Melihat keistimewaan menyambut hari raya di kampung halaman selama ini, pencetus idea bagi penerbit muda Ahmad Shafulizam Arshad atau lebih dikenali sebagai GBam bagi membuat rakaman melihat bagaimana para umat Islam menyambut Aidilfitri khususnya para remaja di negara orang menyambut di kampong masing-masing.
Bagi kebanyakan orang, idea ini umpama sudah biasa, namun bagi GBam ianya sesuatu yang berlainan kerana apa yang ingin diketengahkan ialah satu pengalaman baru yang belum pernah dirasai dan ditonton – Aidilfitri di Kemboja oleh para remaja.
Kemboja merupakan sebuah negara di Asia Tenggara dan bersempadankan Thailand di barat, mempunyai jumlah penduduk sekitar 13 juta dan beribu negara di Phnom Penh. Agama utama yang diamalkan di Kemboja ialah agama Buddha Thevarada. Agama lain termasuklah Islam (penduduk Cham) serta animisme di kalangan kaum peribumi.
Perjalanan Kru Remaja TV3 bermula dari ibu kota Phnom Penh ke kampong Tralach mengambil masa kira-kira dua jam dengan jarak perjalanan lebih kurang 300 km. R-Clix dan kru Remaja, mengambil inisiatif sendiri untuk meninjau dan menyelami kehidupan remaja di suatu tempat yang asing dan jauh dari istilah kemewahan.
Gbam ketika ditemui berkata, “Tiada pemandangan indah melainkan beberapa kenderaan mewah di sulami motosikal dan tuktuk buruk menyusuri lingkaran jalan-jalan raya yang berdebu. Kami sampai di Kampong Tralach sekitar jam 11 pagi waktu tempatan. Keadaan cuaca yang agak panas berbahang mencabar keimanan kami berpuasa. Kehadiran R-Clix dan kru Remaja di sambut meriah oleh keluarga angkat,” ujarnya
“Hari pertama di rumah keluarga angkat, kami dapat beramah mesra dengan seluruh ahli keluarga dan beberapa penduduk kampung. Walaupun agak sukar berkomunikasi, masih ada sebahagian kecil penduduk yang boleh berbahasa melayu. Kami juga berkenalan dengan beberapa remaja di sana.
Bercerita tentang remaja di Kemboja terutamanya di kampung Tralach, Gbam menyifatkan bahawa mereka juga sama seperti remaja-remaja di tempat lain. “Remaja yang suka cabaran. Namun apa yang menarik ialah, disiplin dan rasa tanggung jawab mereka ke atas keluarga amat mengujakan kami. Mungkin inilah didikan kemiskinan dan kesan penindasan. Mereka lebih fokus kepada pembelaan ekonomi keluarga berbanding mencari hiburan walaupun dengan cara tersendiri,” ujarnya
R-Clix sempat menyelami kehidupan remaja di sana dengan bersama-sama turun ke sungai menjaring ikan dan bekerja di pasar. Lina, baru berusia 16 tahun, tetapi terpaksa berjalan sejauh 3km sehari untuk menjual barang keperluan. Tiada pendidikan sempurna namun dari riak wajah dan perbualan, Lina kelihatan cerdik dan matang dari usianya.
“Tiada sistem persekolahan yang sempurna untuk para remaja di sana. Memang ada sekolah dan universiti tetapi jarak yang jauh dan kos di luar jangkauan sebahagian besar penduduk menipiskan lagi peluang mereka untuk belajar,” ujar GBam
Apa yang kami dapat disimpulkan ialah, remaja di Kemboja ini bukanlah memerlukan wang ringgit, pakaian atau barang makanan kerana mereka selesa dengan apa yang ada sekadar mengikut kemampuan mereka. Ikuti kisah dua episod, Remaja Raya Sabtu 4 Oktober 2008 dan 11 Oktober 2008 jam 1.00 petang.