Keunikan budaya dan tatacara penduduk Riau sekali lagi menawan hati kru Dunia Tersembunyi. Siapa sangka manusia dan lebah dapat hidup harmoni dengan satu perjanjian. Kru pengembaraan Dunia Tersembunyi menjelajah ke daerah Pelalawan, Riau untuk menyaksikan tradisi silam Menumbai Madu penduduk tempatan.
Pada dasarnya ia bukanlah sesuatu yang pelik kerana kegiatan ini turut diamalkan di Malaysia. Namun kaedah penuaian madu lebah yang unik menggamit kru pengembaraan Dunia Tersembunyi untuk menyaksikannya sendiri. Hal ini kerana, penduduk tempatan menggunakan pantun melayu sebagai medium atau kaedah komunikasi dengan lebah untuk menuai madunya. Mereka percaya bahawa pantun melayu ibarat mendodoi lebah itu agar madunya dapat dituai.
Mengamalkannya seakan perjanjian sang lebah akan terus bersarang dan madunya dapat dinikmati penduduk sekitar. Malah, ia juga ibarat pelindung kepada si pemungut madu agar tidak diserang lebah yang mampu berisiko membawa maut.
Menurut Penulis dan Penerbit Dunia Tersembunyi, Encik Mohd Raziff Zulkafli,
“Saya dan kru penerbitan turut merasai kepayahan mengambil madu di Pelalawan. Melihat sendiri pemungut madu meniti tali sehingga ke dahan pohon sialang setinggi 40 meter tanpa kelengkapan keselamatan moden amat mencemaskan. Malah, pengalaman diserang lebah memaksa kami bersembunyi di dalam hutan hingga keadaan kembali tenang.”
Selain menyaksikan proses penuaian madu lebah itu, kru pengembaraan Dunia Tersembunyi turut terpesona dengan keindahan alam daerah Pelalawan itu. Menerusi kembara ini, kru Dunia Tersembunyi berpeluang menyaksikan sendiri fenomena alam semulajadi terutamanya, gelombang pasang surut di Sungai Kampar dikenali sebagai Bono dicatat antara gelombang terbaik di dunia. Seakan tsunami kecil, kehadirannya saban hari dinanti penggemar luncur air bagi merasai deras haluan gelombang yang mampu mencapai ketinggian enam meter.
Untuk menyaksikan keunikan alam Daerah Pelalawan ini, saksikannya secara eksklusif di TV3, saluran 103 kerana segalanya bakal dipertontonkan kepada anda menerusi episod Madu Sialang dalam Dunia Tersembunyi, pada Sabtu ini, 31 Januari 2015, jam 11.00 malam.