Meraikan Ramadan pada tahun ini, laman online gaya hidup dan platform strim video Malaysia, hurr.tv akan memperkenalkan beberapa program menarik yang bakal menemui penonton setianya.
Bermula 19 Mei 2018, hurr.tv akan turun padang untuk ke bazar-bazar ramadan di sekitar Lembah Klang dalam sebuah program, Do-It Raya. Sebagai hos, personaliti media sosial, Hazeman Huzir akan melawat bazar Ramadan terpilih untuk melakukan cabaran bersama dengan pengunjung bazar berkenaan.
Menariknya, pengunjung berpeluang untuk memenangi wang tunai serta merta sekirannya berjaya dalam cabaran yang diberi, dari RM10, RM20, RM50 hingga RM100 mengikut tahap kesukaran. Bagi mengetahui lokasi bazar Ramadan terpilih, ikuti Instagram @hurr.tv.
Episod pertama Do-It Raya akan disiarkan pada jam 5 petang Sabtu ini, 19 Mei, diikuti oleh tiga episod berikutnya pada hari Jumaat, 5 petang pada 25 Mei, 1 Jun dan 8 Jun 2018.
Penonton juga akan disajikan dengan empat episod sketsa komedi pendek dalam siri Riuh Puasa Raya bersama YouTuber terkenal, Zack Merican. Penonton akan menyaksikan parodi situasi harian yang akan dilakonkan oleh beliau. Lebih menarik, beberapa personaliti media sosial dan selebriti akan turut ditampilkan.
Sketsa ini akan menyelami pelbagai situasi harian yang dilalui masyarakat dan mengajak penonton untuk sentiasa bersyukur serta memperbaiki diri dengan pendekatan yang tidak terlalu serius. Program ini akan disiarkan setiap hari Ahad bermula 3 Jun 2018 pada jam 7 malam.
Memasuki minggu ketiga Ramadan, program #CARGOALS akan menemui penonton bagi musim kedua. Jika sebelum ini personaliti media sosial Syafx dan Tasnim Shah telah membuat modifikasi khas kenderaan masing-masing, kini penyampai radio terkenal Jaa Suzuran akan diberikan tanggungjawab berkenaan.
Menerusi kenderaan yang diperoleh daripada MyMotor, Jaa akan menggunakan kreativiti dan visi tersendiri bagi modifikasi kereta, sekaligus memberikan penonton peluang keemasan untuk memiliki kereta edisi khas dengan harga yang berpatutan di Beli@hurr. Program tiga episod ini akan bersiaran pada hari Sabtu bermula 2 Jun 2018, jam 5 petang.
Menurut Pengarah Saluran hurr.tv, Datin Elaine Daly, “hurr.tv terus komited untuk menyajikan kepada penontonnya program-program menarik bukan sahaja pada hari-hari biasa, malah pada bulan yang mulia ini iaitu Ramadan. Pendekatan kami sudah semestinya untuk memberikan satu elemen yang lebih ceria dan dalam masa yang sama menerapkan nilai-nilai murni kepada penonton.”
Dalam pada itu, beberapa rancangan sedia ada hurr.tv juga akan mengalami perubahan waktu siaran sempena Ramadan. Program Nak Beli yang sebelum ini disiarkan secara langsung setiap hari Jumaat pada jam 8.30 malam akan berubah waktu siaran pada jam 12 tengah hari. Beberapa personaliti media sosial akan ditampilkan kali ini antaranya Nur Syazana, Ssab.Breena dan ItsRoseNicotine.
Menerusi Nak Beli, penonton berpeluang untuk memiliki koleksi peribadi personaliti kegemaran mereka dengan harga rendah secara eksklusif di Beli@hurr.
Selain itu, program Depan Rumah Je bersama hos Kak Leha Bunting atau Faizdickie juga akan bertukar waktu siaran secara langsung daripada jam 8.30 malam kepada 12.30 tengah hari pada setiap hari Khamis. Depan Rumah Je adalah segmen bual bicara santai bersama personaliti media sosial dan selebriti tempatan.
Program Muzik Jam yang menampilkan YouTuber yang bakal bersaing sesama mereka tur berubah waktu siaran daripada jam 8.30 malam kepada jam 1 petang setiap hari Rabu. Program yang dihoskan oleh penyanyi tempatan muda Ismail Izzani dan Naim Daniel ini menyaksikan cabaran secara langsung antara dua YouTuber bersaing menyanyi secara akustik di mana penyanyi dengan undian yang tertinggi meneruskan saingan berikutnya. Episod 9 hingga 12 akan menampilkanYouTubers seperti Adzrin, Fareez Fauzi serta Sheryl Shazwanie yang akan bersaing sekali lagi di atas permintaan peminat.
Untuk maklumat lanjut mengenai hurr.tv, ikuti kami di: Website │Facebook │YouTube│ Instagram │Twitter