in

Ratu Dangdut Amelina Buat Comeback

Awal November lalu, industri muzik dikejutkan dengan spekulasi kononnya Ratu Dangdut terkenal, Amelina kembali aktif selepas gambarnya dimuat naik oleh teman lamanya. Gambar penyanyi ini tersebar luas di laman-laman sosial termasuk blog hiburan. Kemudian muncul seribu satu pertanyaan, adakah Amelina bakal ‘comeback’?

Selepas hampir 15 tahun menghilangkan diri, ternyata kemunculan penyanyi tersebut memang diharapkan oleh rata-rata peminatnya juga kalangan wartawan hiburan kerana kehilangannya sekitar 1999 lalu masih berbekas misteri yang tidak pernah meninggalkan jawapan. Bayangkan, penyanyi kelahiran Negeri Sembilan ini hilang sekelip mata ketika berada di puncak kerjaya nyanyiannya. Lagu-lagunya kerap diputarkan oleh radio-radio tempatan selain undangan persembahan yang tidak pernah berhenti.

Amelina

Ratu Dangdut Amelina Muncul Semula Selepas 15 Tahun Menghilang

Justeru spekulasi kononnya Amelina bakal kembali menggegarkan industri hiburan adalah satu jawapan kepada sebuah penantian panjang. Amelina sudah tentu menjadi tajuk utama berita yang sehingga kini masih tidak diketahui punca dan alasannya menghilang ketika itu.

Lagu-lagu popular nyanyiannya seperti Rindu, Asyik, Seri Langkat, Secangkir Madu Merah, Semakin Rindu Semakin Asyik dan banyak lagi menjadi fenomena dan siulan ramai. Malah hingga kini, lagu-lagu yang mempunyai kekuatan dari aspek susunan melodinya dilengkapkan pula dengan alunan vokal tersendiri Amelina masih menjadi pilihan ramai peminat di pusat hiburan karaoke. Itulah penangan muzik dangdut yang dibawakan oleh Amelina hingga dia diangkat menjadi ikon muzik.

Persoalannya, adakah benar berita dan spekulasi yang tersebar ini?

Amelina yang mesra disapa Alin muncul memimpin semangat baru dan nekad untuk mencatur langkahnya sendiri dengan bertemu komposer terkenal, Mohd Faizal Maas atau Ajai pada Oktober lalu bagi mengintai peluang untuknya kembali ke depan menggapai kegemilangannya kembali.

Menurut Amelina, perasaan rindu untuk kembali memegang mikrofon dan merakamkan lagu di dalam studio terlalu tinggi hingga memaksa untuknya nekad melupakan apa saja alasannya yang ‘hilang’ sebelum ini.

“Semua yang pernah berlaku sebelum ini adalah satu proses kehidupan yang banyak mengajar saya hingga menjadi individu jauh lebih tabah, kuat dan bersemangat. Kehilangan saya adalah sesuatu yang begitu peribadi untuk saya kongsikan secara terperinci. Tapi cukup jika saya katakan ia satu pengalaman yang tak mungkin saya lupakan.

“Namun untuk saya terus hidup dalam kisah silam adalah sesuatu yang membunuh secara perlahan. Justeru saya kuatkan hati, bulatkan rasa dan lupakan segala kisah itu untuk terus hidup dan memandang ke depan,” katanya optimis.

Menjawab isu status perkahwinannya yang menjadi tajuk berita ketika kehilangannya dulu, penyanyi dangdut terkenal ini bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya akui berkahwin adalah antara alasan saya meninggalkan dunia nyanyian dulu. Tapi kembali aktif selepas 15 tahun ini, saya lebih selesa untuk membiarkan ia menjadi satu kisah peribadi yang tidak dikongsikan dengan sesiapa. Saya amat berharap agar semua pihak dapat menghormati pendirian saya kerana ia membabitkan banyak pihak yang perlu untuk saya fikirkan,” katanya lagi.

Amelina bagaiamanapun mengakui yang kini bahagia bersama enam orang anaknya dan memegang satu semangat untuk kembali menghiburkan semua peminat yang merinduinya.

Memandangkan gambar yang dimuat naik di laman sosial dan kemudian menjadi bualan hangat di kalangan peminat kononnya Amelina sudah bertudung, penyanyi yang sinonim dengan sikap rendah dirinya ini punya jawapannya sendiri.

“Jujur saya katakan yang semua itu hanya spekulasi kerana saya belum lagi bertudung penuh. Namun saya akui gambar itu adalah saya yang mengenakan tudung ketika itu. Tapi itu disebabkan saya terpaksa mengenakan tudung bagi menutup wajah dan penampilan saya bagi mengelak dari sesiapa mengenali saya.

“Saya tidak yakin dan malu untuk muncul di khalayak ramai lebih-lebih lagi dengan mana-mana pihak yang mengenali saya. Tapi kini adalah masa paling sesuai untuk saya muncul dengan penampilan baru selepas menyusun dan merencana langkah dengan tersusun,” katanya.

Amelina tampil bernaung di bawah Wake The Baby Records Sdn Bhd. Sekali lagi persoalan, komposer manakah yang bakal bergandingan menghasilkan single terbaru nyanyian Amelina yang bakal menjadi pengenalan buat Ratu Dangdut ‘comeback’. Sama-sama kita nantikan.

Amelina

Amelina

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Telemovie Komedi Terpaku Pontianak di TV9

Style Yang Memudahkan & Menjimatkan Masa Budiey