‘HAPPY DEEPAVALI’
RAIKAN “PESTA CAHAYA” BERSAMA TV3!
Perayaan Deepavali kembali lagi, pastinya penganut agama Hindu menantikan hari penuh makna ini dengan rasa teruja. Sempena hari perayaan istimewa ini, sama seperti sambutan hari perayaan yang lain, TV3 tidak lupa mempersembahkan pelbagai rancangan menarik buat penonton setianya!
Bermula seawal jam 6.30 pagi, Malaysia Hari Ini (MHI) akan berlintas langsung dari kediaman Dato’ Seri Samy Vellu, Presiden Parti MIC dan membicarakan tentang topik persiapan sambutan Deepavali. Diikuti dengan Wanita Hari Ini (WHI) yang dibawakan khas dari Little India, Briekfields, yang baru sahaja dilancarkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Razak dan Perdana Menteri India, Manmohan Singh pada hari Rabu lalu.
WHI merupakan program televisyen pertama yang bersiaran secara langsung dari Little India, Briekfields. Disamping itu, program yang akan dihoskan oleh Nor Azzura, Farah dan Ezzan Zalilah ini bakal diwarnai dengan pelbagai acara menarik seperti tarian kebudayaan komuniti kaum India, dekorasi kolum dan perhiasan bersempena sambutan Deepavali.
Perayaan “Pesta Cahaya” diteruskan lagi dengan empat rancangan menarik, dua program muzikal, “Cahaya Deepavali” dan “Muzikal Jodoh Deepavali” menampilkan Kenchana Devi dan ramai lagi artis terkenal tempatan serta dua buah filem iaitu “Ninaithale Inikkum”, sebuah filem tamil yang mengisahkan cabaran dan dugaan yang terpaksa dilalui oleh Siva sewaktu melanjutkan pelajaran di kolej dan “Pensil”, sebuah filem indie melayu yang sarat dengan mesej dan bagaimana seorang insan tidak sempurna sifat fizikalnya juga mampu meraih kegembiraan disebalik hinaan masyarakat sekeliling.
Pastinya ‘Pesta Cahaya’ di TV3 bakal menerangi Hari Deepavali anda kerana hanya yang terbaik pastinya dari TV3.
Malaysia Hari Ini (MHI) Istimewa Deepavali
Jumaat, 6.30 pagi
Sinopsis: Bersama Ally Iskandar dan Abby Fana dalam program bual bicara MHI istimewa sempena Hari Deepavali. Berlintas langsung dari rumah Dato’ Seri Samy Vellu, Presiden Parti MIC. Nurul Syuhada akan menemu-bual Dato’ Seri Samy Vellu dan keluarga serta pemimpin Parti MIC yang lain mengenai persiapan menyambut perayaan pesta cahaya yang dinanti-nantikan ini disamping persembahan tarian tradisional komuniti kaum India.
Cahaya Deepavali
Jumaat, 9.00 pagi
Sinopsis: Sebuah drama yang diambil dari kisah benar. Menceritakan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Devi yang terpaksa melalui keperitan hidup untuk mencapai cita-citanya. Dengan sokongan dan dorongan dari ahli keluarga terutama ibunya, mampukah Devi merealisasikan impiannya?
Pelakon: Kenchana Devi, C.Kumaresan, Sheela Pravina, Kumaresh, Ganthi Ben, Louisa Chong, Nas Adila, Farmi.
Wanita Hari Ini (WHI) Istimewa Deepavali
Jumaat, 12.00 tengahari
Sinopsis: Sempena sambutan Hari Deepavali, WHI bakal bersiaran secara langsung dari Little India, Brickfields. Menariknya, Little India ini baru sahaja siap sepenuhnya beberapa hari lepas. WHI Istimewa Deepavali ini akan dihoskan oleh Nor Azzura, Farah dan Ezzan Zalilah bersama tetamu khas iaitu M. Saravanan, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan. Topik yang bakal mereka bicarakan ialah “Warna-warni Deepavali”.
Muzikal Jodoh Deepavali
Jumaat, 6.00 petang
Sinopsis: Sebuah program muzikal komedi yang dihoskan oleh Kenchana Devi dan Shashi Dharan. Dua pengacara ini akan menemu-bual artis popular tanahair mengenai perayaan Deepavali diselangi dengan beberapa buah lagu menarik. Bukan sekadar menemu-bual, telatah bersahaja mereka di sebalik tabir pasti akan membuat penonton tidak kering gusi.
Panggung Sabtu: Ninaithale Inikkum
Sabtu, 12 tengahari
Sinopsis: Siva dalam perjalanan dari Mumbai untuk menyertai majlis “reunion” kolejnya. Seketika, dia teringat kembali akan zaman kolejnya selepas hampir 8 tahun menamatkan pelajaran. Vasu, cukup terkenal sebagai musuh Siva, beliau berjaya meyakinkan Meera untuk menentang Siva dalam pemilihan kesatuan pelajar. Rakan baik Siva iaitu Sakthi ditemui mati ketika kempen sedang hangat berlangsung. Dengan rasa serba salah dan sedih, Siva mambawa diri ke Mumbai untuk memulakan hidup baru…
Pelakon: Sakthi Vasu, Prithviraj, Karthik Kumar, Priyamani, Vishnu Priyan, Bhagyaraj.
Pesona 3: Pensil
Ahad, 3.00 petang
Sinopsis: Mengisahkan seorang budak cacat dari segi fizikal setelah menghidap demam panas sewaktu berusia lapan bulan. Walaupun cacat, Badrul sayang ibunya. Badrul juga mempunyai nilai-nilai dan sikap menghormati orang-orang tua. Dia juga taat kepada ajaran agama. Badrul terpaksa menjual keropok dan bubur untuk menyara ibu dan dirinya. Dia mengharungi pelbagai dugaan kerana ada segelintir penduduk di kampung itu yang suka menghina dan mencacinya.
Pelakon: M.Subash, Rominah Sidek, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, Jalil Hamid.