Liku-liku percintaan Mia dan Khuzairi berakhir dengan kegembiraan! Hampir 5 juta penonton berpuas hati apabila krisis rumah tangga Mia dan Khuzairi berjaya diselamatkan selepas pelbagai dugaan yang harus dilalui oleh pasangan ini. Rating terkumpul untuk semua episod ‘7 Hari Mencintaiku’ ini berjumlah 12 juta penonton dan rating untuk satu jam siaran dari pukul 6.58 malam sehingga 8 malam pada episode akhir telah mencecah 5 juta penonton (sumber: Nielsen Audience Measurement).
Drama bersiri 28 episod, ‘7 Hari Mencintaiku’ terbitan Pena Creative Pictures Sdn. Bhd. lakonan hebat oleh Shukri Yahaya, Siti Saleha, Syazwan Zulkifly, Wan Sharmila, Aman Graseka, Liza Abdullah dan Jaja Illiyes DFKL ini telah menjadi ‘kegilaan’ orang ramai sejak disiarkan pada 7 November 2016 menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 6.58 petang.
5 Juta Penonton Meraikan Percintaan Mia & Khuzairi
7 Hari Mencintaiku turut menjadi topik perbincangan yang hangat di laman sosial Twitter setiap kali bersiaran di kaca televisyen apabila berjaya memonopoli takhta trending nombor satu di Malaysia dengan kata kunci #7HariMencintaiku.
Lebih menarik lagi, bukan watak Mia dan Khuzairi sahaja yang berjaya menjadi tumpuan orang ramai. Salah satu babak drama yang amat menyedihkan sehingga berjaya menjadi trending di laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram adalah apabila watak Buntat (lakonan adik Mohd Ariff) meninggal dunia ketika dia cuba untuk menyelamatkan Mia daripada dipukul oleh Khalil (Engku Haris). Tambahan lagi, watak Pak Samad (Aman Graseka) juga hangat diperkatakan sehingga menjadi idola kegilaan ramai wanita.
Menurut pengarah drama bersiri 7 Hari Mencintaiku, Jamal Khan, “Pertama sekali, syukur Alhamdulillah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Sebenarnya, saya dan pihak produksi langsung tidak menyangka bahawa drama ini akan menjadi satu fenomena yang hebat di seluruh Malaysia. Lakonan setiap watak seperti Buntat, Mak Leha, Pak Samad, Helmi dan ramai lagi dalam drama ini juga amat hidup sehingga berjaya mendapat perhatian dari orang ramai.
Selain itu, drama ini bukan sahaja menitikberatkan kisah percintaan antara Mia dan Khuzairi. Pada pendapat saya, antara elemen unik dalam drama ini yang patut diambil contoh oleh orang ramai adalah elemen kekeluargaan dan persahabatan. Saya ingin memberi penghargaan kepada pencipta cerita ini iaitu Siti Rosmizah kerana berjaya menghasilkan sebuah karya yang berjaya menyentuh hati orang ramai. Saya turut ingin mengucapkan terima kasih kepada barisan pelakon yang telah bekerjasama untuk menjayakan siri drama ini.”
7 Hari Mencintaiku ini mengisahkan Khuzairi (Shukri Yahaya) yang menikahi Mia (Siti Saleha) dalam keadaan terpaksa apabila tunangnya, Khalil (Engku Haris) menghilangkan diri pada hari pernikahan. Mia amat sayang dan percayakan Khalil. Tanpa usul periksa dan berbincang dengan ayahnya Datuk Megat Idrus (Zulkifli Ismail), Mia telah menggunakan wang syarikat sebanyak RM23 juta untuk membantu syarikat Datuk Johari (Shaharuddin Thamby), iaitu ayah kepada Khalil yang sedang dibelenggui masalah kewangan. Mia yakin bahawa Khalil akan memulangkan wang tersebut.
Pada hari pernikahannya, penantian Mia hanya menjadi sia-sia kerana rombongan Khalil bersama keluarganya tidak kunjung tiba. Rupa-rupanya, Datuk Johari yang licik telah memujuk anak lelakinya itu agar pergi ke Paris untuk berkahwin dengan perempuan pilihannya. Khalil sanggup mengkhianati Mia untuk menyelamatkan syarikat ayahnya.
Suasana bertambah huru-hara lagi apabila Datuk Megat Idrus diserang sakit jantung. Untuk menyelamatkan maruah Mia, Datuk Megat Idrus membuat permintaan agar Khuzairi berkahwin dengan Mia. Bermulalah kehidupan baharu Mia bersama Khuzairi di kampung. Mia tidak senang dengan kehidupan di kampung kerana dia menganggap tempat itu tidak sepadan dengan statusnya. Malahan, Mia juga melakukan pelbagai perkara supaya diceraikan oleh Khuzairi.
Khuzairi seorang yang penyabar dan mencuba sedaya upaya untuk memikat hati Mia. Sayangnya cinta seorang suami tidak mampu menandingi ego isterinya itu. Hubungan mereka selalu pasang surut sehinggalah pada suatu hari, Mia sanggup bertindak untuk meninggalkan suami dan anak kecilnya. Khuzairi terkilan dengan kedegilan Mia yang enggan menyusukan anaknya itu walaupun telah dipujuk.
Tiadanya Khuzairi di sisinya, barulah Mia sedar bahawa sebenarnya dia juga menyayangi Khuzairi. Mia akui dengan kesilapannya dahulu dan memohon maaf dengan Khuzairi. Mia juga merayu agar diberikan peluang kedua untuk membuktikan cintanya kepada Khuzairi dan anak mereka dalam tempoh tujuh hari.
Untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini, penonton boleh melayari laman sesawang TV3 di www.tv3.com.my serta laman sosial Facebook, Instagram & Twitter TV3Malaysia.