sate Lidah Lembu dan Banyak Lagi Resipi Pelik Tapi Sedap Musim ke-2 Di TV1

Pernahkah anda mendengar hidangan Hundang Bersarong, Sate Lidah Lembu, Belalang Goreng Lada Benggala, Sup Isi Tapak Kaki Lembu, Sup Mata Lembu, Spaghetti Cencaluk dan Rendang Telor Lembu? Meskipun kedengaran pelik namun menerusi program masakan 13 episod Pelik Tapi Sedap Musim ke-2 yang bakal disiarkan mulai 6 Disember 2011, Setiap Selasa, jam 10.30 pagi menerusi TV1, persepsi anda terhadap hidangan istimewa yang resipinya diperolehi daripada serata negeri ini pastinya berubah.

Ternyata usaha dibawakan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dalam menyiarkan program menarik mengisi slot Rampai Puri ini mendapat sambutan ramai apabila kelangsungannya diteruskan untuk musim ke-2 yang mengekalkan pengacara Zaibo bersama tukang masak profesional jemputan yang turun padang berkongsi dapur dengannya termasuklah Chef Adanan Osman (StarPoints Hotel Kuala Lumpur), Puan Asmah Awaluddin (Homestay Batang Nyamor, Negeri Sembilan), Chef Amran Adnan dan Chef Badaruddin A. Bakar (Bukit Gambang Resort City) dan Puan Siti Zabedah Karim (Homestay Ayer Limau, Melaka).

Untuk episod pertama, Zaibo mengembara ke Kelantan sambil melihat tempat-tempat menarik dan mula mencari berbagai resepi pelik. Antara tempat- tempat menarik yang dilawati adalah Rantau Panjang dan Kota Bharu dan di negeri Che Siti Wan Kembang ini, dia berpeluang mempelajari dua resepi istimewa iaitu Daging Kambing Buah Ara dan Gulai Daging dengan Mumbang Kelapa.

Kunjungan diteruskan ke negeri Perak di Kuala Sepetang, Kota Ngah Ibrahim, Bukit Merah Laketown Resort dan Menara Condong Teluk Intan, Kompleks Sejarah Pasir Salak yang mana penonton bakal berkongsi resipi menarik Masak Lemak Pekasam dengan Rebung, Peknga Buah Betik, Keli Ikan Bako Lemak Tempoyak, Hundang Bersarong, Ikan Patin Stim Tom Yam dan Sambal Jering Goreng Tepung Cili Benggala. Manakala di Pulau Pinang juga ketika berada di Pasar Chowrasta, Kota Cornwallis dan Lorong Kulit, Bukit Bendera program ini berkongsi resepi Nasi Buah Pala, Laksa Goreng Daging Rusa, Sate Lidah Lembu dan Otak-otak Kambing.

Usah ketinggalan episod Jalan-Jalan di Kuala Lumpur di mana Zaibo singgah di Pasar Malam Jalan Tengku Abdul Rahman dan Brickfield mempelajari dua resepi pelik Belalang Goreng Lada Benggala dan Cakar Ayam Berempah.

Untuk episod kelapan pula, Zaibo telah mengembara ke Negeri Sembilan bertempat di Hutan Lipur Gunung Datuk mempelajari 2 resepi Ikan Semilang Salai dengan Tampang Masak Lemak Cili Api dan Sambal Tempoyak Pucuk Kayu yang sememangnya popular di sana.

Dalam dua episod di Pahang iaitu di Genting Skyway, Teluk Chempedak dan Air Terjun Sungai Pandan, Muzium Sungai Lembing, program ini berkongsi resipi Ikan Baung Asam Rong, Kerabu Belulang Telur Kobis juga tiga resepi lain iaitu Sup Isi Tapak Kaki Lembu, Masak Lemak Tauge bersama Keropok Lekor dan Kerabu Daging Dendeng.

Untuk episod ini, Zaibo telah mengembara ke Melaka mengunjungi Hutan Rekreasi Tanjung Tuan, menaiki ‘Duck Tour’ dan banyak lagi. Dalam episod ini juga dia telah menunjukkan resepi pelik Sup Mata Lembu dan Jangat Masak Lemak Cili Padi Dengan Rebung. Selain itu kongsikan juga resipi Spaghetti Cencaluk, Rendang Pucuk Ubi dan Kerabu Kaki Ayam.

Episod akhir membawa penonton mengunjungi negeri Kedah iaitu di Kota Kuala Kedah, Gunung Keriang yang mana penonton pastinya teruja berkongsi resepi Rendang Telor Lembu dan Merpati Masak Merah.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Sekitar Sambutan Ulangtahun Ke-4 Suria FM

Pertandingan Akhir Nyanyian Lagu Irama Malaysia Antarabangsa 2011