Demi keselamatan keluarga tersayang, Reen Rahim reda beraya sendirian sepanjang tempoh kuarantin selepas disahkan positif COVID-19, baru-baru ini.
Mengambil keputusan duduk berasingan selepas dijangkiti virus berkenaan, Reen yang disahkan positif selepas menjalani ujian calitan kedua, membilang hari untuk bertemu ibu dan ayah.
Reen atau nama sebenar, Noreen Ashikin Abdul Rahim mengaku dirinya bagai tidak percaya beraya sendirian tanpa ibu yang digelarnya ‘Amie’ dan ayah yang dipanggil ‘Baba’.
“Selama ini, saya sudah berjanji dengan diri sendiri, biar apa pun terjadi, saya tidak akan meninggalkan Amie dan Baba beraya sendirian.
“Malah, saya sanggup tidak berkahwin jika bakal suami mahu membawa saya jauh dari ibu kandung.
“Saya mahu Amie dan Baba duduk bersama biarpun sudah berkahwin. Kalau bakal suami tidak mahu terima, saya sanggup tolak,” katanya kepada BH Online.
Pelakon Pujaan Hati Kanda mengaku hidup bersulam air mata sejak disahkan positif COVID-19 apatah lagi hasrat beraya dengan ibu bapa dan keluarga tidak kesampaian.
“Saya perlu mengasingkan diri daripada mereka selama lebih seminggu. Hendak tak hendak, saya kena raya sendirian.
“Tidak tahu hendak menggambarkan rasa hati. Semoga Allah kuatkan hati Amie agar tidak bersedih.
“Saya lebih rela Amie menangis di pagi raya kerana saya tiada daripada saya menangis sebab Amie terkena virus ini…. Doakan saya,” katanya yang bersyukur tiada dalam kalangan keluarganya di Klang disahkan dijangkiti virus berkenaan.
Terdahulu, Reen memuat naik keputusan ujian keduanya itu di Instagram. Selain Reen, terbaru artis yang dijangkiti virus itu adalah Nora Danish dan Tiz Zaqyah.
*Sumber: BH Online