Bakal bersiaran di kaca televisyen pada 30 Oktober ini, pelakon jelita Nadia Brian telah digandingkan dengan Isa Khan buat julung kalinya untuk menjayakan watak Alina dan Nazmi. Pelakon hebat lain yang turut membintangi Rahasia Kasih drama arahan Jamal Khan di bawah terbitan Suhan Movies & Trading ini ialah Mathni Razak, Ruzana Ibrahim, Syida Melvin, Hasnul Rahmat, Wilma Muhammad, Abby Nour dan Catriona Ross.
Sinopsis Drama Episod Rahasia Kasih
Drama 20 episod ini mengisahkan latar belakang keluarga Nazmi (Isa Khan) iaitu anak tiri kepada Datuk Ariffin (Hasnul Rahmat) yang telah berkahwin dua secara diam-diam. Semua rahsianya terbongkar apabila Datuk Ariffin meninggal dunia, lantas menjadi tamparan hebat buat isteri pertamanya, Datin Syuhada (Wilma Muhammad) setelah nama Nailis (Catriona Ross) selaku isteri kedua dan anaknya Nazmi tersenarai dalam wasiat Datuk Ariffin untuk dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif syarikatnya, manakala Nailis pula menjadi penasihat.
Datin Syuhada mempunyai tiga orang anak bersama Datuk Ariffin – Shahrul (Mathni Razak), Syaiful (Hafiz Nolan), dan Suhaila (Abby Nour). Shahrul merupakan anak sulung Datin Syuhada dan dia tidak begitu berminat dengan perniagaan keluarganya. Bukan itu sahaja, Shahrul juga terpaksa berkahwin dengan wanita pilihan ibunya iaitu Melinda (Ruzana Ibrahim), meskipun sudah memiliki kekasih hati bernama Adeeba (Syida Melvin).
Anak perempuan mereka Suhaila sering membuat hal sendiri dan dia tidak sehaluan dengan kakak iparnya Melinda. Syaiful pula disahkan menghidap penyakit bipolar dan sering rasa diabai oleh keluarga sendiri. Hidup Syaiful mula berubah menjadi lebih indah selepas dia berkenalan dan mula jatuh hati dengan Alina yang akhirnya pulang ke Malaysia demi menyelesaikan sebuah misi.
Siapa sangka, Alina (Nadia Brian) akan bertemu dengan Nazmi sekali lagi selepas kembali di Malaysia, dan dia mula mempunyai perasaan terhadap Nazmi. Konflik bertambah keruh apabila Nazmi telah jatuh hati dengan bekas kekasih Shahrul iaitu Adeeba, serta hadirnya orang ketiga yang sering menghasut dan ingin mengambil kesempatan untuk meretakkan lagi hubungan keluarga ini.
Keadaan menjadi semakin rumit, apakah kesudahan konflik keluarga ini? Adakah Alina akan terus menaruh hati terhadap Nazmi, atau adakah Nazmi tetap akan bersama dengan Adeeba? Jangan lupa untuk saksikan drama Rahasia Kasih, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 malam, hanya di ntv7! Ikuti juga laman sosial Facebook, Twitter, YouTube, Instagram ntv iaitu @ntv7malaysia, dan juga Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat.