in

Ratu The Movie Perkenal Bakat Baru

PROGRAM REALITI DAN FILEM BUAT PERTAMA KALINYA DISATUKAN DALAM MENCUNGKIL BAKAT-BAKAT BARU MENERUSI RATU THE MOVIE.

Industri perfileman di Malaysia sentiasa memerlukan pelapis pelakon untuk meneruskan perjuangan mengikut peredaran masa. Justeru itu setiap filem yang diterbitkan pasti akan ada muka-muka baru sebagai permulaan landasan mereka untuk menuju ke destinasi kemasyuran. Terkandas atau terus maju di atas landasan itu bergantung pula kepada penerimaan masyarakat di luar sana.

Tetapi apa yang diperhatikan kini, semakin ramai pengarah dan produser selesa menggunakan bakat-bakat baru yang diasah dari program-program realiti, tidak kiralah program nyanyian, lakonan atau pun tarian. Yang penting mereka ini telah pun mengukir nama. Walaupun ada sesetengahnya cuma suam-suam kuku tetapi akhirnya menjadi popular menerusi filem lakonan mereka. Ini sudah cukup untuk melabelkan program-program realiti juga berfungsi sebagai gudang pembekalan bakat-bakat baru lakonan untuk industri perfileman.

Ratu The Movie Scene

Melihat fenomena ini dan juga populariti program realiti itu sendiri yang semakin hebat di Malaysia, Wayang Studios International (WSI) dengan kerjasama Line Clear Motion Pictures mengilhamkan satu formula dalam menghasilkan sebuah filem terbaru mereka, Ratu The Movie di mana ia menggabungkan sebuah program realiti dengan sebuah penghasilan filem.

Ini bermakna penggemar filem tanah air mendapat dua sajian menerusi Ratu The Movie iaitu program realiti dan penceritaan filem. Melalui ujibakat yang telah dilakukan terlebih dahulu oleh pihak WSI dan LineClear ke seluruh Malaysia bagi mencari peserta-peserta program realiti yang diberi nama Pesona Ratu ini. Lebih dari 1000 orang telah hadir dalam ujibakat yang telah dijalankan di Pulau Pinang¸Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.

Dari jumlah tersebut, hanya 18 orang yang berjaya melepasi peringkat saringan. Kesemua 18 peserta yang Berjaya itu telah dikumpulkan dan diberi pendedahan dalam bentuk latihan dan vokal selama 2 minggu di kampus UiTM Puncak Alam. Antara tenaga pengajar yang telah memberi sumbangan dan tujuk ajar ialah Prof. Madya A. Razak Mohaideen, Puan Aminah Rapor, Mazlan Tahir, Puan Umi Khalsom, Fatimah Abu Bakar, Adam Salleh, Akmal Abdullah, Yusri KRU dan lain-lain. Selepas melalui proses latihan tersebut seramai 10 calon telah dipilih untuk memegang watak utama dalam filem Ratu The Movie.

Namun begitu, lapan lagi peserta yang tidak Berjaya mebarisi watak utama diberi pendedahan dengan memaparkan lakonan mereka di babak pertama dan terakhir filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu.

Menerangkan secara lebih jelas lagi mengenai konsep yang dianggap sebagai satu lagi inovasi kreatif dalam penghasilan sesebuah filem, Produser filem Ratu The Movie, A. Latiff Mohaideen berkata, “Filem Ratu The Movie ini merupakan filem realiti penggambaran yang pertama di Malaysia. Tujuan utamanya adalah untuk memperkenalkan bakat-bakat baru kepada industri perfileman.

Kita sedar bahawa saban hari kita memerlukan muka-muka baru untuk menyambung generasi seniman dan seniwati yang sedia ada. Ratu The Movie membawa anda menyaksikan 10 bakat baru yang pertama kalinya berlakon di dalam filem setelah melepasi saringan ujibakat yang telah dilakukan sebelum ini. Kita tidak takut meletakan mereka sebagai barisan hadapan filem ini walaupun mereka tiada langsung pengalaman berlakon sebelum ini kerana apa yang ingin kita tonjolkan adalah persembahan lakonan 10 peserta yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir.”

Ratu The Movie Scene

“Penonton pula seperti juri atau pengundi yang akan membuat penilaian sendiri terhadap kebolehan lakonan 10 peserta ini di akhir cerita. Namun saya harapkan agar bakat-bakat baru ini dapat diberikan sokongan supaya mereka dapat meneruskan perjuangan seni mereka seterusnya dan bukannya berakhir dengan filem ini saja.”

