Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Syamsul Mohd Yusof yang ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Azmi Mohd Rais berkata, ia berikutan Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana tuntutan kerja di luar negara.
“Hari ini adalah sebutan nusyuz, tetapi Puteri Sarah tidak dapat hadir kerana ada urusan di luar negara.
“Saya tak mahu cakap banyak sebab takut salah cakap. Apa-apa pun, doakan yang baik-baik antara saya dan Puteri Sarah sama ada berakhir dengan baik atau tidak.
“Doakan yang terbaik kerana kadang-kadang kita tidak tahu yang terbaik untuk kita mungkin tak baik untuk kita. Allah Maha Mengetahui.
“Hanya mampu bersangka baik kepada sesiapa sahaja,” katanya kepada BH Online.
Dalam masa sama, Syamsul juga memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat rakan-rakannya menghadapi kemelut rumah tangga.
“Doakan yang terbaik bukan untuk saya sahaja, tetapi rakan-rakan artis lain sebab kita nampak ia jadi ‘trend’.
“Ini bukan perkara main-main. Ini mengenai kehidupan peribadi dan tidak nampak indah yang disangka. Inilah realiti.
“Doakanlah kami semua. Itulah hakikat sebenar,” katanya.
Mengulas mengenai keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pada Isnin depan, Syamsul berkata, dia reda dengan apa sahaja yang bakal berlaku.
“Insya-Allah, saya cuba reda dengan apa sahaja, mudah-mudahan begitu juga dengan Puteri Sarah.
“Saya pun tidak mahu mengeluarkan kenyataan melukakan hati Puteri Sarah lagi. Harap boleh selesai dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Syamsul tiba di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, kira-kira jam 9.10 pagi bagi sebutan pertama kes nusyuz terhadap Puteri Sarah.
Syamsul memfailkan permohonan nusyuz pada 21 Mac lalu di mahkamah, di sini.
Sementara itu, Puteri Sarah tidak hadir dan hanya mewakilkan peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Peguam Syamsul, Azmi berkata, Puteri Sarah terbabit dalam beberapa tuntutan nusyuz atas beberapa alasan.
“Syamsul sudah memfailkan kes tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah. Kami berusaha mendapatkan kebenaran menyerahkan saman, memandangkan Puteri Sarah tinggal di Wilayah Persekutuan.
“Jadi, kami akan serahkan saman ini kepada Puteri Sarah dalam masa terdekat ini.
“Nusyuz adalah isteri tidak taat dan derhaka, jadi Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz kepada Puteri Sarah kerana beberapa alasan yang dinyatakan dalam tuntutan.
“Antaranya, Puteri Sarah meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, masih menghubungi bekas kekasih, enggan mematuhi notis nusyuz dan keempat sudah membuat fitnah terhadap Syamsul seperti memukul serta tidak memberi nafkah,” katanya
Sumber: BH Online