in , ,

Video Muzik Faizal Tahir RAGAMAN Trending #1 di Youtube Malaysia

Tahniah FT! Video muzik yang baru dimuatnaik di saluran Youtube Faizal Tahir pada 27 September yang lalu, sudah mencecah hampir 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam.

Setelah mengejutkan peminatnya dengan single terbaru ‘Ragaman’ yang menampilkan sajian muzik berbeza sehingga menjadi bahan bualan ramai di media sosial, kini Faizal Tahir muncul dengan video muzik rasmi ‘Ragaman’ pula yang menjadi tular sehingga trending #1 di laman Youtube Malaysia. Video muzik yang baru dimuatnaik di saluran Youtube Faizal Tahir pada 27 September yang lalu, sudah mencecah hampir 1 juta tontonan dalam tempoh 72 jam.

Video muzik rasmi arahan Azhar Ismail ini turut menampilkan pelakon wanita popular, Nabila Huda Suhaimi yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia Ke-28. Pemilihan Nabila untuk bergandingan dengannya dalam video muzik ini adalah atas permintaan Faizal sendiri.

Faizal menyifatkan Nabila mempunyai perwatakan yang sesuai untuk membawakan watak isterinya dalam video muzik ini turut berkata

“Saya tidak dapat membayangkan orang lain untuk memegang watak ini. Nabila merupakan pilihan terbaik”. Ternyata pertaruhan Faizal ini berjaya apabila ramai peminat turut menyifatkan pemilihan Nabila dalam video muzik ini sebagai sangat tepat kerana mempunyai raut wajah klasik dan daya penariknya yang tersendiri.”

Mengulas tentang pengalaman digandingkan dengan pelakon berbakat yang juga anak kepada ikon rock Amy Search ini, Faizal berkata,

“Pada mulanya saya rasa gementar kerana Nabila seorang pelakon yang hebat. Tetapi lama kelamaan keserasian kami makin terserlah. Hasil kerja Nabila memang sangat mengagumkan! Saya amat berterima kasih kepada Nabila kerana sudi menerima tawaran untuk berlakon dalam video muzik ini. Walaupun pernah mendapat banyak tawaran sebelum ini, Nabila belum pernah lagi terlibat dalam mana-mana video muzik. Saya terharu kerana Nabila memilih ‘Ragaman’ untuk menjadi video muzik pertama lakonannya”.

Bukan itu sahaja, video muzik ini turut menampilkan anak-anak perempuan Faizal sendiri yang juga pemilik suara kanak-kanak yang muncul di bahagian intro dan outro dalam lagu ‘Ragaman’. Ini merupakan kali kedua Faizal menampilkan anak-anaknya dalam video muzik selepas video muzik ‘Sayang’. Faizal berkata,

“Saya sentiasa cari peluang yang baik untuk anak-anak saya turut terlibat dengan kerja saya. Saya mahu mereka berasa mereka membantu dalam kerja saya. Membimbing dan mengawal anak kecil untuk lakukan kerja macam ini bukan suatu tugas yang mudah dan memang kena banyak bersabar sebab mereka banyak ragam. Sesuailah dengan lagu ‘Ragaman’. Tetapi saya suka bekerja dengan anak-anak saya. Ia membuatkan kami lebih rapat sebagai satu keluarga.”

Walaupun karya Faizal ini menceritakan tentang kisah seorang suami yang sabar melayani kerenah isteri yang bermacam-macam ragam, namun Faizal menafikan bahawa ‘Ragaman’ adalah berdasarkan kisah rumahtangganya sendiri. Sebaliknya, ia merupakan cetusan imaginasinya yang mendapat idea dari kisah realiti rumahtangga yang pernah disampaikan kepadanya. Dalam masa yang sama Faizal turut mengambil inspirasi kisah yang digambarkan dalam filem-filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Mengulas tentang mesej yang cuba disampaikan menerusi lagu ‘Ragaman’ dan juga video muzik ‘Ragaman’, Faizal berkata,

“Mesejnya mudah tetapi sering dilupakan. Walau banyak mana atau macam mana pun ragam atau kerenah pasangan kita, kita harus banyak bersabar, belajar memahami dan bertolak ansur. Kalau kita dah berjanji untuk sehidup semati, memang kena beri sehabis baik dan sedaya upaya untuk menunaikan janji itu.”

‘Ragaman’ merupakan single terbitan Faithful Music dengan kerjasama Warner Music Malaysia sebagai pengedar. ‘Ragaman’ boleh didapati dikesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music sejak 24 OGOS 2018. Manakala video muzik rasmi sudah boleh ditonton di saluran Youtube Faizal Tahir sejak 27 SEPTEMBER 2018. Pautan untuk video muzik ‘Ragaman’: https://www.youtube.com/watch?v=9hUN3mKxNE8

Faizal Tahir 1

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Ramai Teruja Bila Kali Pertama Melihat Poster & Teaser Filem POLIS EVO 2

Yang Anda Perlu Tahu Tentang Konsert PICNIC@PD