Pengarah filem haruslah menjadi pemikir kreatif untuk mendapatkan idea daripada sumber yang berbeza dan kemudian mencetuskan konsep dan mengartikulasi idea dan inovasi di dalam karya filem mereka untuk memberikan impak kepada masyarakat.
Mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap komponen filem berjalan dengan lancar dan semua elemen pembikinan filem menyatu melalui tiga fasa iaitu pre-produksi, produksi dan pos-produksi.
Bagi mengangkat budaya pemikiran pengarah di sebalik sebuah pengkaryaan dan memperkasakan kemahiran dan kualiti diri penggiat seni kreatif tempatan dari sudut ilmu pengarahan, pertubuhan Malaysia Cinematic Auteurs Guild (Pertubuhan Karya Sutradara Sinematik Malaysia) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Rahsia Sutradara (Be Your Own Director) yang akan diadakan secara atas talian bermula 24 September ini.
Berkonsep interaktif, program Rahsia Sutradara (Be Your Own Director) anjuran MCAG bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini diwujudkan untuk melahirkan pengarah filem generasi muda baru di Malaysia yang mampu menguasai budaya berfikir secara sinematik dan teknik pengarahan berasaskan auteur serta membina kesedaran tentang hak-hak seorang pengarah dan bertanggungjawab dalam penghasilan karya.
Program yang julung kali diadakan ini juga turut mendapat kerjasama daripada Planet Mahir dan Yayasan TM serta rakan strategik Terang dan Bronic.
Presiden MCAG, Khir Rahman berkata, MCAG ditubuhkan melalui kesedaran dari sebahagian besar para sutradara tanahair bahawa pentingnya pengkhususan terhadap bidang pengarahan itu sendiri. MCAG mahu mengkhususkan perjuangan terhadap pengarahan filem cereka yang mana ia menuntut disiplin dan bakat penceritaan tersendiri.
“Penggunaan istilah ‘auteur’ itu sendiri merujuk kepada visi seorang sutradara dalam pengkaryaannya. Hak sutradara ini sangat penting untuk diperjuangkan. Ini kerana keadaan sekarang banyak memaksa seseorang sutradara itu tunduk dengan kehendak pihak penerbit mahupun pengeluar duit.
“Bagaimanapun, MCAG sangat percaya bahawa tahap akademik dan pengalaman sangat penting dalam membentuk peribadi seseorang sutradara. Justeru MCAG bersetuju utk bersama MYCAP (FINAS) bagi melaksanakan terlebih dahulu sebuah program mengenal pasti bakat untuk diasah ke tahap professional.
“Rahsia Sutradara (Be Your Own Director) adalah sebuah program pertama MCAG sebagai usaha awal dalam membentuk para sutradara berbakat dan terlatih. Semoga usaha ini akan memulangkan kepercayaan kepada pihak penerbit dalam memberi hak bercerita kepada seseorang sutradara yang dilantik,” katanya.
Jelas Khir lagi, bagi mewakili MCAG, dia juga ingin melahirkan rasa terima kasih buat semua pihak FINAS, Planet Mahir, Yayasan TM, Terang dan Bronic yang telah bekerjasama dalam menjayakan program ini serta menaruh kepercayaan terhadap projek Rahsia Sutradara ini.
“Saya bersama pasukan sangat berharap agar filem kebangsaan terus diangkat sekaligus melahirkan karya-karya yg berperanan dalam pembentukan bangsa Malaysia yang harmoni sekaligus menyumbang dalam perkembangan ekonomi negara,” katanya.
Program Rahsia Sutradara (Be Your Own Director) yang dihasilkan sebanyak lima siri ini akan dikendalikan lima orang mentor yang terdiri daripada gabungan pengarah filem yang mempunyai kekuatan dalam skil dan aspek pengarahan masing-masing iaitu Aziz M Osman, Jason Chong, Azhari Zain, Nik Amir dan Razaisyam Rashid.
Mensasarkan penyertaan peserta dari kalangan karyawan industri kreatif, mahasiswa, krew mahu pun orang awam yang mempunyai minat dan kecintaan untuk menjadi pengarah filem, program ini akan mendedahkan mereka dengan ilmu-ilmu pengarahan melalui diskusi di kalangan pengarah mentor.
Pendedahan, pemikiran dan percambahan idea baru serta upscaling yang mereka lalui akan memberi peluang kepada mereka untuk mengikuti program tumpuan iaitu program menjual idea karya filem pendek yang bakal dilaksanakan.
Kelima-lima mentor ini akan menilai pembentangan kertas kerja mereka dan memilih 15 orang peserta berpotensi untuk ke peringkat selanjutnya dan mereka dibenarkan untuk memilih mentor masing-masing.
Hanya 5 peserta yang akan dipilih untuk menyertai projek filem cereka MCAG yang menggabungkan 5 karya filem pendek arahan mereka setelah melalui proses siri-siri projek ini.
Pautan untuk menyertai program siri pertama ini akan dikongsi menerusi platform media sosial MCAG. Mereka yang berminat untuk terlibat dalam program mentoring ini perlu mengisi boring menerusi pautan Google Form yang akan dikongsi selepas program siri pertama berakhir.
Ikuti perkembangan Rahsia Sutradara (Be Your Own Director) dari masa ke semasa menerusi platform sosial media MCAG di IG: @mcagofficial, FB/mcagofficial, Twitter: @mcagofficial serta saluran Youtube : Malaysian Cinematic Auteurs Guild.
Program Rahsia Sutradara (Be Your Own Director)
Siri Pertama: 24 September 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam)
Siri Kedua: 1 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam)
Siri Ketiga: 8 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam)
Siri Keempat: 15 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam)
Siri Kelima: 22 Oktober 2021 (Durasi 2 jam, bermula jam 8 malam)