Seperti mana program-program realiti yang lain, 10 finalis Pesona Ratu ini diberikan cabaran untuk memperkenalkan diri mereka sendiri kepada masyarakat menerusi kempen promosi yang telah dirangka untuk pemasaran filem ini.

Bermula seawal bulan Mei tahun 2010, mereka semua telah didedahkan dengan menyertai majlis-majlis seni yang diadakan sepanjang tahun tersebut. Siri jelajah Ratu The Movie ke seluruh Malaysia juga turut diadakan bermula awal tahun ini sebagai langkah awal 10 finalis ini menunjukkan kemampuan mereka melayani para peminat melalui sessi soal jawab, sessi kuiz dan sessi permainan di kompleks membeli belah dan pawagam-pawagam yang terpilih.

Ratu The Movie Scene

Selain itu, mereka turut berkesempatan menghiburkan peminat dengan persembahan tarian mereka yang dilatih sendiri oleh kareografer professional mengiringi Damian (bekas anggota VE) menyanyikan lagu tema filem Ratu The Movie yang bertajuk ‘Jelita’, ciptaan sepenuhnya Damian sendiri.

Tidak habis di situ, rangkaan promosi juga melawati seluruh kampus UiTM di Malaysia termasuk universiti dan kolej tempatan terpilih bagi tayangan amal filem Ratu The Movie. Yang pastinya mereka yang telah pun bertemu dengan 10 finalis ini pasti diberikan buah tangan istimewa iaitu kalendar mini eksklusif filem Ratu The Movie.

Ratu The Movie Scene

Sokongan juga turut diterima dari pelbagai penaja yang meletakan kepercayaan yang tidak berbelah bagi terhadap filem ini. Dua penaja utama yang membantu menjayakan kempen promosi filem Ratu The Movie ialah Mizi Sports, pengeluar barangan keperluan sukan berjenama tempatan dan antarabangsa yang menaja pakaian para pelakon dan juga Malaya Optical yang sudi memberikan hadiah cermin mata eksklusif kepada para pelakon dan wartawan. Kedua-dua penaja ini turut menghulurkan sumbangan hadiah-hadiah kepada orang ramai untuk sessi siri jelajah Ratu The Movie ke seluruh Malaysia.

Filem Ratu The Movie memaparkan sebuah program realiti yang diberi nama ‘Pesona Ratu’. Mencari gadis-gadis berkelayakan untuk diiktiraf sebagai ratu, akhirnya seramai 10 peserta berlatar belakangkan profesion yang berlainan dipilih untuk ke peringkat akhir. Mereka akan dibawa belayar ke satu tempat untuk penilaian seterusnya. Dua peserta terkeluar awal kerana gagal tiba ke lokasi perjumpaan seperti yang telah ditetapkan.

Ratu The Movie Scene

Berlayarlah 8 peserta bersama tenaga kerja ‘Pesona Ratu’ ke lokasi rahsia. Setiap seorang peserta mempunyai misi masing-masing dalam merebut takhta ratu yang ditawarkan. Walaubagaimanapun, kapal mereka tersadai di sebuah pulau terpencil. Ini memaksa mereka tinggal sementara di pulau tersebut sementara menanti kapal mereka diperbaiki.

Bermulalah detik hitam yang melanda peserta-peserta yang memburu gelaran ratu ini. Kesukaran mengharungi hidup di pulau itu dengan ribut yang melanda, bekalan makanan yang semakin kehabisan dan kemunculan makhluk yang tidak diundang mula menampakkan sikap sebenar setiap seorang daripada mereka. Seorang demi seorang mula hilang dan mereka semakin cemas mencari jalan keluar.

Apakah yang terjadi seterusnya. Ikuti filem Ratu the Movie dengan tema “Pengembaraan yang tidak pernah bermula” dengan penampilan 10 bakat baru, filem ini turut didukung oleh pelakon-pelakon ternama yang lain seperti Fouziah Gous, Eizlan Yusof, Yusry KRU, Yasmin Hani, Cico Harahap, Shaharuddin Thamby, Zaibo, Aminah Rhapor, Mazlan Tahir dan dua pelakon remaja lelaki yang mula meningkat naik, Azlee Khairi dan Farid Wari.

Filem Ratu The Movie yang akan menjengah pawagam pada 17 Mac ini, tentunya suatu pengembaraan yang tidak pernah bermula pada 10 finalis ini, namun ia juga tidak akan pernah berhenti mematikan langkah mereka dalam dunia seni.

Ratu The Movie Scene

Ratu The Movie Scene

Ratu The Movie Scene

Ratu The Movie Scene

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Brad Meltzers Decoded New Series

Drama Si Capik Musim Ke 3