in

Rahim Razali Hidupkan Watak Osman Baku Musim Ke-3

Osman Baku kembali lagi untuk musim ketiga untuk membetulkan Bahasa Melayu kita. Kali ini lebih banyak konflik dan adegan lucu diketengahkan menerusi watak utama Osman Baku yang mengekalkan pelakon Dato’ Rahim Razali, Kazar Saisi, Sheila Mambo dan Khatijah Tan. Ternyata drama bersiri Osman Baru dalam 13 episod siarannya diterima ramai dan ‘terkesan’ di hati penonton setia RTM.

Menerusi episod pertamanya mulai 8 Oktober ini, “Osman Baku Musim ke-3” bakal menemui penonton setiap Khamis, pukul 2.30 petang di TV2 dan ditambah kepada 26 episod selain menampilkan kemunculan penyanyi Awi Rafael sebagai pelakon undangan dalam beberapa episod siarannya.

 photo Osman Baku 2.jpg

Dato’ Rahim Razali Kembali Hidupkan Watak Osman Baku Dalam Musim ke-3 di TV2

Keterujaan dan rasa tanggungjawab bekas guru, Cikgu Osman Baku berkesinambungan mengajak orang ramai peka terhadap kesalahan ejaan dan bahasa rojak. Kali ini memberi peluang kepada orang-orang kampung untuk menghabiskan peribahasa yang ditulis di papan putih warung.

Sesiapa yang berjaya dapat menerima ganjaran wang tunai RM 5. Kassim, tauke warung pening kepala kerana ditipu oleh Kudin yang sengaja mereka-reka peribahasa sendiri semata-mata mahu menerima wang ganjaran. Anak Cikgu Osman Baku, Milah pula mengeluh kerana anak-anak muridnya tidak dapat menjawab peribahasa mudah sebagai latihan di dalam kelas.

Ternyata penggunaan bahasa rojak bukan sahaja digunakan di kalangan orang biasa sebaliknya termasuklah individu bergelar guru tuisyen, pereka fesyen, pegawai penyiasat, DJ radio, doktor dan penyanyi turut menggunakan bahasa rojak dalam kehidupan seharian mereka.

Ia ditemukan Cikgu Osman Baku bermula dengan guru tuisyen bernama Cikgu Latip yang ditemui di warung. Cikgu Osman Baku marah kerana ia tidak sepatutnya berlaku kerana Cikgu Latip mengajar kelas tambahan Bahasa Melayu.

Rancangan Cikgu Osman Baku untuk mengahwini Timah IT bermula bila Cikgu Osman ke pekan menempah Baju Melayu. Namun dia mengamuk di butik tersebut apabila pereka fesyen di butik tersbut menggunakan bahasa rojak. Situasi itu digunakan sepenuhnya oleh Kudin mahu menggagalkan rancangan Cikgu Osman berkahwin dengan Timah IT. Akhirnya mereka tidak jadi berkahwin setelah Cikgu Osman mengamuk dan pengsan di masjid.

Doktor yang merawat Cikgu Osman menyarankan dia pergi bercuti untuk menghilangkan stress. Akhirnya dia memutuskan untuk ke Kuala Lumpur walaupun niatnya kurang dipersetujui oleh Milah.

Di Kuala Lumpur Cikgu Osman ditahan di balai kerana perbuatannya menggunting satu kain rentang yang digantung di hadapan sebuah kedai di tengah-tengah ibu kota. Semasa di balai, Cikgu Osman beberapa kali menegur pegawai penyiasat yang menyoalnya kerana bertutur dalam bahasa rojak. Pada masa sama Cikgu Osman terganggu mendengar celoteh seorang juruhebah radio bernama DJ Owen. Dia meminta bantuan pemandu teksi, Chong untuk menghantarnya ke stesen radio tempat DJ Owen bertugas.

Penerbit tempat DJ Owen bertugas salah faham apabila menyangka yang Cikgu Osman datang untuk ditemuramah dalam slot ‘Lepak Ah Dulu’ bersama bekas pengulas sukan terkenal Dato’ Rahim Razali. Penerbit tanpa berfikir panjang terus membawa Cikgu Osman ke dalam conti. DJ Owen terkejut apabila Cikgu Osman mengamuk sakan dan menyuruhnya menukar lagu-lagu pilihannya yang banyak menggunakan bahasa rojak.

Dalam pada itu, Cikgu Osman bercadang untuk membuka kelas Bahasa Melayu bagi mengajar pekerja-pekerja asing yang datang ke negara ini. Walaupun perlu mengeluarkan duit sendiri untuk menyewa rumah kedai untuk dijadikan kelas, Cikgu Osman tidak berfikir panjang kerana apa yang penting baginya ialah untuk berusaha agar mereka yang datang ke negara ini untuk mencari rezeki boleh bertutur Bahasa Melayu dengan betul.

Cikgu Osman pening kepala melayan kerenah pelajar-pelajar barunya. Dalam perjalanan pulang ke rumahnya semasa di dalam teksi Chong, Cikgu Osman terdengar lagu ‘Pulanglah’ yang dinyanyikan oleh Awi Rafael. Cikgu Osman begitu terganggu dengan lirik lagu tersebut yang bercampur-aduk dengan perkataan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Cikgu Osman meminta bantuan DJ Owen untuk menjejaki Awi Rafael.

Awi Rafael menghantar versi baru Lagu ‘Pulanglah’ yang dinyanyikan dalam Bahasa melayu sepenuhnya kepada studio rakaman untuk menggantikan versi terdahulu yang menggunakan bahasa yang bercampur aduk.

Cikgu Osman sedang menaiki tangga bomba untuk menurunkan kain rentang yang dipasang oleh Kudin dan anak-anak buahnya. Pemilik bangunan tersebut membuat laporan polis menyebabkan Cikgu Osman dan Chan ditahan di balai polis. Lalu apakah yang berlaku seterusnya?

Bagi mereka yang tidak sempat untuk menonton program di TV, mereka berpeluang menontonnya menerusi portal online, Myklik (myklik.rtm.gov.my). Rancangan ini juga dapat ditonton melalui rtm mobile. Muat turun aplikasinya di Google Play dan App Store.

 photo Dato Rahim Razali dan Sheila Mambo dalam drama bersiri ini.jpg

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Mawi & Filsuf Lancar Single SAHABAT DALAM TUBUH

Peraduan Tayangan Premiere With Budiey – CRIMSON PEAK