Penyanyi, Syafiq Farhain, 27, mengesahkannya positif COVID-19 menerusi keputusan ujian calitan yang dilakukan, semalam.
Syafiq berkata, dia melakukan ujian calitan apabila mula rasa tidak sedap badan.
“Saya membuat ujian calitan selepas tak sihat. Saya terkejut keputusannya positif. Jika ada sesiapa merasakan kontak rapat dengan saya, lebih baik pergi melakukan pemeriksaan. Saya mohon maaf kerana menyusahkan.
“Kini, saya menjalani tempoh kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan Tindak Balas Rantai Polimer (PCR). Saya hanya mengalami simptom kurang deria.
Terdahulu, Syafiq berkongsi video menjalani ujian calitan menerusi Instagram (IG). Dia juga berkongsi keputusan ujian yang memaklumkannya positif COVID-19.
Bagaimanapun, anak kepada Allahyarham Saleem yang masih bekerja tetap sebagai anggota bomba itu tidak berkongsi puncanya menerima jangkitan.
Dalam pada itu, Syafiq kali terakhir tampil dengan single Sakit Hati pada Disember 2019 berharap, dirinya cepat sembuh.
Katanya, dia merancang melancarkan single baharu, tahun ini.
“Jika diikutkan, single Kau Bidadari ciptaan Asfan Shah dan Fedtri Yahaya akan dikeluarkan sekitar awal tahun lalu, namun ia beberapa kali ditangguhkan namun ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepatutnya single Kau Bidadari sudah dikeluarkan, tetapi rakaman video muzik pula terpaksa ditangguhkan disebabkan PKP. Kemudiannya, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan.
“Saya dan produksi ada merancang untuk meneruskan rakaman muzik video, tetapi salah seorang daripada pasukan kami perlu menjalani kuarantin, jadi terpaksa ditangguhkan lagi.
“Tarikh baharu rakaman video muzik pada 12 Januari lalu, tetapi pelaksanaan PKP 2.0 pula hingga sekarang,” katanya.
Oleh itu, kata Syafiq, dia perlu menunggu kes penularan COVID-19 reda dan dirinya sembuh untuk penggambaran video muzik.
*Sumber: Berita Harian